Fakta Pelbagai 

Patrick Cruz-Peledak Tok Gajah Yang Dinanti-Nantikan

Patrick dos Santos Cruz, atau lebih dikenali dengan Patrick Cruz hadir ke Darul Makmur di hujung tarikh pendaftaran pemain Liga Super 2018. Kehadiran Patrick ternyata berhasil apabila sudah meledak 3 gol daripada 3 penampilan, hasil gandingan bersama ‘otai’ import Liga Malaysia, Francis Forkey Doe.

Patrick memulakan karier di Akademi Sao Paulo FC sejak berusia 15 tahun, sebelum memulakan karier bersama pasukan Serie A Brazil, Corinthians.

Patrick Cruz (kiri) ketika bersama skuad remaja Sao Paulo

Memilih Ke Asia

Patrick memenangi kejuaraan Piala Jeneral Sudirman 2015 dan Penjaring Gol Terbanyak bersama kelab Indonesia, Mitra Kukar

Seawal umur 22 tahun, Patrick memulakan langkah ke luar Brazil dengan memilih Indonesia sebagai destinasi pertama. Gambar beliau di media sosial bersama Neymar menjadi tular di kalangan penyokong bola sepak Indonesia.

Ketika itu Liga Indonesia digantung oleh FIFA, dan bagi memberi peluang kelab Indonesia beraksi, satu pertandingan, Piala Jeneral Sudirman 2015 diperkenalkan.

Mitra Kukar berjaya memancing Patrick Cruz bagi menghadapi kejohanan itu. Beliau cemerlang meledak 5 gol dalam perlawanan peringkat kumpulan termasuk sekali hat-trick ketika bertemu Persija Jakarta.

Beliau sekali lagi meledak gol ketika menentang Arema Cronus dalam perlawanan pertama Separuh Akhir, sekali gus membantu kelabnya mara ke final bertemu Semen Padang. Dalam aksi Final, Patrick membantu “Si Naga Mekes” menjadi juara dan beliau dinobat pemenang kasut emas dengan 7 gol.

Gandingan Patrick-Konate di T-Team pada musim 2016. Kredit foto : Goal.com

Aksi cemerlang di Indonesia, telah menarik minat jurulatih kelahiran Indonesia, Rahmad Dermawan, yang ketika itu membimbing T-Team dalam saingan Liga Super Malaysia 2016.

Kehadiran Patrick ternyata menjadi ‘duri dalam daging’ buat sekalian pasukan apabila beliau membantu kelab itu mara buat pertama kalinya ke separuh akhir Piala Malaysia, dan menduduki tangga ke-7 liga.

Beliau turut dinobat sebagai penjaring terbanyak kelab dengan 13 gol hasil gandingan bersama seorang lagi import prolifik, Makan Konate. Namun aksi cemerlang beliau tidak menarik minat T-Team untuk mengekalkan beliau, atau pun menarik minat kelab Malaysia yang lain.

Patrick bersama kelab Liga V1 Vietnam, Sai Gon FC

Setelah Liga Indonesia kembali ‘halal’, beberapa kelab telah menunjukkan minat mendapatkan khidmat beliau, antaranya juara bertahan Liga 1 Indonesia, Persib Bandung. Ketika penyokong Persib teruja menanti kehadiran beliau, sebaliknya beliau memilih kelab liga utama Vietnam, Sai Gon FC.

Beliau menyatakan dalam akaun rasmi media sosialnya, beliau menolak ke liga Indonesia kerana ragu dengan pengurusan liga di sana selepas kes penggantungan FIFA.

Sai Gon FC yang baru 2 tahun naik ke V1 daripada V2 ini bukanlah sebuah kelab yang besar, namun berjaya menduduki tangga ke-5 liga musim itu. Patrick berjaya meledak 7 gol daripada 22 penampilan. Namun begitu, aksi Patrick di sana dikatakan tidaklah segah ketika bersama T-Team.

Ke Darul Makmur

Ketika penyokong Pahang risau dengan ketumpulan jentera serangan yang gagal menjaringkan gol dalam 2 perlawanan awal liga, Francis Forkey Doe hadir mengisi posisi penyerang utama sekali gus membantu Pahang mencatat kemenangan pertama menewaskan Kelantan 3-0.

Ketika tempoh rehat 2 minggu Tahun Baru Cina, spekulasi kencang seorang lagi import penyerang bakal hadir ke DarulMakmur menjadi bualan di media sosial, tatkala pengurusan PBNP masih bermain pantun rahsia.

Kelibat bekas penyerang T-Team ini kelihatan sewaktu sesi latihan skuad Pahang menjadi persoalan, di kala kuota import Pahang sudah cukup 5 pemain. Segalanya terjawab ketika pertemuan bertemu Selangor di Cheras, Patrick Cruz menggantikan slot Alex Moraes, dan digandingkan dengan Forkey Doe di jentera serangan.

Patrick jaringkan gol dalam debut bersama Pahang ketika bertemu Selangor. Kredit foto : Pahang FA

Gandingan ‘CD’ (Cruz-Doe) jelas menjadi masalah buat barisan pertahanan Selangor, dan Patrick hanya memerlukan 6 minit untuk membuktikan ketajaman beliau apabila menolak mudah umpanan Mamadou Sumareh menewaskan Khairul Azhan.

Patrick juga melakukan ‘assist’ untuk gol kedua Pahang ketika itu, menjadikan  debut cemerlang buat beliau. Terbaru, dalam perlawanan bertemu Negeri Sembilan, gandingan CD sekali lagi garang dengan 4 gol, menjadikan 7 gol terhasil daripada 3 penampilan mereka bersama. Gandingan baik Cruz-Doe mengingatkan kembali gandingan CD terdahulu (Conti-Dickson) yang cemerlang sepanjang 2014-2015 menghasilkan 3 trofi dan puluhan gol bersama.

“Bem-vindo a Darulmakmur e boa sorte Patrick !”

Facebook Comments

Related posts

Leave a Comment

%d bloggers like this: