Berita Liga Super Pahang FA 

unifi Liga Super: Pahang dan Perak Sekadar Terikat Tanpa Jaringan

Hasrat skuad Tok Gajah memburu 3 mata di arena sendiri tidak kesampaian selepas hanya berpuas hati terikat tanpa jaringan ke atas pasukan Perak pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Pahang bermula dengan mempertaruhkan dua penyerang tempatan yang dibarisi Nor Shahrul Idlan dan R Kogileswaran sambil memilih untuk meletakkan Sergio Unrein dibangku simpanan.

Sementara itu, skuad pelawat tampil dengan seorang penyerang import, Gilmar Da Silva di bahagian hadapan dan dibantu oleh Wander Luiz. Brendan Gan diberikan kepercayaan untuk diturunkan di kesebelasan utama selepas berehat lama musim lalu.

Tempo perlawanan bermula agak perlahan oleh kerana kedua-dua pasukan terlalu berhati-hati dalam melancarkan serangan ke kubu lawan.

Namun demikian, tuan rumah dilihat paling awal mengancam kubu lawan selepas Mohamadou Sumareh berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan, namun percubaanya pada minit ke 20 tersasar.

Foto: Faiz Ishak

Pada minit ke 29, giliran Perak memberi amaran buat kubu Pahang selepas Gilmar Da Silva berjaya melompat tinggi dan menanduk hantaran silang Nazirul Naim, namun tandukannya itu sedikit melepasi palang gol Pahang.

Berselang 2 minit kemudian, skuad kendalian Mehmet Durakovic kembali mengatur serangan dan berpeluang mendahului lawan, namun sepakan ‘half-volley’ Wander Luiz sedikit tersasar.

Pahang hanya mula mendapat percubaan tepat pada minit ke 39 melalui R Kogileswaran, namun sepakan kaki kirinya itu lemah dan mudah didakap kemas Hafizul Hakim.

Penghujung babak perlawanan, Gilmar Da Silva sekali lagi menguji Helmi Heliza, namun kali ini penjaga gol itu tenang untuk mengagalkan percubaan dalam kotak penalti. Tamat separuh masa pertama, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Separuh masa kedua

Berbanding separuh masa pertama, Pahang bermula dengan tempo yang tinggi dengan memperkemaskan jentera serangan. Buktinya, tuan rumah hampir di hadapan, namun Nor Shahrul Idlan gagal menanduk kemas hantaran lintang dari Matthew Davies.

Perak turut berpeluang memecah kebuntuan, namun peluang yang terhidang pada minit ke 65 dan 69 gagal dimanfaatkan oleh Nor Hakim dan Misagh Bahadoran.

Gilmar Da Silva sekali lagi gagal memanfaatkan peluang terhidang selepas berjaya melepasi kawalan Alex Morales, namun percubaannya pada minit ke 71 sedikit tersasar meskipun hanya berhadapan dengan penjaga gol.

Pahang jelas ingin memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan kemenangan apabila melakukan 3 pertukaran dengan membawa masuk Wan Zaharulnizam, Sergio Unrein dan Faisal Halim.  Namun, kedudukan masih terikat tanpa jaringan sehinggalah wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan, Fitri Maskon.

Barisan pemain-pemain:

Pahang FA: Helmi Heliza (GK), Faisal Rosli, Alex Morales, Muslim Ahmad, Matthew Davies (K), Chan Vathnaka (Wan Zaharulnizam), Norazam Azih (Faisal Halim), Safuwan Baharudin, Mohamadou Sumareh, Nor Shahrul Idlan, R Kogileswaran (Sergio Unrein).

Perak FA: Muhammad Hafizul Hakim (PG), Shahrul Saad (K), Robert Cornthwaite, Leandro Dos Santos, Gilmar Da Silva, Wander Luiz, Brendan Gan (Kenny Pallraj), Misagh Bahadoran (Nazrin Nawi), Mohd Nor Hakim, Nazirul Naim, Amirul Azhan.

Facebook Comments

Related posts

Leave a Comment

%d bloggers like this: