Fakta Pelbagai 

5 Pemain Yang Pernah Membuat Penampilan Bersama Pahang dan Negeri Sembilan

Pahang dan Negeri Sembilan seakan memiliki persamaan apabila kedua-dua pasukan pernah mengecap zaman kegemilangan di era 90-an serta di awal fasa pertama saingan Liga Super, sebelum kedua-duanya melalui zaman yang tidak konsisten.

Kedua-dua pasukan ini berkongsi bilangan trofi Liga Super (1) dan Piala FA (2) yang sama, namun Pahang sedikit cemerlang dengan memiliki lebih 2 trofi dalam saingan Piala Malaysia. Pertembungan kedua-dua pasukan ini juga tidaklah begitu dinantikan penyokong mereka seperti pertemuan Pahang bertemu JDT, atau Naning ‘Derby’-Negeri Sembilan bertemu Melaka.

Daripada senarai pemain-pemain yang pernah menabur bakti untuk kedua-dua pasukan ini, bilangannya tidaklah seramai berbanding pemain-pemain yang pernah menabur jasa untuk Pahang dan Selangor.

Namun demikian, terdapat beberapa pemain yang bolehlah dilabelkan sebagai lagenda yang pernah menyarung jersi untuk kedua-dua pasukan sepanjang kariernya dalam saingan liga Malaysia. Berikut disenaraikan 5 pemain yang pernah beraksi untuk Pahang dan Negeri Sembilan sepanjang karier mereka:

1.Dollah Salleh (Pahang 1991-1996 & Negeri Sembilan 1998)

Lagenda kelahiran Melaka yang lebih dikenali ketika bersama Pahang dan Selangor ini, mengumpul deretan trofi sewaktu zaman kegemilangannya. Bersama Pahang, Dollah berjaya memenangi 2 trofi Liga Perdana dan 1 Piala Malaysia.

Namun begitu di penghujung karier, selepas semusim bersama tanah kelahirannya iaitu Melaka, Dollah memilih untuk bermain bersama Negeri Sembilan sebagai perhentian terakhir sebelum menggantung kasut bolanya. Hujung minggu ini, Dollah bakal memimpin Pahang bertemu Negeri Sembilan di Stadium Darul Makmur.

2. K Rajan (Negeri Sembilan 2001-2004 & Pahang 2007-2008)

K.Rajan (bawah kanan)memenangi Piala FA 2003.

Anak kelahiran Bahau ini memulakan karier di Negeri Sembilan di bawah kendalian Cikgu Zaki Sheikh Ahmad. Waktu itu Negeri Sembilan dibarisi pemain seperti Azman Adnan, Shukor Adan dan Norhafiz Zamani Misbah.

Beliau berjaya membantu Negeri Sembilan memenangi trofi sulung kejohanan domestik, dengan menewaskan Perlis 2-1 dalam Final Piala FA 2003. Beliau berkelana ke beberapa pasukan, sebelum ‘singgah’ untuk bersama Pahang pada musim 2007. Musim 2007-2008, Pahang melalui zaman ‘kegelapan’ dan K.Rajan merupakan antara nadi utama pasukan ketika itu.

3. Irwan Fadzli Idrus (Pahang 2004-2007 & Negeri Sembilan 2011)

Irwan merupakan salah seorang ‘pengembara’ dalam Liga Malaysia. Beliau menyertai Pahang ketika zaman ‘Galaticos’ 2004.

Irwan membantu Pahang meraih trofi Liga Super dan Piala FA. Selepas 4 musim bersama Pahang, beliau berkelana ke UPB-MyTeam dan KL Plus sebelum ‘singgah’ ke Negeri Sembilan.

Bersama bimbingan jurulatih, Azraai Khor Abdullah, Irwan berjaya membantu N.Sembilan meraih trofi Piala Malaysia buat kali kedua dalam sejarah pasukan pada musim 2011. Pahang dan Negeri Sembilan melengkapkan kejuaraan domestik yang pernah dimenangi Irwan Fadzli Idrus.

4. Hairuddin Omar (Pahang 2003-2008 & Negeri Sembilan 2011)

Kisah perjalanan anak kelahiran Terengganu ini hampir sama dengan Irwan Fadzli Idrus. Beliau menjadi kapten pertama dalam sejarah bola sepak negara menjulang trofi Liga Super ketika bersama Pahang.

Beliau juga bersama Irwan Fadzli Idrus membarisi kesebelasan utama Final Piala FA 2006 yang menyaksikan Pahang menjadi juara buat pertama kali. Selepas berkelana ke Kelantan dan memenangi Piala Malaysia, Hairuddin memilih untuk bersama Negeri Sembilan untuk musim 2011, juga bersatu kembali bersama Irwan Fadzli.

Kedua-duanya sekali lagi membarisi kesebelasan utama dalam perlawanan akhir kejohanan domestik dan menjuarainya. Hairuddin menjaringkan gol dalam perlawanan akhir dan memenangi Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.

5. Helmi Eliza Elias (Negeri Sembilan 2015 & Pahang 2016-kini)

Penjaga gol utama Pahang untuk musim ini merupakan bekas Penjaga Gol Terbaik Kebangsaan sewaktu era kegemilangan Kedah “Double Treble 2006–07 & 2007–08.

Beliau menyertai Negeri Sembilan pada musim 2015 bagi saingan Liga Premier. Nama beliau tidaklah begitu di’kenang’ oleh penyokong Negeri Sembilan atas beberapa insiden. Beliau kemudiannya memilih untuk berkelana ke pasukan Pahang untuk musim 2016 dan kekal sehingga kini. Selepas 2 musim beraksi sebagai penjaga gol gantian, Helmi dilihat kembali beraksi baik apabila kerap membarisi skuad utama Pahang musim ini.

Pertembungan Pahang dan Negeri Sembilan pada 10 Mac ini bakal menjadi peluang terbaik buat Tok Gajah bersaing di kelompok atasan liga, sementara Negeri Sembilan yang baru sahaja menandatangani semula jurulatih Azraai Khor Abdullah ingin mencuri mata untuk keluar dari kelompok bawahan liga.

Kredit : Semua pemilik foto

Facebook Comments

Related posts

Leave a Comment

%d bloggers like this: