Berita 

Shopee Piala FA: Pahang Singkir Juara Bertahan, Lunas Dendam Musim Lalu

Jaringan tunggal Mohamadou Sumareh pada penghujung separuh masa pertama sudah cukup untuk menyingkirkan juara bertahan, Kedah dalam perlawanan pusingan ketiga Shopee Piala FA yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebentar tadi.

Skuad kendalian Dollah Salleh turun berbekalkan semangat untuk menamatkan episod duka dalam saingan akhir Piala FA musim lalu dengan menunjukkan permainan yang menyakinkan sepanjang 10 minit pertama permainan.

Asakan tuan rumah seakan kendur selepas penyerang importnya, Francis Forkey Doe terpaksa dikeluarkan pada minit ke 12 akibat mengalami kecederaan dan digantikan dengan Nor Shahrul Idlan Talaha.

Kesempatan itu digunakan pasukan pelawat untuk memperkemaskan serangan dan kembali mengimbangi permainan. Namun demikian, pada penghujung separuh masa pertama, Mohamadou Sumareh menceriakan puluhan ribu penyokong Pahang dengan menanduk masuk bola yang terlebih dahulu terkena palang gol hasil tandukan pertama Patrick Cruz.

‘Suhu’ permainan separuh masa kedua semakin tinggi dengan menyaksikan kedua-dua pasukan meneruskan momentum untuk memburu jaringan. Kemasukan Syazwan Zainon sedikit mengucar-kacirkan pertahanan Pahang dan pasukan pelawat hampir menyamakan kedudukan pada minit ke 71, mujurlah hantaran Syazwan yang dibias Afif Amirudin berjaya dikeluarkan oleh Helmi Heliza.

Skuad Hijau Kuning terus menekan Pahang untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan, namun barisan pertahanan Pahang terus mengekalkan disiplin bertahan sekaligus menyaksikan jaringan tunggal permaianan oleh Sumareh kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.

Facebook Comments

Related posts

Leave a Comment

%d bloggers like this: