Berita 

unifi Liga Super: Tok Gajah Raih Kemenangan Ketiga , Semakin Semangat Mencabar Kedudukan Liga

Pahang meneruskan momentum kemenangan dalam saingan unifi Liga Super selepas berjaya menundukkan skuad Rusa 4-0 di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Skuad Tok Gajah turun dengan membariskan kesebelasan utamanya manakala skuad pelawat masih tidak menurunkan tonggak importnya, Nicholas Velez yang masih belum cergas sepenuhnya.

Negeri Sembilan nyata bersemangat untuk memburu gol pendahuluan seawal minit permainan dan menyaksikan skuad kendalian Azraai Khor memiliki 2 sepakan penjuru berturut-turut dan seakan memberi amaran awal akan kebangkitan pasukan itu.

Pahang mula mendapat rentak selepas permainan memasuki minit ke 10 apabila serangan demi serangan berjaya dilancarkan dan menyaksikan pemain-pemain lawan mula membentuk kubu bagi menyerap asakan itu.

Pemain kelahiran Brazil, Patrick Cruz memiliki peluang keemasan untuk meletakkan Pahang di hadapan menerusi sepakan kencang dalam kotak penalti, namun penjaga gol Negeri Sembilan, Muhammad Ilham lebih bersedia menangkis percubaan berbahaya itu.

Serangan bertali arus yang dilancarkan jentera serangan Pahang akhirnya gagal dibendung lawan selepas Patrick Cruz berjaya merembat masuk hasil umpanan Muslim Ahmad yang terlebih dahulu menanduk ke dalam kotak penalti hasil dari sepakan penjuru.

Gol pada minit ke 27 tadi menyaksikan Pahang seakan tidak mahu mengendurkan asakan dan memperlihatkan perlawanan jelas dikuasai tuan rumah sehinggalah menjelang penghujung permainan separuh masa pertama, Francis Forkey Doe berjaya menambah gol buat Pahang melalui rembatan deras dari luar kotak penalti.

Tamat separuh masa pertama, Pahang selesa di hadapan dengan jaringan 2-0.

Bersambung permainan separuh masa kedua, Pahang dilihat semakin garang untuk menjarakkan kedudukan apabila pada minit ke 49, rembatan Mohamadou Sumareh hampir meletakkan Pahang selesa di depan, namun Muhammad Ilham sekali lagi menampilkan persembahan yang baik dengan menggagalkan percubaan itu.

Pada minit ke 62, Negeri Sembilan dengan tidak semena-mena mendapat peluang terbaik untuk merapatkan jurang jaringan, namun hantaran dari sebelah kiri pintu gol Pahang gagal disambut penyerangnya.

Berselang 4 minit kemudian, Partick Cruz menambah derita Negeri Sembilan selepas tenang menyambut hantaran Matthew Davies dari sebelah kiri pintu gol lawan dan melepaskan rembatan yang terlalu sukar untuk dipatahkan Muhammad Ilham.

Pahang dilihat sedikit mengendurkan asakan ke kubu lawan selepas selesa dengan 3 jaringan. Namun demikian, pada minit ke 89, Forkey Doe turut mencetak gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini selepas mudah menolak masuk hantaran Faisal Rosli.

Tamat 90 minit masa permainan menyaksikan Pahang merekodkan 3 kemenangan berturut-turut dan mengumpul 10 mata sekaligus meletakkan Pahang di tangga kedua ketika ini. Pahang akan bertemu Kedah dalam saingan Piala FA pada 17 Mac dan bakal meneruskan saingan liga dengan bertemu JDT pada 30 Mac di Larkin.

Facebook Comments

Related posts

Leave a Comment

%d bloggers like this: