Anda di sini
Laman Utama > Berita > [TM Piala Malaysia] Pahang bermula perlahan

[TM Piala Malaysia] Pahang bermula perlahan

Pahang membuka tirai kempen Piala Malaysia dengan sekadar mencatatkan keputusan seri 2-2 ke atas pasukan Negeri Sembilan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Corak permainan kedua-dua pasukan agak hambar pada awal separuh masa pertama di mana tidak banyak gerakan-gerakan yang berbahaya dicipta oleh barisan serangan.

Ancaman tuan rumah hanya hadir pada minit ke 12, namun penjaga gol pelawat, Kaharudin Abdul Rahman tidak berhadapan dengan masalah untuk mendakap kemas tandukan Mohamadou Sumareh itu.

Skuad pelawat turut membalas serangan pada minit ke 20, mujurlah Wan Azraie lebih tangkas mengagalkan percubaan penyerang Negeri Sembilan dalam kotak penalti.

Perlawanan banyak berlegar-legar di tengah padang sehinggalah pada penghujung babak pertama, pasukan pelawat berjaya mendahului pada minit ke 44 melalui Jonanthan Behe yang tenang menyudahkan hantaran lintang Lee Andrew Tuck dari sebelah kiri pintu gol Pahang.

Foto: Faiz Ishak

Pahang memulakan separuh masa kedua dengan mempamerkan persembahan yang sedikit berbeza dengan lebih kemas mengatur serangan untuk memburu gol penyamaan.

Usaha itu akhirnya terbalas apabila pada minit ke 58, Matheus Alves menceriakan penyokong tuan rumah selepas berjaya melonjak tinggi untuk menanduk bola hasil dari sepakan penjuru dari sebelah kiri pintu gol pelawat untuk menjadikan kedudukan terikat 1-1. Berselang beberapa minit kemudian, Yamil Romero hampir meletakkan Pahang dihadapan, namun percubaannya sedikit tersasar.

Pahang terus bernafsu untuk menambah jaringan dan berjaya mendahului pada minit ke 64, sekali lagi melalui Matheus Alves yang berpunca dari hantaran lintang Matthew Davies yang kemudian disudahkan dengan rembatan half-volley.

Namun, disebalik keghairahan Pahang untuk terus menjarakkan kedudukan jaringan, pintu gol Pahang bolos buat kali kedua melalui jaringan Lee Andrew Tuck pada minit ke 76.

Tiada percubaan yang betul-betul berbahaya selepas itu sehinggalah tiupan wisel penamat ditiupkan oleh Mohd Shahreen menjadikan kedua-dua pasukan sekadar berpuas hati berkongsi satu mata.

Barisan pemain-pemain:

Pahang FA: Wan Azraie (PG), Matthew Davies (C), Jaewon Heo, Muslim Ahmad (Saifulnizam Miswan), Faisal Rosli, Yamil Romero, Ahmad Syamim Yahya, Nor Azam Azih (Salamon Raj), Wan Zaharulnizam (Joseph Kalang Tie), Mohamadou Sumareh, Matheus Alves.

Negeri Sembilan FA: Kaharudin Abdul Rahman (PG), Lee Andrew Tuck, Mohd Nasriq Baharom (K), Bruno Suzuki, Faizal Abu Bakar, Mohd Noor Hazrul, Khairul Anwar, Mohd Shazlan, Nemanja Vidic, Nik Mohd Sharul Azim, Jonanthan Behe.

Pengadil Perlawanan: Mohd Shahreen Che Omar

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top
%d bloggers like this: