Pahang FA Ulasan 

Issey-Amutu : Apa sudah jadi?

Kecederaan Forkey Doe ketika bertemu Kedah selepas hanya beraksi 4 perlawanan bersama Pahang seakan menjadi permulaan episod malang buat pengendali Pahang, Dollah Salleh. Namun begitu, pemain-pemain Pahang masih lagi berjaya mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan seterusnya, dengan menyingkirkan JDT di Larkin dalam Piala FA dan mampu menghapus badi kemenangan di Kuala Terengganu dalam saingan Liga Super.

Pasca kecederaan Forkey Doe

Ketika minggu angin peralihan politik tanah air bertiup kencang, landskap bola sepak Pahang juga ditiup dengan spekulasi angin pertukaran pemain import. Pada awalnya, penyokong Tok Gajah hanya menjangkakan seorang import baru di ambil bagi mengisi slot yang ditinggalkan Forkey Doe.

Walaubagaimanapun segalanya terjawab sewaktu Pahang bersiap untuk menghadapi Terengganu di Kuantan, apabila Pahang FA mengumumkan Austin Amutu bakal menggantikan slot Forkey Doe, dan Issey Nakajima-Farran pula menggantikan Chan Vathanaka.

Seakan bermulanya episod malang dengan pengumuman itu, Pahang tumbang 0-1 di tangan Terengganu tanpa perlu Issey-Amutu menjejak kaki ke padang. Lebih malang lagi, kemunculan pertama Issey-Amutu dalam kesebelasan utama di Stadium Darul Aman, Pahang terus longlai dibenam Kedah 0-2.

Buka akaun jaringan

Meskipun masing-masing menyumbang gol ketika Pahang bangkit membenam Kuala Lumpur 4-0 di Stadium Darul Makmur, aksi Issey-Amutu terus dipersoalkan penyokong setia Tok Gajah. Aksi longlai dan ketumpulan penyudah di hadapan gol, membuatkan penyokong tertanya-tanya, beginikah tahap pemain yag pernah menyarung jersi kebangsaan Kanada dan pernah menarik perhatian Arsene Wenger?

‘Track record’ yang baik sebelum ini

Sebelum beraksi bersama Pahang, perjalanan bola sepak pemain kacukan Zimbabwe-Jepun kelahiran Kanada, Issey Nakajima-Farran amat panjang. Beliau pernah berkelana ke MLS (Liga utama Amerika Syarikat), Eropah, Singapura dan Jepun sebelum singgah ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia pada 2015.

Walaupun Terengganu diturunkan pangkat ke Liga Perdana pada musim itu, namun pemerhati bola sepak tempatan merasakan Issey beraksi amat baik dengan deretan gol dan musim berikutnya beliau sekali lagi cemerlang dengan membantu Terengganu naik semula ke Liga Super.

Pemain muda Nigeria, Iwuji Augustine Amamchi, atau lebih dikenali dengan Austin Amutu pula mula meniti di bibir peminat bola sepak negara sewaktu dipinjamkan ke Kelantan di pertengahan musim 2015.

Peminat Pahang pastinya ingat, gol beliau di penghujung perlawanan dalam saingan separuh akhir Piala FA meranapkan impian Pahang ke final untuk dua musim berturut-turut. Selepas meninggalkan Kelantan, beliau berkelana ke liga utama Israel dan Turki. Ketika di Israel, beliau dilaporkan diintai oleh pencari bakat liga utama Ligue 1 Perancis, SCO Angers (bekas kelab Dickson Nwaekame), hasil risikan pengurus Arsenal ketika itu, Arsene Wenger.

Masihkah ada sinar?

Dengan ‘resume’ mantap ini, Issey-Amutu pada awalnya dilihat bakal menjadi gandingan paling berbisa Liga Malaysia musim ini, namun selepas 4 perlawanan, ternyata semuanya indah khabar dari rupa.

Pahang terus bergelut mencipta jaringan, malah turut bergelut mencipta percubaan merbahaya melalui gandingan Issey-Amutu. Lebih memeritkan lagi, Patrick Cruz dan Mamadou Sumareh juga dipalit dengan kecederaan. Makin kuat kedengaran keluhan penyokong di media sosial mempersoalkan kemampuan Issey-Amutu dalam memberi impak maksima buat Pahang.

Dengan perjalanan liga masih berbaki 8 perlawanan, masih bersaing untuk Piala FA (separuh akhir), dan bakal bersaing untuk Piala Malaysia, diharap ‘King Pablo’ berjaya menemui jalan penyelesaian dan menjadikan gandingan Issey-Amutu kembali menyengat kerana mereka dilaporkan bakal kekal hingga ke penghujung musim.

Penyokong juga berharap Issey-Amutu sendiri sedar betapa besarnya nilai menyarung jersi rona ‘kuning-putih-hitam’ ini. Ayuh buktikan di padang dan bukannya hanya gah tertulis dalam resume semata ! Semoga mereka berdua dapat menterjemahkan segala kritikan kepada kecemerlangan suatu hari nanti.

Foto: Media PBNP

Facebook Comments

Related posts

Leave a Comment

%d bloggers like this: