Berita Pahang FA 

unifi Liga Super: Pahang Tersungkur Di Shah Alam

Hasrat pasukan Pahang memburu kemenangan pertama dalam saingan unifi Liga Super tidak kesampaian selepas tewas ke atas PKNS dengan jaringan 1-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Gol tunggal berjaya dijaringkan Mohd Safee Sali dipenghujung babak kedua permainan menyaksikan PKNS berjaya melakar kemenangan pertama musim ini.

Separuh masa pertama

Skuad Pahang masih menampilkan kesebelasan utamanya kecuali merehatkan Faisal Rosli dan membawa masuk Zubir Azmi di bahagian pertahanan kiri.

Begitu juga dengan pasukan tuan rumah yang tidak banyak membuat pertukaran dengan masih mempertaruhkan gandingan Safee Sali dan Rafael Ramazotti untuk memburu jaringan.

PKNS dilihat mula mengatur serangan dan mengawal permainan seawal 5 minit pertama perlawanan. Pahang mula mendapat rentak selepas itu dan berjaya mendapatkan percubaan tepat melalui Chan Vathanaka pada minit ke 9 permainan.

Pada minit ke 14, giliran Safuwan Baharudin pula menguji penjaga gol PKNS, Mohd Shahril melalui satu sepakan jarak jauh di luar kotak penalti, namun belum cukup untuk meletakkan pasukan Pahang di hadapan.

Perlawanan lebih tertumpu di bahagian tengah menyaksikan kedua-dua pasukan masih tercari-cari momentum serangan. Namun begitu, PKNS turut mendapat peluang terbaik mencipta jaringan melalui rembatan kencang Faris Ramli, namun sedikit melewati palang gol.

Menjelang tamat separuh masa pertama, pasukan pelawat hampir memecah kebuntuan melalui dua percubaan berturut-turut oleh Safuwan Baharudin dan R Kogileswaranm namun benteng pertahanan PKNS terus kebal bertahan menjadikan perlawanan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Separuh masa kedua

Pahang jelas bersemangat memulakan separuh masa kedua dengan banyak mengatur serangan sehinggakan mendapat 3 sepakan percuma seawal 10 minit pertama. Namun percubaan demi percubaan itu digagalkan barisan pertahanan tuan rumah.

Safuwan Baharudin banyak berada di bahagian serangan bagi menambah sengat serangan sehinggakan banyak mendatangkan masalah kepada kubu lawan.

Peluang terbaik Pahang menjelma pada minit ke 57, namun pemain pertahanan, Muslim Ahmad gagal menyudahkan sepakan percuma R Kogileswaran.

Meskipun Pahang banyak menguasai perlawanan, PKNS sesekali mengatur serangan balas dan menyaksikan Safee Sali berjaya melepaskan rembatan tepat ke gawang Pahang bagi menguji Helmi Heliza.

Beberapa pertukaran dilakukan kedua-dua pasukan bagi menambah kesegaran untuk memburu gol kemenagan. Namun tidak banyak percubaan berbahaya berjaya dicipta.

Namun demikian, PKNS dengan tidak semena-mena mendapat gol kemenangan dipenghujung separuh masa kedua berpunca dari sepakan penjuru dan disudahkan  Mohd Safee Sali sekaligus menyaksikan skuad Tok Gajah tumbang di Shah Alam.

Barisan pemain-pemain:

PKNS FC: Mohd Shahril Saari (GK), Zachary Anderson, Muhammad Jafri Chew (Shahrul Azhar Ture), Mohd Safee Sali (K),Muhammad Qayyum Marioni, Azmizi Azmi, Jonathan Acosta (K Gurusamy), Romel Oswaldo (Mahali Jasuli), Rafael Ramazotti, Muhammad Faris Ramli, K Reuben.

Pahang FA: Helmi Heliza (GK), Zubir Azmi, Alex Morales, Muslim Ahmad, Matthew Davies (K), Chan Vathnaka, Norazam Azih (R Dinesh), Safuwan Baharudin, Mohamadou Sumareh, Nor Shahrul Idlan, R Kogileswaran (Wan Zaharulnizam).

Foto: Media PBNP

Facebook Comments

Related posts

Leave a Comment

%d bloggers like this: