Fakta Pelbagai 

5 Pemain Import Dari Singapura Yang Mencipta Nama Bersama Pahang

Barisan pemain-pemain import dari negara-negara Asia Tenggara amnya dan Singapura Khususnya bukanlah asing dalam landskap bola sepak tempatan sejak dari era Semi Pro lagi.

Nama-nama seperti K Kannan, Abdul Malek Awab, Aide Iskandar, Hasnim Haron dan Mohd Noh Alam Shah adalah antara watak yang sinonim dalam skuad di Liga Malaysia satu ketika dahulu.

Penyertaan beberapa lagi pemain-pemain import dari Singapura ini diteruskan legasinya sehingga memasuki era bola sepak baharu di pentas Liga Malaysia dengan menampilkan nama-nama seperti Baihakki Khaizan, Harris Harun, Shahril Ishak, Faris Ramli dan termasuklah Safuwan Baharudin yang kini bersama Pahang.

Artikel ini mengimbau kembali 5 pemain dari Singapura yang dianggap terbaik dalam membantu pasukan Pahang sejak dari zaman Semi Pro lagi.

5. V. Sundramoorthy

Sundramoorthy (Barisan kedua/dua dari kiri) ketika bersama Pahang pada tahun 1991. Kredit: Pemilik Gambar.

Beliau mula bertapak dalam saingan Liga Semi Pro di Malaysia ketika bersama skuad Kedah pada tahun 1987-1990. Penampilan bersama skuad Hijau Kuning itu dilihat meninggalkan kenangan yang manis selepas membantu pasukannya memenangi kejuaraan Piala Malaysia buat kali pertama pada tahun 1990.

Mempunyai pengalaman beraksi di Eropah bersama pasukan FC Basel dan berbekalkan aksi yang memukau ketika bersama Kedah menarik perhatian pengurusan Pahang untuk memperkuatkan barisan pemain pada musim 1991.

Beliau yang sinonim dengan bermain di bahagian tengah merupakan nadi penggerak pasukan bersama rakannya iaitu Fandi Ahmad. Ketika itu juga, Pahang dilihat pasukan ‘favourite’ untuk membawa pulang piala yang dipertandingkan selepas berjaya mengikat Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan dari Selangor.

4.  Borhan Abu Samah

Borhan berdiri 3 dari kanan ketika beraksi merebut Piala Sumbangsih di Larkin. Kredit: Pemilik gambar (tidak dinyatakan).

Bersama skuad Pahang di awal era 90an dan merupakan seorang pemain pertahanan kiri yang membentuk kubu kuat pasukan. Ketika bersama Pahang, beliau berjaya menjadi watak penting dalam membantu Pahang menjulang kejuaraan Piala Malaysia tahun 1992.

Meskipun dikeluarkan dan digantikan dengan Osaimi Jalil pada perlawanan akhir Piala Malaysia bertemu Kedah, sumbangan beliau tetap signifikan dalam memastikan Pahang layak ke pentas akhir. Dalam pada itu, beliau turut membantu Pahang menewaskan Johor 0-2 dalam perebutan Piala Sumbangsih musim 1992.

3. R. Suriamurthi

Sebelum menyertai Pahang, sumbangan beliau lebih dikenali ketika bersama dengan pasukan Tampines Rovers sekitar penghujung era 70an. Mula menyertai Pahang pada tahun 1982, menjadikan beliau dan rakannya iaitu T. Pathmanathan sebagai pemain import pertama yang pernah bersama Pahang sebaik pintu penyertaan pemain import di buka dalam kancah liga tempatan.

Beraksi di posisi tengah, beliau turut berada dalam skuad kebangsaan Singapura pada tahun 1980 ketika itu dikendali oleh Jita Singh dan beraksi di kelayakan pra-Olimpik di mana Singapura menamatkan saingan kumpulan sebagai naib juara di belakang pasukan Iran.

R Suriamurthi (duduk paling kiri) dan T Pathmanathan (berdiri 3 dari kiri) ketika mewakili Pahang pada tahun 1984. Kredit: Kelab Jersi Kita

Ketika bersama pasukan Pahang pada tahun keduanya, beliau turut membantu Pahang menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama pada tahun 1983 dan antara kepakaran pemain ini adalah memiliki sepakan lencong terutamanya ketika mengambil sepakan sudut.

Beliau sekali lagi beraksi dalam pentas akhir Piala Malaysia tahun 1984 dengan sekali lagi bertemu Selangor. Pada malam itu, beliau berjaya menjaringkan gol cantik, namun belum cukup untuk memastikan Pahang mempertahankan Piala Malaysia 1984 selepas tewas ke atas Selangor dengan jaringan 3-1.

2. T. Pathmanathan

Seperti rakannya iaitu R Suriamurthi, mereka merupakan pemain import pertama yang mula mengetuk pintu masuk ke dalam skuad Pahang, sebelum deretan pemain import Thailand menyertai Pahang seperti Ronnachai Sayomchai, Piyapong Pueon, Vitoon Kijmongkolsak dan Attapol Buspakom.

Berbanding Suriamurthi, kenangan pemain ini sedikit meninggalkan impak yang mendalam selepas beliau mencetak nama sebagai penjaring gol ketiga Pahang pada perlawanan akhir Piala Malaysia 1983 bertemu Selangor di Stadium Merdeka.

Bukan itu sahaja, pada perlawanan akhir Piala Malaysia itu juga, T Pathmanathan turut muncul sebagai wira Pahang selepas berjaya mengeluarkan bola hasil tandukan Mokhtar Dahari sebelum melepasi garisan gol tatkala penjaga gol Pahang, Sanusi Daud sudah pun tertewas. Meskipun berbekalkan kemenangan tipis 2-3, ia sudah cukup melakar sejarah buat bola sepak negeri Pahang memenangi Piala Malaysia buat kali pertama.

1. Fandi Ahmad

Foto Kredit: Chedinsphere.blogspot.com

Nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam landskap bola sepak di Asia Tenggara. Terlebih dahulu mencipta nama ketika bersama Kuala Lumpur sekitar tahun 1987-1989 sebelum memilih bersama pasukan Pahang pada tahun 1991.

Meskipun tiada kejayaan manis dikecapi pada musim 1991, namun pengakhiran kariernya bersama pasukan Pahang sedikit meninggalkan kenangan manis selepas membantu Pahang menjuarai Piala Malaysia pada tahun 1992 dengan menundukkan Kedah 1-0 di Stadium Merdeka.

Selain pernah bermain di Malaysia, beliau turut mencipta nama di Eropah dan pernah diikat kontrak selama 3 musim bersama pasukan berpangkalan di Belanda iaitu FC Groningen sekitar tahun 1983-1985.

‘Resume’ yang baik dan pengalaman luasnya dalam dunia bola sepak di peringkat domestik dan antarabangsa membuatkan pemain ini selayaknya berada dikedudukan pertama dan pasukan Pahang harus berbangga kerana menjadi salah satu pasukan yang disertai pemain bertuah ini.

Facebook Comments

Related posts

Leave a Comment

%d bloggers like this: