Fakta Pelbagai 

Fadzli Shaari – Kisah Permata Bola Sepak Pahang Dan Pengembaraannya

Terma ‘Journey Man atau Si Pengembara’ sering digunakan dalam kamus sukan dan bola sepak antarabangsa bagi pemain yang pernah beraksi untuk banyak kelab.

Antara nama besar ‘Journey Man’ dalam dunia bola sepak ialah Nicholas Anelka (8 kelab), Christian Vieri (12 kelab), Rivaldo (14 kelab), Jari Litmanen (10 kelab), dan Zlatan Ibrahimovic (8 kelab).

Dalam kancah Liga Malaysia, bukanlah mudah untuk mencari pemain yang beraksi lebih daripada 5 kelab, ini kerana mungkin faktor ‘sayangkan negeri’ menjadi halangan. Antara ‘Journey Man’ popular dan pernah bersama Pahang ialah Indra Putra Mahyuddin (8 pasukan), Hairuddin Omar (8 pasukan), Tengku Hazman Raja Hassan (9 pasukan), Norshahrul Idlam Talaha (8 pasukan), K. Rajan (9 pasukan), dan anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang, Fadzli Shaari (8 pasukan).

Fadzli Shaari (kanan) dan Rudy Ramlie (kiri) bersama Holger Obermann. Kredit foto : Utusan Malaysia

Bermula di Jerman

Fadzli Shaari dan Rudie Ramli antara remaja yang bertuah apabila terpilih menyertai latihan dan pemilihan untuk pasukan remaja di Jerman, hasil usahasama FAM melalui Penasihat Teknikalnya kelahiran Jerman, Holger Obermann serta kerjasama bahagian sukan Kementerian Pendidikan.

Fadzli Shaari ketika itu cemerlang bersama skuad B-19 Pahang dan muncul sebagai Pemain Remaja Terbaik 1999. Sebelum itu beliau membantu skuad remaja kebangsaan muncul juara Piala Nike Asia Pasifik B-14 pada tahun1998. Aksi cemerlang dalam sesi latihan telah membolehkan beliau menandatangani kontrak 6 bulan bersama kelab Divisyen 3 Jerman, SV Wehen pada usia 18 tahun.

Karier Bersama Pahang & Negara

Selepas kontrak beliau di Jerman berakhir, beliau diserap ke skuad utama Pahang bertemu Perak dalam perlawanan separuh akhir Piala Malaysia 2001 di Stadium Darul Makmur.

Walaupun Pahang gagal melangkah ke Final, namun Fadzli telah membuat penampilan sulung dalam arus profesional bola sepak negara ketika itu. Pada musim berikutnya, beliau mula lebih banyak beraksi walaupun prestasi Pahang kurang memberansangkan.

Jurulatih kebangsaan ketika itu, Allan Harris amat gemar dengan corak permainan beliau dan seorang lagi pemain tempatan kelahiran Pahang iaitu Juzaili Sameon, sehinggalah kedua-duanya tersenarai dalam senarai akhir 19 pemain ke Piala AFF 2002. Fadzli Shaari terus menjadi pilihan Allan Harris bagi menghadapi Sukan SEA Vietnam 2003 dan berjaya meraih pingat gangsa.

Aksi Fadzli Shaari dalam perlawanan Liga Super bertemu Kedah di Stadium Darul Makumur pada musim 2004

Musim 2004 merupakan antara musim terbaik beliau, apabila menjadi nadi utama skuad Pahang menjulang trofi sulung dan satu-satunya kejuaraan Liga Super. Beliau turut menjaringkan 8 gol dalam semua kejohanan sepanjang musim tersebut.

Aksi cemerlang bersama Pahang turut menjadi faktor nama beliau sekali lagi tersenarai dalam kejohanan Piala AFF 2004, namun sekali lagi kecundang di separuh akhir dan sekadar berpuas hati di tempat ketiga kejohanan. Fadzli turut mencatat nama sebagai penjaring gol apabila menyumbang 1 jaringan ketika menewaskan Timor Leste 5-0 dalam peringkat kumpulan.

Kecemerlangan pemain ini sekali lagi diteruskan di musim 2005 apabila beliau muncul penjaring kedua terbanyak liga bagi pemain tempatan dengan 6 gol di belakang rakan sepasukan, Indra Putra Mahyuddin (11 gol).

Musim tersebut menyaksikan Pahang gagal mempertahankan mahkota Liga Super apabila sekadar berpuas hati dengan gelaran Naib Juara di belakang seteru utama, Perlis.

Pahang turut kecundang awal dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia. Dalam saingan bola sepak Sukan Sea 2005 Manila, Fadzli dipilih untuk memakai lilitan kapten oleh jurulatih, Norizan Bakar. Sekali lagi rezeki beliau di peringkat kebangsaan sekadar meraih pingat gangsa, apabila tersekat di separuh akhir, kali ini tunduk kepada Vietnam.

Norizan Bakar terus menagih khidmat Fadzli bagi menghadapi Piala Asia 2007 yang menyaksikan Malaysia terkandas awal selepas kecundang dalam semua perlawanan.

Muncul juara Piala FA 2006. Kredit foto : PahangCommunity.com

Selepas cemerlang bergelar Juara dan Naib Juara Liga Super untuk 2 musim awal secara berturutan, musim 2005/2006 menyaksikan kemerosotan prestasi Pahang apabila menduduki tanggan kedua tercorot liga (Pahang ‘terselamat’ daripada relegasi selepas format ditukar dengan menambah pasukan menjadi 14 pasukan untuk musim 2006/2007).

Namun begitu, dalam saingan Piala FA, Pahang yang tidak diletakkan sebarang harapan berjaya mencipta kejutan dengan muncul juara menewaskan Perlis. Fadzli Shaari antara watak utama dalam kejayaan ini dengan meledak 2 gol sepanjang kejohanan Piala FA, selain membarisi kesebelasan utama dalam perlawanan akhir yang menyaksikan Pahang menang menerusi sepakan penalti 4-2.

Selepas mengutip 2 trofi utama bola sepak negara sepanjang 6 musim bersama Pahang, Fadzli Shaari memilih untuk berpindah ke Selangor di bawah kendalian lagenda Pahang, Dollah Salleh pada musim 2006/2007.

Perjalanan ‘Si Pengembara’

Fadzli memulakan perjalanan ke luar daripada tanah kelahiran di Selangor selama 2 musim dan berjaya membantu Selangor muncul Naib Juara Piala FA dan Piala Malaysia 2008.

Kemudian beliau menyertai KL Plus selama 2 musim (2009-2010), sebelum pulang ke pangkuan Selangor selama semusim lagi (2011). Beliau kembali ke Pantai Timur untuk menyertai T-Team selama semusim (2012), dan mungkin ramai penyokong Pahang masih ingat akan jaringan ‘bicycle kick’ beliau ketika membenam bekas pasukan kesayangannya itu dalam saingan awal Piala FA.

Kemudian Fadzli bersatu kembali dengan bekas rakan sepasukan semasa bersama Pahang, yang juga ipar beliau, Juzaili Sameon di Sime Darby selama semusim (2013) dan membantu kelab berkenaan naik ke Liga Super buat pertama kali selepas muncul Naib Juara Liga Perdana.

Fadzli mengembara lagi ke ATM untuk 2 musim (2014-2015) sewaktu usia mula menjengah ‘3 siri’. Untuk musim 2016-2017, Fadzli dipikat kelab yang baru naik dari Liga FAM, Felcra FC, dan muncul sebagai kapten pasukan dalam beberapa perlawanan musim lalu. Berakhir musim 2017, Fadzli mengumumkan persaraan daripada dunia bola sepak di usia 34 tahun, dan dilantik sebagai Penolong Jurulatih bersama Rosle Md Derus di Felcra FC, di bawah kendalian jurulatih import Brazil, Tarcisio Pugliesi.

Walaupun perjalanan Fadzli tidaklah penuh dengan deretan trofi seperti lagenda ‘journey man’ lain, antaranya Hairuddin Omar dan Indra Putra, namun pengalaman perjalanannya daripada Jerman sehinggalah menjelajah ke pelusuk kelab dalam negara adalah trofi yang sebenar.

Tidak lupa juga, jasa yang beliau taburkan selama 6 musim bersama Pahang amatlah besar. Semoga berjaya buat ‘Si Pengembara’ Fadzli ! Jasa anda kami akan kenang sepanjang zaman.

Biodata

Nama : Mohd Fadzli Shaari

Tarik Lahir : 1 Januari 1983

Asal : Kg. Budu, Kuala Lipis, Pahang

Kelab : SV Wehen (2001), Pahang (2002-2006), Selangor (2007-2008), KL Plus (2009-2010), Selangor (2011), T-Team (2012), Sime Darby (2013), ATM FA (2014-2015), Felcra FC (2016-2017)

Jawatan Kini : Pembantu Jurulatih Felcra FC

Koleksi Kejuaraan : Pahang – Juara Liga Super, Juara Piala FA

Facebook Comments

Related posts

One Thought to “Fadzli Shaari – Kisah Permata Bola Sepak Pahang Dan Pengembaraannya”

  1. […] Permata bola sepak Pahang yang pernah berkelana ke Jerman ini mengemudi jentera tengah dalam aksi Final. Selepas membantu Pahang memenangi trofi sulung Piala FA, Fadzli meninggalkan tanah kelahiran berpindah ke Selangor. […]

Leave a Comment

%d bloggers like this: