Berita 

Forkey Doe Buka Akaun Jaringan, Bantu Pahang Lakar Kemenangan Pertama

Gol jaringan Francis Forkey Doe, Mohamadou Sumareh dan Nor Azam Azih berjaya menamatkan kemarau gol dan kemenangan buat Pahang selepas berjaya menundukkan Kelantan di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Pahang turun dengan menampilkan pemain import baharu, Francis Forkey Doe menggantikan Sergio Unrein di bahagian serangan sambil kembali meletakkan Faisal Rosli di posisi bek kiri.

Bagi skuad pelawat pula, Nik Sharul Azim dan Margoro Gomis direhatkan dan masih meletakkan Bruno Lopes sebagai penyerang tunggal untuk merobek kubu lawan.

Pahang jelas menampilkan persembahan yang amat positif seawal minit permainan dan segera menguasai perlawanan. Pada minit ke 11, Forkey Doe hampir meletakkan Pahang di hadapan, namun tandukannya melepasi palang gol.

Namun demikian, berselang 2 minit kemudian, jaringan pertama Pahang akhirnya tiba melalui tandukan Forkey Doe hasil sepakan percuma Chan Vathanaka.

Muslim Ahmad hampir menambah jaringan, namun tandukannya pada minit ke 15 hasil hantaran Nor Azam dipatahkan Khairul Fahmi Che Mat.

Pasukan Kelantan turut membalas serangan dan mendapat peluang pada minit ke 22, tetapi kali ini Helmi Heliza lebih bersedia untuk menepis tandukan Ahmad Shukri dalam kotak penalti.

Di babak-babak akhir perlawanan separuh masa pertama, Pahang sepatutnya menggandakan jaringan, mujurlah sepakan susulan Mohamadou Sumareh sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol lawan menjadikan tuan rumah menamatkan separuh masa pertama dengan jaringan 1-0.

Pahang memulakan babak kedua perlawanan dengan mengendurkan sedikit serangan dan hanya kembali mengatur gerak selepas perlawanan melalui minit ke 50.

Serangan demi serangan banyak menghasilkan sepakan penjuru. Pada minit ke 55, melalui sepakan penjuru Vathanaka, Sumareh berjaya menambah jaringan buat Pahang selepas memanfaatkan keadaan kelam kabut dalam kotak penalti.

Chan Vathanaka hampir menambah derita Kelantan, mujurlah sepakan kencangnya dari sebelah kiri pintu gol lawan terkena tiang gol tatkala Khairul Fahmi sudah tertewas.

Pahang terus bernafsu memburu gol dan memiliki dua peluang pada minit ke 63 dan 70 melalui Forkey Doe dan Nor Sharul, namun kali ini sekali lagi Khairul Fahmi bertindak cemerlang mengagalkannya.

Kelantan cuba mengimbangi permainan melalui serangan balas dan turut mendapat peluang untuk merapatkan jurang gol, namun demikian, Nor Farhan gagal menyudahkan hantaran cantik Dong Hyun pada minit ke 80.

Nor Azam Azih memastikan pertarungan derbi Pantai Timur milik  Pahang selepas berjaya menjaringkan gol ketiga melalui rembatan derasnya dari luar kotak penalti sekaligus menceriakan hampir 10,000 penyokongnya di Stadium Darul Makmur.

Tamat separuh masa kedua, Pahang berjaya menwaskan Kelantan dengan jaringan 3-0.

Facebook Comments

Related posts

Leave a Comment

%d bloggers like this: