Fakta Pahang FA 

Piala FA : Menyingkap Pertemuan Pahang Dan Kedah, Peluang Terbaik Lunas Dendam Final 2017

Pahang jarang sekali diundi bertemu Kedah dalam saingan Piala FA, namun pada musim ini, kedua-dua pasukan ini sekali lagi beradu kekuatan selepas bertemu di Stadium Shah Alam dalam aksi final musim lepas.

Semua sedia maklum Kedah telah dinobat juara musim lalu menjadikan mereka pasukan kedua terbanyak (4 kali) memenangi trofi Piala FA ini, di belakang Selangor (5 kali).

Juara Piala FA juga dijanjikan slot Piala AFC, namun ‘kegagalan’ skuad Kedah memenuhi syarat lesen AFC dan Pahang pula menolak untuk beraksi menjadikan slot Piala AFC 2018 untuk juara piala FA musim lalu melepas begitu sahaja.

Musim 2007/2008

Aksi separuh akhir Piala FA di Stadium DarulMakmur. Norhafiz Zamani cuba menyekat kemaraan penyerang Kedah, Samransak Kram. Kredit foto : Utusan Malasia

Pahang dan Kedah bertemu buat pertama kalinya di peringkat Separuh Akhir Piala FA. Kedah hadir selaku juara treble musim sebelumnya (Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia) ternyata menjadi pilihan di atas kertas, manakala Pahang ketika itu melalui zaman ‘kegelapan’.

Nama seperti Helmi Eliza, Khyril Muhymeen, Fauzi Shaari, Marlon Alex James, dan ramai lagi menjadi sandaran Azraai Khor Abdullah. Dalam pusingan pertama di Darul Aman, Kedah turun tanpa kelibat pemain import, manakala Pahang ketika itu diperkuatkan dengan Tarik El Janaby, Redouane Berkaoui, Norhafiz Zamani Misbah, Rosdi Talib, dan Hairuddin Omar.

Pada perlawanan itu, Kedah mudah membuka jaringan seawal minit pertama hasil jaringan Shafiq Jamal, sebelum Khyril Muhymeen menambah defisit gol menjadikan kedudukan 2-0 sebelum tamat separuh masa pertama.

Fauzi Shaari menambah derita Pahang hasil percubaan jarak jauh menewaskan Syamsuri Mustafa, sebelum Rosdi Talib berjaya mencuri satu gol buat Pahang. Samransak Kram memastikan bekalan selesa ke Darul Makmur apabila meledak gol ke-4 Kedah 9 minit sebelum masa permainan tamat.

Perlawanan ulangan di Kuantan, tidak ramai yang mengharapkan Pahang bangkit menghapus defisit 3 gol, dan ternyata jangkaan itu benar apabila Kedah berjaya menambah lagi 2 gol hasil jaringan Khyril Muhymeen dan Baddrol Bakhtiar, untuk menjadikan aggregat 6-1 membawa mereka ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut.

Kedah sekali lagi muncul juara Piala FA membenam Selangor 3-2 dan musim itu juga menyaksikan mereka sekali lagi muncul juara ‘Treble’.

Musim 2017

Aksi Final Piala FA 2017. Kredit foto : FourthOfficial

Pahang melakukan rombakan besar-besaran selepas mengalami musim kelam ‘DNA’ 2016. Hasil percaturan Dollah Salleh dan kehadiran beberapa pemain ternama negara, Pahang berjaya melangkah ke pentas Final Piala FA buat kali ke-4 dalam sejarah pasukan bagi bertemu Kedah.

Kedah pula selaku juara bertahan Piala Malaysia dan ‘semi-finalist’ Piala FA musim 2016 ternyata bukan lawan mudah buat Pahang dan menjadi pilihan untuk menjadi juara.

Kesebelasan Kedah tampil lebih serasi dengan beberapa pemain sudah beraksi bersama bermusim lamanya. Kedah garang menguasai permainan separuh masa pertama dengan menghasilkan 2 gol melalui Ken Ilso dan Baddrol Bakhtiar sebelum Pahang merapatkan jurang dalam masa kecederaan hasil jaringan Heo Jae-Won.

Pahang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Kiko Insa dilayangkan kad kuning kedua hasil terjahan keras ke atas Rizal Ghazali seawal minit 31 permainan.

Kedah mengendurkan asakan pada separuh masa kedua, namun masih berjaya menghasilkan gol sekali lagi melalui Baddrol Bakhtiar, dan Mamadou Sumareh berjaya merapatkan jurang gol 10 minit sebelum masa berakhir. Pahang terus mengasak namun gagal menafikan kejuaraan Piala FA buat kali ke-4 Kedah malam itu.

Musim 2018

Musim ini, Kedah dan Pahang diundi seawal pusingan ketiga Piala FA. Namun, kali ini skrip sedikit berbeza.

Kedah ketika ini masih bergelut dengan prestasi manakala Pahang pula sedang mengharungi fasa ‘bulan madu’. Selepas 5 perlawanan liga, Kedah hanya mencatatkan 2 kemenangan, dan bolos paling banyak dengan 12 gol, lebih 2 gol daripada pasukan tercorot liga, Negeri Sembilan.

Pahang pula kian garang di barisan serangan, hasil gandingan CD (Cruz-Doe) telah mencatat 10 jaringan, dan paling sedikit dibolosi dengan hanya 2 kali bolos.

Kelebihan ternyata milik pasukan Pahang apabila diundi beraksi di laman sendiri, dan ini merupakan peluang mereka membalas kekalahan Final 2017. Di atas kertas, ini mungkin sekadar pusingan ketiga Piala FA, namun ianya ibarat pertembungan FINAL !

Bagaimana pula ramalan anda? Kongsikan bersama kami diruangan komen.

Facebook Comments

Related posts

Leave a Comment

%d bloggers like this: