Fakta Pelbagai 

“Kelas 2001” – Kisah Yunus Alif Membentuk Skuad Muda Pahang Sehingga Layak Ke Separuh Akhir Piala Malaysia

Penyokong Pahang pernah dikejutkan dengan perubahan drastik musim 2016, yang kononnya ingin memperkenalkan ‘DNA’ Pahang yang di’ambil’ bakatnya dari luar negeri Pahang.

Hasilnya, umum mengetahui pengakhiran skuad tersebut. Mungkin tak ramai mengetahui Pahang pernah membuat perkara sama 17 tahun lalu, di bawah kendalian jurulatih dan lagenda Pahang pada era 80-an, Yunus Alif. Namun bezanya ketika itu, 95% dari barisan pemain adalah anak watan Pahang.

Persiapan Pasukan Pra-Musim 2001

Yunus Alif bersama skuad Pahang ketika menjalani latihan

Bola sepak era 90-an dan awal milienium popular dengan terma ‘menggugurkan pemain’ dan ‘pemilihan terbuka’ bagi mempersiapkan pasukan menghadapi saingan musim baru.

Terdapat beberapa pasukan yang menggugurkan kesemua pemain dan membuat pemilihan terbuka untuk mempersiapkan pasukan. Persiapan sesetengah pasukan liga ‘pro’ Malaysia ketika itu ibarat persediaan menghadapi liga peringkat daerah mahupun parlimen. Gaji pemain pula ketika itu dibayar antara RM1,500 ke RM5,000, bergantung kepada status pemain dan tidak termasuk elaun.

Kem pengurusan Pahang ketika itu ingin mempersiapkan sebuah pasukan ber’DNA’ Pahang untuk musim 2001. Ini adalah rentetan kecemerlangan pasukan Pahang yang mempamerkan persembahan yang sangat baik di peringkat SUKMA dengan meraih 4 emas daripada 5 kejohanan SUKMA sepanjang tahun 1992-2000.

Hanya SUKMA 1998 di Selangor sahaja Pahang gagal meraih emas selepas tumbang 0-5 di peringkat separuh akhir kepada tuan rumah. Pemilihan jurulatih ketika itu juga dikatakan mahu memilih anak negeri, Nazri Md Nor, sebelum PBNP membuat keputusan memilih lagenda Pahang kelahiran Terengganu, Yunus Alif.

Pahang meraih Emas Sukma 1994. Kredit : Pemilik gambar

Pada persiapan pra-musim, Pahang bermula dengan serba kekurangan, dengan pemain terbaik Pahang ketika itu seperti Azizul Kamaluddin dan Ahmad Shahruddin Rosdi dibelenggu kecederaan, Yunus Alif berani mempertaruhkan pemain muda Pahang yang masih cetek pengalaman mengharungi pusingan awal liga.

Nama seperti Azmani Abdul Kadir, Khairul Anuar Karim, Shahril Faizal Sharifuddin, Suresh Santaran, Azrul Hisyam Ibrahim, Irwan Sulaiman, Hairul Nizam Hanif digandingkan dengan pemain berpengalaman seperti Ali Tahar, Jalaluddin Jaafar, Azhar Kamaluddin dan Azaruddin Aziz, berjaya menghasilhan ramuan yang baik buat Pahang ketika itu.

Selain itu, musim 2001 juga menyaksikan dua pemain yang mendapat pendedahan di luar negara, Juzaili Sameon (Perancis) dan Ahmad Fadzli Shaari (Jerman) mula meniti di bibir penyokong Pahang apabila memulakan karier bersama skuad Tok Gajah.

Saingan Liga

Perlawanan pembukaan menyaksikan Pahang menjadi tuan rumah kepada naib juara Piala Malaysia musim sebelumya, Negeri Sembilan yang dibarisi pemain berpengalaman seerti Azman Adnan, Zami Md Nor, Azmi Mohamed, Hamsani Ahmad, K Rajan dan ramai lagi.

N.Sembilan mudah mendahului Pahang pada awal perlawanan hasil gol sepakan gunting Azman Adnan. Namun Pahang berjaya bangkit membenam N.Sembilan dengan kemenangan 6-2, di mana 5 gol Pahang dijaringkan gandingan penyerang muda Azmani Kadir (3 gol)-Khairul Anuar Karim (2gol).

Skuad Pahang 2001. Kredit : Pemilik gambar

Antara perlawanan liga yang mencuri tumpuan ketika itu juga, Pahang berjaya menewaskan juara bertahan Piala Malaysia, Perak hasil jaringan penghujung permainan pemain gantian, Suresh Santaran yang baru membuat sentuhan pertama dengan mencuri bola daripada penjaga gol Perak, Azlisham Ibrahim yang gagal mengawal bola di kaki selepas menerima hantaran daripada pertahanan Perak.

Selain itu, antara perlawanan yang menjadi igauan ngeri penyokong Pahang ialah, dimalukan Selangor 1-4 di Stadium Darul Makmur. Perjalanan liga Pahang kemudian nya ada pasang surut dan akhirnya menghuni tangga ke-5, hanya 2 mata dipisahkan daripada juara Liga Perdana 1 musim 2000, Selangor. Pulau Pinang berjaya menjulang trofi Liga Perdana 1, manakala Johor kembali ke Liga Perdana II selepas hanya 2 musim dinaikkan pangkat ke Liga Perdana I.

Piala FA dan Piala Malaysia

Dalam saingan Piala FA musim itu, Pahang gagal menyerlah apabila tumbang seawal pusingan ke-3 kepada Sabah dengan aggregat 1-2. Namun begitu, dalam saingan Piala Malaysia, Pahang berjaya mencuri tumpuan apabila tidak pernah tewas dari peringkat kumpulan, yang dibarisi Kelantan, NS Chempaka dan Sarawak.

Pada peringkat suku akhir, Pahang diundi bertemu Perlis, yang ketika itu dibarisi Badrul Afzan Razali, S Padya Rao, Che Zambil Ahmad, Amran Omar dan Manzoor Azwira. Pada pusingan pertama di Stadium Darul Makmur, Perlis berjaya mengikat Pahang 1-1. Rekod buruk Pahang di Kangar ternyata menggusarkan penyokong Pahang dan majoritinya tidak meletakkan harapan tinggi untuk Pahang ke Separuh Akhir.

Namun, realiti berlaku sebaliknya apabila Pahang beraksi cemerlang apabila bangkit daripada ketinggalan 1-2 pada penghujung permainan, hasil gol penyamaan pertahanan muda, Shahril Faizal Sharifuddin yang mengheret perlawanan ke penentuan “Gol Emas”. Jalaluddin Jaafar muncul wira apabila menjaringkan “Gol Emas” hasil rembatan dari luar kotak penalti menewaskan Amran Omar.

Aksi cemerlang di Kangar diteruskan dalam perlawanan pertama separuh akhir di Ipoh, apabila Pahang cemerlang menewaskan Perak 1-0 hasil tandukan Ahmad Shahrudin Rosdi menerusi satu sepakan penjuru kontroversi daripada Azizul Kamaluddin. Pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penjuru kepada Pahang walaupun ulang tayang ketika itu menyaksikan bola tidak terkena kaki pemain Perak sebaliknya terkena kaki Ahmad Shahrudin Rosdi.

Perlawanan separuh akhir kedua berlangsung di hadapan puluhan ribu penyokong Pahang yang memenuhi segenap penjuru Stadium Darul Makmur. Entah dari mana datangnya mereka, kerana dari awal musim sampai ke habis perlawanan liga, bilangan penyokong yang hadir tidak sampai pun 1000 orang, melainkan melibatkan perlawanan tumpuan seperti bertemu Selangor dan Terengganu.

Namun begitu, majoriti penyokong yang hadir pada malam itu yakin benar Pahang bakal muncul ke pentas final selepas gagal selama 4 musim berturut-turut. Mana tidaknya, bekalan 1 gol dari Ipoh, tambahan beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong ‘glory hunter’ Pahang, bakal menjadi tonik terbaik skuad Yunus Alif.

Perlawanan berlangsung dalam hujan, dan ternyata menjadi rahmat buat penyerang prolifik negara ketika itu, Khalid Jamlus. Beliau berjaya menjaringkan 2 gol dan Azrul Amri Borhan turut mencatat nama sebagai penjaring gol menenggelamkan harapan menggunung Pahang untuk ke final.

Penyerang remaja Pahang yang berguru di Jerman, Fadzli Shaari muncul buat pertama kali di pentas bola sepak negara ketika itu, apabila masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua. Perak ke final untuk tahun kedua berturut-turut, namun tumbang di tangan sebuah lagi pasukan Pantai Timur, Terengganu 1-2.

Rumusan

Pahang gagal meraih sebarang trofi pada musim 2001, namun berjaya melahirkan beberapa ‘ubi’ berbakat yang turut menjadi buruan pasukan lain pada tahun mendatang. Juzaili Sameon dan Fadzli Shaari berjaya mendapat tempat di dalam skuad Allan Harris di Sukan SEA XXI 2001 Kuala Lumpur, namun hanya Juzaili berjaya menyertai senarai akhir 20 pemain.

Juzaili Sameon, Hairul Nizam Hanif, Iskandar Zulkarnain, Ahmad Wahid dan Shahril Faizal Sharifuddin antara bakat muda yang kekal bersama Pahang sehingga meraih trofi sulung Liga Super pada musim 2004. Shahril Faizal turut menjadi watak utama skuad juara Piala FA 2006 sebelum berhijrah ke Kedah. Azmani Abdul Kadir beraksi beberapa musim sebelum berhijrah ke Johor. Hairul Nizam Hanif turut berkelana ke beberapa pasukan seperti Telekom Melaka dan Sime Darby.

Antara Skuad Yunus Alif 2001

1 Irwan Sulaiman, 2 Jalaluddin Jaafar, 3 Suhaimi Md Nor, 5 Ali Tahar, 6 Azhar Kamaluddin, 7 Khairul Nizam Man, 8 Safri Mokhtar, 9 Khairul Anuar Karim, 10 Azmani Abdul Kadir, 11 Juzaili Sameon, 12 Azizul Kamaluddin, 14 Iskandar Zulkarnain, 15 Ahmad Shahruddin Rosdi, 16 Al Rafaie Ali, 17 Hairul Nizam Hanif, 18 Fadzli Shaari, 19 Azaruddin Aziz, 20 Shahril Faizal Sharifuddin, 21 Norhafizal Basri, 22 Zuraimi Hassan, 23 Suresh Santaran, 24 Shahrizan Salleh, 25 Azrul Hisyam Yusof/Mudzar Mohamed

Kedudukan Liga Perdana 1 2001

LIGA PERDANA 1 2001
Pasukan P M S K J B Mt
 1.Penang 22 15 5 2 45 14 50
 2.Terengganu 22 12 5 5 37 20 41
 3.Kelantan 22 11 5 6 33 21 38
 4.Selangor 22 8 10 4 36 22 34
 5.Pahang  22 9 5 8 34 29 32
 6.Perlis 22 9 4 9 31 31 31
 7.Perak 22 8 5 9 38 34 29
 8.Negeri Sembilan 22 7 6 9 32 39 27
 9.Sarawak 22 5 9 8 19 26 24
10.Kuala Lumpur 22 5 8 9 19 34 23
11.Melaka 22 6 4 12 25 38 22
12.Johor 22 2 4 16 13 54 10
Piala Malaysia 2001
Piala Malaysia 2001 (Kumpulan B)
Pasukan P M S K J B Mt
1.Pahang    6 3 3 0 8 5 12
2.Kelantan 6 2 1 3 7 6 7
3.NS Chempaka 6 2 1 3 10 10 7
4.Sarawak 6 2 1 3 7 11 7

Suku Akhir

Pusingan Pertama

Pahang 1-1 Perlis

Pusingan Kedua

Perlis 2-3 Pahang (aet)

Pahang layak dengan aggregat 4-3 selepas masa tambahan

Separuh Akhir

Pusingan Pertama

Perak 0-1 Pahang

Pusingan Kedua

Pahang 0-3 Perak

Perak layak dengan aggregat 3-1

Facebook Comments

Related posts

Leave a Comment

%d bloggers like this: