Fakta 

Kisah Nombor Jersi Pahang

Nombor jersi dalam kancah bola sepak Malaysia tidaklah begitu signifikan untuk dijadikan ‘sentimental value’ bagi sesebuah kelab seperti berlaku di luar negara. Antara nombor yang sering menjadi siulan peminat bola sepak dunia seperti jersi bertuah nombor ‘7’ Manchester United, jersi sumpahan malang nombor ‘9’ di Arsenal, dan nombor agung ‘10’ bagi Argentina. Malah begitu banyak dalam catatan sejarah jersi nombor di’bersara’kan bagi mengenang jasa si pemakainya seperti 4-Javier Zanetti (Inter Milan), 23-Marc Vivien-Foe (Man City), 6-Franco Baresi (AC Milan), dan nombor 12 yang diabadikan buat pemain ke-12 (penyokong) mereka yang dilakukan sesetengah kelab dunia.

Di Malaysia, nombor jersi paling diingati peminat bola sepak negara mungkin 19-Azman Adnan, 10-Allahyarham Mokhtar Dahari, 17-Zainal Abidin, dan 7-Ahmad Shahrul Azhar. Ini kerana, nombor tersebut pasti menjadi pilihan mereka baik di kelab mahupun bersama skuad kebangsaan. Berikut catatan kisah beberapa nombor jersi yang bolehlah dikatakan signifikan bagi pemain Pahang :

1-Khairul Azman bersama Pahang. Kredit pemilik foto

1-Jersi ini pastinya dimiliki penjaga gol. Apabila disebut nombor ini, pastilah nama Khairul Azman Mohamed bermain dibibir peminat bola sepak Pahang. Ini kerana, nombor 1 kekal menjadi milik beliau sepanjang 10 tahun karier di Pahang. Ditambah pula dengan kejayaan beliau membantu Pahang menggondol beberapa trofi, membolehkan peminat sentiasa mengingati kehebatan lagenda ini. `Aura kehebatan‘ nombor jersi tersebut kemudiannya diteruskan legasinya oleh Muadzar Mohamed dan Khairul Azhan untuk beberapa tahun sahaja .

2-Jalaluddin Jaafar. Kredit pemilik foto

2-Ringkas. Jalaluddin Jaafar ! Seantero bumi Tok Gajah pastinya mengingati nombor 2 adalah milik mutlak lagenda pertahanan kanan ini. Jika kisah ini berlaku di Itali, mungkin nombor ini sudah di’rehat’kan bagi memperingati jasa kesetiaan si pemakainya. Paling diingati pastinya ketika Jalal menjadi kapten dan penggerak gol kemenangan Pahang dalam Final Piala Malaysia 2013 pada usia 38 tahun ! 17 tahun di Pahang (termasuk bermain 1 musim setengah di Shahzan Muda), nombor 2 kekal dipakai Jalal sebelum dipindah milik kepada kapten baru pasukan, Matthew Davies.

9-Dollah Salleh. Kredit pemilik foto

9-Nombor ini sering menjadi pilihan pemain import dalam saingan Liga Malaysia termasuklah pasukan Pahang. Namun begitu, antara pemain nombor 9 paling diingati dalam sejarah bola sepak Pahang tentulah ketua jurulatihnya kini, ‘Pablo’ Dollah Salleh. Sepanjang 6 tahun bersama Pahang, siapa tidak kenal dengan ketajaman beliau di hadapan gol bergandingan bersama rakan karibnya, Zainal Abidin. Nombor 9 juga kekal menjadi milik beliau sepanjang menyarung jersi ‘Harimau Malaya’.

12-Azammuddin Akil. Kredit foto: Fadzlie Ahmad
12-Azizul Kamaluddin

12-Nombor ini mungkin dianggap biasa oleh mana-mana kelab dunia (kecuali beberapa kelab yang mengabadikan nombor 12 khas untuk penyokong) dan jarang sekali menjadi pilihan pemain bintang. Namun di bumi Tok Gajah, nombor 12 begitu signifikan kerana dipakai oleh lagenda anak kelahiran negeri iaitu Azizul Kamaluddin dan Azammuddin Akil. Kedua-dua penyerang ini sangat berjasa kepada negeri bukan sahaja pada bilangan gol, malah pada kejayaan membantu Pahang meraih beberapa trofi kejuaraan. Azizul memulakan ‘aura‘ Lagenda12 dengan memakai nombor ini sejak tahun 1993 sehinggalah bersara, sebelum `aura‘ ketajaman penyudah nombor tersebut disambung `Alex‘ dari tahun 2010-2015. Kini, kedua-dua lagenda ini bergandingan bagi projek perniagaan `Lagenda12‘.

15-Ahmad Shahruddin Rosdi

15-Hanya satu nama diingati penyokong Pahang jika disebut nombor ini, Ahmad Shahruddin Rosdi. Berjasa di tanah kelahiran sendiri sejak 1995, nombor 15 menjadi milik beliau selama hampir 10 tahun. Pemain tengah ini juga popular sebagai ‘pakar sepakan percuma’ ketika zaman kegemilangannya. Walaupun hanya mampu membantu Pahang sekadar meraih 1 trofi (Liga Perdana 1999) sepanjang karier beliau, namun  semangat cintakan bola sepak Pahang dalam diri beliau masih menebal dengan terus menyertai staf kejurulatihan Pahang sehingga kini. Selepas beliau tidak lagi menyarung jersi 15 Pahang, nombor tersebut kini tidak menjadi pilihan pemain utama.

17-Zainal Abidin Hassan. Kredit foto : Che Din

17-Selangor, Pahang dan Malaysia mempunyai persamaan dalam satu perkara, Zainal Abidin Hassan. Nombor 17 menjadi pilihan beliau sepanjang karier beraksi untuk ketiga-tiga pasukan ini. Tidak hairanlah jika disebut nombor 17, nama Zainal Abidin Hassan pasti bermain dibibir peminat bola sepak negara. Jasa beliau sangat besar buat bola sepak negeri Pahang, baik sebagai pemain mahupun jurulatih, pelbagai kejuaraan telah beliau menangi. Maka selayaknya nombor ini diabadikan buat beliau dengan gelaran Lagenda17.

Pemilihan dan pemilikan nombor jersi mungkin dipandang ringan oleh peminat dan pengurusan pasukan bola sepak negara, namun bagi sesetengah ‘retro-rian’, ia menjadi ‘sentimental value’ yang patut dikenang dalam lipatan sejarah. Terbaru, isu pemilihan nombor ‘12’ yang tidak bertuan selepas pemergian Azammuddin Akil, bakal dipakai oleh bukan anak kelahiran Pahang, Bunyamin Omar untuk musim 2018. Beberapa penyokong menyuarakan ketidakpuas hatian mereka, kerana dirasakan nombor ini patut dimiliki oleh seorang bakal ‘lagenda’ anak negeri. Kesimpulannya, nombor pada jersi tidak menjanjikan kehebatan pada si pemakainya, namun kehebatan si pemakainya bakal menjadikan nombor tersebut diingati.

Facebook Comments

Related posts

One Thought to “Kisah Nombor Jersi Pahang”

  1. Yang membesar dari era Azizul Kamaluddin tahu betapa sentimental no 12 tu..

Leave a Comment

%d bloggers like this: