Anda di sini
Laman Utama > Berita > [TM Piala Malaysia] Tok Gajah naik minyak, kembali hidupkan peluang

[TM Piala Malaysia] Tok Gajah naik minyak, kembali hidupkan peluang

Pahang (6) – (0) PKNP FC

Pahang kembali menghidupkan peluang untuk layak ke saingan suku akhir TM Piala Malaysia selepas membenam cabaran PKNP FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebentar tadi. 

Skuad tuan rumah mempertaruhkan Joseph Kalang Tie dan Faisal Rosli dalam kesebelasan utama sementara skuad pelawat turun tanpa beberapa pemain utama termasuklah ketua pasukannya, Shahrel Fikri.

Skuad Tok Gajah tampak bersemangat untuk memburu gol pendahuluan dan memperoleh beberapa peluang terbaik untuk merobek gawang lawan, namun beberapa percubaan yang diketuai Matheus Alves gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Walaubagaimanapun, Wan Zaharulnizam hadir pada waktu yang tepat apabila berjaya melambungkan bola menewaskan penjaga gol, Ahmad Asyraaf pada minit ke 28 bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Berselang 5 minit kemudian, gol kedua skuad tuan rumah hadir melalui Joseph Kalang Tie yang berjaya merembat kencang dari sebelah kanan pintu gol pelawat. Berbaki beberapa minit sebelum separuh masa pertama ditamatkan, Joseph Kalang Tie sekali lagi meledak pada minit ke 42 seterusnya menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan selesa 3-0.

Bersambung babak kedua permainan, PKNP melakukan 2 pertukaran bagi mengimbangi corak permainan tuan rumah. Belum sempat menyesuaikan tempo permainan, gawang PKNP sekali lagi dibolosi pada minit ke 52 melalui Wan Zaharulnizam yang berjaya memanfaat hantaran Mohamadou Sumareh.

Menuju sepuluh minit sebelum permainan berakhir, Pahang menambah dua lagi jaringan pada minit ke 82 oleh Afif Amirudin dan pada minit ke 86 melalui Matheus Alves bagi melengkapkan pesta gol Pahang di Stadium Darul Makmur.

Kemenangan bergaya 6-0 ini sekaligus membuka kembali peluang buat Pahang mencari satu lagi slot ke saingan suku akhir, ditambah dengan keputusan yang tidak memihak Negeri Sembilan selepas tewas di Kuala Terengganu ke atas pasukan T Team.

Perhitungan akhir untuk layak ke saingan seterusnya hanya akan berlangsung pada 9 September ini apabila Pahang akan melayani kunjungan pasukan T Team di Kuantan, manakala Negeri Sembilan berhadapan pasukan PKNP di Paroi.

Barisan pemain-pemain:

Pahang FA: Helmi Heliza (PG), Matthew Davies (C), Jaewon Heo (Fransisco Insa), Afif Amirudin, Faisal Rosli, Yamil Romero, Joseph Kalang Tie, Wan Zaharulnizam (Christie Jayaselan), Mohamadou Sumareh, Matheus Alves, Norazam Azih.

PKNP FC: Ahmad Asyraaf (PG), Muhammad Syazwan, Ritus Krjauklis (C), Muhamad Safar, Mohammad Irwan, Mohd Nor Hizwan, Ahmad Sukri, Gilberto Valdenesio, Mohd Raffi, Muhammad Amirul Izwan, Vincent Lucas.

Pengadil Perlawanan: Razlan Jofri Ali

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top