Anda di sini
Laman Utama > 100plus Liga Premier > Shahrul mahu jaring lebih banyak gol

Shahrul mahu jaring lebih banyak gol

Pemain sayap Kuantan FA, Shahrul Aizad berazam untuk lebih menjaringkan gol untuk membantu Kuantan FA terus kekal dalam 100plus Liga Premier pada musim depan menjelang pertemuan menentang Perlis di tempat lawan pada petang ini.

Pemain berusia 24 tahun itu berjaya mengakhiri kemarau gol sejak kali terakhir melakukannya semasa menentang Kuala Lumpur pada musim 2016 dimana Shahrul berjaya menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut.

Beliau yang kini selesa diturunkan bermain di bahagian sayap bagi membantu gandingan penyerang Kuantan FA iaitu Ketua Pasukan, Malik Ariff dan juga pemain import dari Serbia, Ljuba Baranin.

“Saya amat gembira dengan jaringan yang saya lakukan semasa menang di Kuantan menentang ATM tempoh hari setelah kali terakhir melakukannya pada musim lepas.

“Saya harap itu bukan yang pertama dan terakhir dan dengan bantuan rakan sepasukan yang lain saya yakin akan menambah bilangan gol selepas ini.”

Mengulas tentang pertemuan menentang Perlis pada petang ini, Shahrul menyeru rakan-rakan agar tidak terlalu memandang rendah pasukan lawan walaupun mereka kini menduduki kedudukan tercorot liga.

“Walaupun kami menang dengan jaringan besar 5-0 pada pertemuan di pusingan pertama, keputusan itu tidak boleh dijadikan ukuran kerana pasukan Perlis kini berubah lebih baik setelah menukar Jurulatih dan juga pemain import mereka.

Malahan mereka berjaya mengekang pendahulu liga Negeri Sembilan untuk menang dengan jumlah jaringan yang besar pada perlawanan pertama setelah jendela perpindahan pemain dibuka.

Namun, moral pemain juga tinggi setelah menang di Kuantan tempoh hari dan itu bakal menjadi pembakar semangat untuk menang pada petang ini.”

Kuantan FA yang kini menduduki tempat ke 8 liga dengan mengumpul 16 mata akan bertemu Perlis di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada petang ini untuk perlawanan ke 15 untuk kedua-dua pasukan.

 

 

mrcipizs
MyPassion with MyStyle..

Leave a Reply

Top