Anda di sini
Laman Utama > Artikel > 9 aksi bulan Julai: Tok Gajah semakin bergelut

9 aksi bulan Julai: Tok Gajah semakin bergelut

Tanggal 31 Julai merupakan hari terakhir bagi bulan Julai yang penuh sibuk buat mana-mana pasukan yang berada dalam fasa terakhir melengkapkan jadual Liga Malaysia. Tidak terlepas, skuad Tok Gajah yang perlu mengharungi 9 perlawanan dalam tempoh 30 hari dilihat seakan lesu dalam menamatkan cabaran ini.

Kembali membuka saingan selepas berehat panjang, 1 Julai tidaklah memihak Pahang tatkala ribuan penyokong Tok Gajah membanjiri Stadium Tun Abdul Razak di Jengka bagi melenyapkan “ketagihan” setelah sekian lama tidak ke stadium. Namun, kekalahan 2-1 seakan merencatkan cuti perayaan kem pahang dan penyokongnya, maka timbul lah satu polemik dalam kalangan penyokong setianya.

Berselang 3 hari kemudian, tirai kempen Piala Malaysia bagi saingan kumpulan A dibuka di mana Pahang dijadualkan bertemu Negeri Sembilan di Kuantan. Hanya mampu mengutip satu mata selepas kedudukan terikat 2-2, prestasi skuad Tok Gajah ketika itu semakin tercalar.

7 Julai, mungkin tarikh ini dianggap medan kebangkitan Tok Gajah selepas “lelah” dalam 2 perlawanan sebelum itu. Bertemu sebuah pasukan berstatus kelab tanpa dibarisi pemain-pemain bintang dan kebangsaan, Pahang dilihat mudah mengutip kemenangan pertamanya dalam kumpulan A ketika bertemu PKNP FC. Namun, ramalan itu semakin meleset sehinggakan polemik yang baru digarap pada 1 Julai di Jengka kembali menjadi bualan hebat pengkritik bola sepak tanah air termasuklah penyokong setianya di awal musim.

Kemuncak polemik semakin hangat tatkala tewas dengan pendahulu liga, JDT dengan jaringan 0-2 seterusnya menoktahkan rekod cemerlang Pahang yang tidak pernah putus jaringan dalam satu-satu perlawanan. Ketika ini lah, pelbagai hipotesis cuba dirangka oleh peminat-peminat Tok Gajah bagi mencari jawapan akan kemerosoton prestasi yang dilihat sangat radikal.

Meskipun keputusan semakin baik pada 2 perlawanan bertemu T Team dan Melaka United, namun kegembiraan itu nyata sementara apabila Pahang kembali mempamer prestasi hambar dalam 2 perlawanan selepas itu apabila tewas ke atas pasukan tercorot liga (Pulau Pinang) dan pasukan dari Liga Perdana, Negeri Sembilan.

Secara keseluruhannya, 2 kemenangan dari 9 perlawanan dalam bulan Julai bukanlah prestasi sebenar skuad finalis Piala FA musim ini. Berbanding musim 2015, Pahang pernah mengharungi 7 perlawanan dalam bulan April yang menyaksikan tahap endurance pasukan tetap stabil apabila berjaya melakar 5 kemenangan.

Apakah masalah sebenar yang mengganggu prestasi skuad Pahang ketika ini? Adakah kem pasukan Pahang gagal memanfaatkan pintu perpindahan kedua pemain sekitar Mei hingga Jun yang lalu? Adakah faktor sistem penggiliran pemain yang dilihat kurang efektif (termasuklah ketika bertemu Pulau Pinang) menjadi faktor kemerosoton? Adakah corak permainan yang ditampilkan sebelum ini sudah ditafsir lawan? Adakah faktor pengantungan Dollah Salleh menjadi sebab? Dan banyak lagi kemungkinan yang boleh dibincangkan bagi merungkai misteri prestasi Pahang ketika ini.

Walau apapun kemungkinan, berbaki 2 perlawanan sebelum Liga Malaysia berhenti berehat sekali lagi, Pahang perlu memanfaatkan 2 perlawanan di laman sendiri dengan kemenangan. Perlawanan ke atas PKNP di Kuantan dilihat sangat penting dalam usaha mencari satu lagi slot ke saingan suku akhir Piala Malaysia. Meskipun nasib terletak di tangan pasukan lain, biarlah kita lakukan “kerja” kita dahulu dengan mencipta kemenangan.

Ayuh Tok Gajah! Kembalikan kegarangan lalu, sekali layar dikembang,jangan kita berpaling pulang!

Foto (featured image): Media PBNP

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top