Pelbagai 

Skuad juara sulung Piala FA Pahang 2006-Dimanakah mereka sekarang?

Muncul juara Piala FA 2006. Kredit foto : PahangCommunity

Pahang menjuarai Piala FA buat pertama kali pada musim 2005/2006 dengan menewaskan Perlis melalui sepakan penalti 4-2 selepas terikat 0-0.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan ini mencipta kejutan selepas tidak diberi perhatian akibat prestasi teruk dalam saingan liga. Dalam aksi Final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Pahang terpaksa melupakan khidmat Rosdi Talib yang digantung perlawanan selepas mengutip dua kad kuning dan Bernard Tchoutang yang mengalami kecederaan.

Berikut kesebelasan utama Pahang yang berjaya merangkul trofi Piala FA buat pertama kalinya dalam sejarah selepas gagal pada percubaan pertama musim 1995 di pentas Final.

Kesebelasan utama Final Piala FA 2005/2006. Kredit foto : yob4ever

25. Iqbal Suhaimi

Kredit foto : Kosmo!

Penjaga gol hasil daripada program bola sepak Pahang ini mula mencipta nama selepas penurunan prestasi penjaga gol lagenda negara, Azmin Azram Aziz. Beliau beraksi cemerlang dalam aksi final dengan menyelamatkan beberapa percubaan bahaya, antaranya sepakan percuma Adrian Jurad Chamrong.

Beliau dinobat ‘Pemain Terbaik Perlawanan’ selepas menjadi hero menyelamatkan sepakan penalti Effendi Malek dan Lamin Conteh. Selepas berkelana ke beberapa pasukan, kini Iqbal masih beraksi di usia 33 tahun bersama Sarawak dalam saingan Liga Perdana.

4. Subri Sulong

Kredit foto : Utusan

Pertahanan kanan yang menyertai Pahang bersama Rosdi dan Hairuddin pada musim 2003 ini kerap menjadi pilihan Zainal Abidin dalam membarisi kesebelasan utama. Selepas beraksi selama 6 musim bersama Pahang dan membantu dengan 2 trofi kejuaraan, Subri pulang ke negeri kelahiran, namun memilih untuk bersama T-Team.

Selepas bersara, Subri terjun ke dunia kejurulatihan dan terus menabur bakti dengan pasukan negerinya, Terengganu. Kini, beliau merupakan Penolong Jurulatih Terengganu FC IV (B19).

5. John Tambouras

Pertahanan import Australia ini menyertai Pahang daripada kelab A-League, New Zealand Knights. Selepas membantu Pahang menjuarai Piala FA, beliau meninggalkan Pahang dan menyertai kelab lamanya semula sebelum berkelana ke Eropah dan Asia.

Beliau mengakhiri karier bersama kelab gergasi China, Guangzhou Evengrande dengan hanya membuat 2 penampilan sebelum dilepaskan. Beliau kembali ke Australia dan menyertai program melatih kanak-kanak di wilayah Northern Territory sehingga kini dibawah biayaan FFA (Football Federation of Australia).

6. Shahril Faizal Sharifuddin

Antara produk pertahanan tengah terbaik Pahang yang berjasa sejak zaman ‘DNA Yunus Aliff’ 2001, pemain yang lebih popular dengan gelaran ‘Boy’ ini melakukan ‘dramatic save’ ketika Final apabila menyelamatkan percubaan Manzoor Azwira yang sudah melepasi jangkauan Iqbal Suhaimi.

Selepas hampir 10 musim bersama Pahang, Boy memilih untuk berkelana ke beberapa pasukan, antaranya Kedah, Sabah, dan T-Team. Kelab terakhir beliau dalam dunia bola sepak ialah Real Mulia FC pada 2015 sebelum kelab itu dibubarkan pada tahun yang sama. Kini, beliau memiliki akademi bola sepak sendiri bagi mencungkil bakat muda sekitar Pahang.

21. Irwan Fadzli Idrus

Pertahanan kiri yang juga ‘journey man’ ini membarisi kesebelasan utama selepas Rosdi Talib menerima penggantungan akibat mengumpul 2 kad kuning. Selepas beraksi 4 musim bersama Pahang, beliau berkelana ke beberapa pasukan dan sempat menambah koleksi trofi peribadi. Kini, Irwan menyertai semula kancah Liga Malaysia apabila menyertai Felda United selepas menyepi 2 tahun.

3. Norhafiz Zamani Misbah

Kredit foto : Utusan

Kapten kedua pasukan Pahang dalam aksi Final ini menggantikan Hairuddin Omar yang dikeluarkan akibat kecederaan, Hafiz menyempurnakan sepakan penalti terakhir yang mengesahkan kejuaraan sulung Piala FA Pahang.

Beliau juga menurut jejak ramai bintang Pahang meninggalkan bumi Darul Makmur pada permulaan fasa kegelapan 2009. Berkelana ke beberapa pasukan, kini, di usia 36 tahun, Hafiz kembali bersatu bersama Zainal Abidin Hassan di Pulau Pinang.

15. Mitchell James Prentice

Pemain import tengah Australia ini tidaklah begitu menonjol ketika Final ini, namun berjasa dengan menyempurnakan sepakan penalti pertama Pahang. Jodoh beliau bersama Pahang hanya semusim, kemudian pulang semula ke A-League bersama Perth Glory dan Sydney FC.

Selepas mengakhiri karier sebagai pemain pada tahun 2010, beliau menyertai dunia kejurulatihan skuad remaja. Kini, beliau menyandang jawatan Ketua Jurulatih Skuad B14 Australia Barat.

18. Fadzli Shaari

Permata bola sepak Pahang yang pernah berkelana ke Jerman ini mengemudi jentera tengah dalam aksi Final. Selepas membantu Pahang memenangi trofi sulung Piala FA, Fadzli meninggalkan tanah kelahiran berpindah ke Selangor.

Kemudian beliau merantau ke beberapa pasukan sebelum mengakhiri karier di Felcra FC. Kini, beliau merupakan Penolong Jurulatih bersama Rosle Md Derus di Felcra FC, di bawah kendalian jurulatih import Brazil, Tarcisio Pugliesi.

20. Hairuddin Omar

Kapten Pahang pertama yang menjulang trofi sulung Liga Super, juga menjadi kapten pertama Pahang menjulang trofi Piala FA tidak beraksi penuh dalam aksi Final selepas mengalami kecederaan di kepala.

Beliau turut meninggalkan Pahang bersama ‘sahabat Terengganu’ nya pada musim 2009, menyertai T-Team dan kemudiannya berkelana ke beberapa pasukan sambil mengutip trofi kejuaraan. Beliau bersara bersama Terengganu pada musim 2016, dan kini menyandang tugas sebagai Penolong Jurulatih Malaysia B19, di bawah kendalian Bojan Hodak. Beliau juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM).

23. Indra Putra Mahyuddin

Pemenang Kasut Emas edisi sulung Liga Super ini juga berjaya menyempurnakan tugasan sebagai penyepak sepakan penalti dalam Final ini. Beliau berkelana ke Selangor selepas berjasa selama 4 musim bersama Pahang, kemudiannya megembara ke beberapa pasukan seluruh negara mengutip koleksi kejuaraan. Kini, Indra Putra masih bermain bersama Kuala Lumpur yang baru sahaja naik ke Liga Super pada usia 36 tahun.

17. Josiah Seton

Penyerang kebangsaan Liberia ini pernah bermain untuk Sabah selama 3 musim sebelum menyertai Pahang bagi kuota Piala AFC 2005. Pahang juga memiliki seorang lagi penyerang import, Bernard Tchoutang ketika itu.

Namun, Bernard dikatakan mengalami kecederaan dan Josiah dipilih membarisi kesebelasan utama pasukan. Beliau turut menyempurnakan tugasan sebagai pengambil sepakan penalti. Selepas memenangi trofi Piala FA bersama Pahang, Josiah berkelana ke Kanada sebelum kembali ke Asia, beraksi untuk Liga Indonesia. Kini, beliau menetap di Amerika Syarikat dan bekerja luar dari dunia bola sepak.

Pemain Gantian

13. Shahrulnizam Hj Sahat

Beliau masuk menggantikan Fadzli Shaari dalam aksi Final ini. Bekas pertahanan veteran Terengganu ini kekal bersama Pahang selepas bersara menyertai staf kejurulatihan pasukan. Selepas membimbing skuad Piala Presiden Pahang untuk beberapa musim, Shahrulnizam menyertai pasukan kejurulatihan pasukan Liga Super Pahang untuk musim 2018.

12. Azizul Kamaluddin

Lagenda 12 ini masuk menggantikan Hairuddin Omar yang mengalami kecederaan pada penghujung separuh masa pertama. Beliau bermain penuh dari separuh masa kedua sehinggalah perlawanan berlanjutan ke sepakan penalti. Beliau pernah menyertai Shahzan Muda seketika sebelum bersara daripada dunia bola sepak. Kini, beliau bergandingan dengan seorang lagi Lagenda12 Pahang, Azammuddin Akil bagi menjayakan projek perniagaan mereka, ‘LAGENDA12″.

Jurulatih/Penolong Jurulatih

Zainal Abidin Hassan 

Lagenda jurulatih dan pemain Pahang ini terlalu lama berjasa walaupun bukanlah anak kelahiran negeri. Beliau kekal bersama Pahang sehinggalah menggondol kejuaraan Piala FA buat kali kedua pada 2014, dan meninggalkan bumi bertuah DarulMakmur pada musim 2016. Beliau pulang ke negeri kelahiran, Selangor. Kini, beliau merupakan Ketua Jururlatih Pulau Pinang.

Ahmad Yusof 

Juga bekas lagenda Pahang ini pernah menjawat jawatan Jurulatih dan Penolong Jurulatih Pahang pasca kemenangan Piala FA 2006. Beliau berkelana ke beberapa pasukan antaranya Kedah dan Terengganu.

Musim 2017 beliau berjaya membawa Sime Darby kembali naik ke Liga Perdana setelah menjuarai Liga FAM, walau bagaimanapun, Sime Darby membuat keputusan untuk membubarkan pasukan, dan beliau membawa diri ke Terengganu. Kini beliau membimbing pasukan Hanelang FC untuk saingan Liga FAM.

Facebook Comments

Related posts

Leave a Comment

%d bloggers like this: