Fakta Pelbagai Ulasan 

Kisah 4 Pemain Import ‘singkat’ Pahang

Sejak dari dahulu lagi, pelbagai kisah menarik dan lucu mengenai pemain import sentiasa mewarnai kancah Liga Malaysia. Penipuan agen pemain import, penipuan rekod kecederaan, ‘scouting’ dari video/You Tube, dan aksi ‘Indah Khabar Dari Rupa’ kerap kali berlaku saban musim sehinggalah ke hari ini.

Pahang turut tidak terlepas dalam menurut ‘tradisi’ pasukan Liga Malaysia dalam pemilihan pemain import, malah juga terkenal dengan menggunakan khidmat pemain import dalam tempoh yang sangat singkat, seperti yang berlaku pada musim ini.

Berikut merupakan 4 pemain import Pahang yang digugurkan selepas hanya memberi khidmat yang pendek kepada pasukan :

 

4. Nikolche Klechkaroski (Macedonia)

‘Resume’ penyerang tinggi lampai dari Macedonia ini juga agak misteri dan dikhabarkan pernah beraksi dalam kelayakan Liga Juara-juara Eropah mewakili kelab Macedonia iaitu FK Makedonija menentang Bate Borisov.

Sekadar menjaringkan 4 gol daripada 19 pernampilan bersama kelab gergasi Vietnam, SHB Da Nang FC, sebelum dipancing kem pengurusan ke Darul Makmur untuk saingan Liga Super 2013 bersama penyerang Maghribi, Mohamed Borji.

Penampilan pertama Niko dalam kesebelasan utama ketika membenam JDT 3-2 dalam perlawanan pertama liga, sebelum dikeluarkan bersama Borji pada waktu rehat, digantikan dengan pemain tempatan.

Ia jelas sebagai isyarat bahawa beliau seorang import yang gagal. Hanya 50 minit Niko beraksi sepanjang bersama Pahang sebelum dilepaskan juga bersama Borji.

Nikolche Klechkaroski (belakang Fauzi Roslan) ketika aksi bertemu JDT.

 

3. Matthew Bingley (Australia)

Matthew Bingley menanduk masuk jaringan pendahuluan Pahang ketika menentang Perlis di Stadium Kangar. Pahang tewas 1-2. Kredit Foto : The Star

Selepas mendapatkan khidmat penyerang antarabangsa Australia, Ante Milicic, Tok Gajah sekali lagi mengamalkan dasar pandang ke Australia dengan mengambil Matthew Bingley, bekas pemain Australia yang muncul naib juara Piala Konfederasi 1997 dan juara Piala Ocenia OCF 1996.

Hadir ketika berumur 33 tahun sewaktu saingan Liga Super Malaysia 2004 rancak berjalan, bagi mengisi kekosongan bahagian tengah yang ditinggalkan Fernando Horacio yang dilaporkan mengalami ‘kecederaan’ serta digugurkan selepas hanya beraksi dalam beberapa perlawanan.

Bingley membarisi kesebelasan utama skuad kendalian Zainal Abidin Hassan ketika bertemu Perlis di Kangar dan hanya memerlukan 24 minit untuk menanduk masuk gol pendahuluan, sebelum Perlis bangkit dengan 2 gol oleh Joao Bandoch dan Philimmon Chipieta.

Bingley kemudiannya digantikan dengan Juzaili Sameon pada separuh masa kedua, dan itulah kali terakhir beliau kelihatan bersama Pahang. Selepas perlawanan di Kangar, seorang lagi pemain Australia, Simon Colosimo hadir ke Darul Makmur, dan kekal beraksi sepanjang musim 2004 bersama John Bass, Mamadou Diallo, dan Ante Milicic untuk merangkul kejuaraan sulung Liga Super.

 

 

2. Sergio Unrine (Argentina)

Sergio Unrine. Kredit foto : Pahang FA

Produk Boca Juniors seperti Yamil Romero, Sergio Unrine dikhabarkan bakal menjadi jelmaan Matias Conti. Mana tidaknya, beliau merupakan penjaring terbanyak liga remaja Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) untuk 5 musim berturut-turut.

Namun harapan penyokong Pahang ternyata meleset, sekadar memanaskan bangku simpanan ketika perlawanan pembukaan Liga Super 2018 menentang Perak, sebelum membuat penampilan untuk baki 21 minit terakhir perlawanan.

Dalam perlawanan kedua menentang PKNS, Sergio terus memanaskan bangku simpanan dan langsung tidak beraksi, di saat Forkey Doe kelihatan mundar-mandir di bangku penonton.

Cukup 21 minit sahaja beliau bermain, khidmatnya ditamatkan dan Forkey Doe menjadi pilihan Dollah Salleh dalam perlawanan ketiga bertemu Kelantan.

Alberto Naves ketika bersama Independiente.

1.Alberto Naves (Argentina)

Sebagai juara bertahan Liga Perdana, Pahang membuat persiapan rapi bagi menghadapi musim 1996. Berita kehadiran Alberto Naves, penyerang sensasi kelahiran Argentina hangat diperkatakan di media arus perdana.

Kelibat aksi hebat beliau di padang latihan Pahang berhadapan Masjid Sultan Ahmad 1 turut menjadi bualan hangat penyokong Pahang ketika itu. Namun begitu, ternyata semuanya indah khabar dari rupa.

Beliau sebenarnya bergelut dengan masalah kecederaan dan hanya mampu beraksi 10 minit dalam perlawanan pembukaan menentang Sarawak yang menyaksikan Pahang tewas 0-1.

Ada sumber memberitahu jurulatih ketika itu hanya melakukan ‘scout’ melalui rakaman pita video sahaja, namun kesahihannya tidak diketahui. Kisah Naves ini kekal menjadi bahan jenaka setiap kali berita pemilihan pemain import Pahang dibincangkan sehingga ke hari ini.

Rumusan

Pemilihan pemain import perlu diperincikan dengan lebih serius oleh semua pasukan di Liga Malaysia. Impak di atas kesilapan memilih pemain sangatlah besar, bukan sahaja kepada keputusan perlawanan, malah mungkin mengakibatkan pasukan didenda atau digantung sekiranya tidak mengikut garis panduan yang betul dalam menamatkan kontrak pemain.

Sebagai contoh, kes tunggakan gaji Mohamed Borji yang dibawa ke FIFA pada 2015, yang akhirnya menyaksikan Pahang dipotong mata dan terlepas gelaran Naib Juara Liga Super ketika itu.

Memang tidak dapat dinafikan pemilihan pemain import terdahulu ada yang menepati kriteria dan banyak membantu pasukan meraih kejayaan sebelum ini. Namun, para peminat bola sepak Pahang berharap, pihak pengurusan lebih peka dalam melakukan pemilihan dan menjadikan segala kisah kegagalan pemilihan pemain import terdahulu sebagai penanda aras untuk mengharungi musim-musim hadapan.

Featured Image: Media PBNP

Facebook Comments

Related posts

Leave a Comment

%d bloggers like this: