Anda di sini
Laman Utama > Artikel > [TM Piala Malaysia 2017] Mampukah Dollah ulangi magis 2013?

[TM Piala Malaysia 2017] Mampukah Dollah ulangi magis 2013?

Tirai aksi TM Piala Malaysia akan dibuka pada 4 Julai di mana menyaksikan 16 buah pasukan akan beretap untuk menjuarai Piala Malaysia edisi ke 91 ini.

Juara 4 kali, Pahang telah diundi dalam kumpulan A bersama-sama pasukan T Team dan dua lagi pasukan dari Liga Perdana iaitu Negeri Sembilan dan PKNP FC.

Di atas kertas, Pahang dilihat tidak berhadapan dengan masalah besar untuk mara ke saingan suku akhir berpandukan reputasi skuad Tok Gajah yang kini dikedudukan kedua Liga Super di tambah dengan kredibiliti layak ke pentas akhir Piala FA musim ini.

Namun begitu, 3 lagi pasukan meskipun dilabel bukan sebagai pasukan pilihan, sejarah dan legasi Piala Malaysia sudah membuktikan keajaiban yang telah dilakar oleh pasukan-pasukan yang dianggap kerdil sebelum ini.

PKNP FC:

Sejarah telah tercipta apabila pasukan berstatus kelab ini telah berjaya mencuri satu slot dari pasukan Liga Perdana untuk layak beraksi buat sekian kalinya dalam kejuaraan berprestij ini.

Tidak berbekalkan barisan pemain-pemain ternama, namun skuad kendalian Abu Bakar Fadzim ini mampu membuka mata peminat-peminat bola sepak di tanah air ketika ini. Berada dikedudukan ketiga liga dengan mengumpul 28 mata serta hanya tewas 2 kali selepas 14 perlawanan liga ternyata merupakan satu pencapaian yang di luar jangkaan.

Dibarisi dengan beberapa pemain import yang berkualiti termasuklah dengan kehadiran pemain import baru dari Korea Selatan iaitu Kim Hyeon Woo yang turut meledak pada perlawanan terakhir ketika bertemu UiTM FC tempoh hari.

Peranan pemain tempatan seperti Muhammad Shahrel Fikri dan Ahmad Asyraaf turut menjadi watak penting dalam kebangkitan skuad ini. Untuk rekod, ketua pasukannya, Shahrel Fikri telah meledak 6 gol sepanjang kempen liga dan merupakan antara 3 pemain tempatan yang mempunyai jaringan terbanyak setakat ini.

Hanya dibezakan satu mata dibelakang Kuala Lumpur, adakah pasukan ini akan memberi fokus dalam saingan Piala Malaysia? Sedangkan peluang untuk mencipta lebih banyak sejarah dengan layak ke saingan Liga Super musim 2018 dilihat begitu cerah.

Negeri Sembilan:

Satu lagi pasukan dari Liga Perdana turut mencuri tumpuan ketika ini apabila berjaya melayakkan diri ke saingan separuh akhir Piala FA musim ini. Berbekalkan reputasi gah memimpin carta Liga Perdana ketika ini, skuad Jang dilihat memiliki ramuan yang tepat untuk layak ke saingan suku akhir.

Seperti skuad PKNP, skuad kendalian Asri Ninggal ini turut dibarisi pemain-pemain import berkualiti seperti Bruno Suzuki dan Lee Andrew Tuck yang merupakan nadi utama kehebatan skuad ini. Nama-nama lain seperti Nasriq Baharom, Mohd Nor Hazrul, Mohd Shazlan dan 2 pemain tempatan yang baru dibawa masuk iaitu Nik Shahrul Azim dan Sabre Mat Abu mampu meningkatkan lagi prestasi pasukan ketika ini.

T-Team:

Berada di kedudukan ke sembilan selepas 14 perlawanan, skuad The Titans dianggap berhadapan dengan prestasi yang tidak konsisten. Hanya dibezakan dengan 1 mata dengan pasukan yang menduduki tangga ke sebelas Liga Super, pasukan ini ternyata berada dalam situasi bahaya untuk tersingkir ke Liga Perdana musim hadapan.

Persoalannya, apakah pasukan ini masih ingin menumpukan saingan Piala Malaysia tatkala ketika ini berhadapan dengan situasi yang membimbangkan di Liga Super? Atau berbaloikah taruhan pasukan ini untuk melakar sejarah dalam saingan Piala Malaysia sedangkan terpaksa melupakan liga utama musim hadapan?

Kesimpulan:

Di antara 3 pasukan yang bersama Pahang dalam kumpulan A, hanya PKNP masih belum ditentang Pahang musim ini. Ia sudah pasti dianggap satu perlawanan yang penuh dengan teka teki dan pasti mengundang resah kem Pahang untuk berhadapan dengan pasukan yang dianggap The Dark Horse ini.

Meskipun berjaya memenangi perlawanan ke atas pasukan T Team (5-0) dan Negeri Sembilan (separuh akhir Piala FA) dalam saingan yang berbeza sebelum ini, ia bukanlah tiket untuk terus mendabik dada sebaliknya perlu dilalui dengan semangat baru dan pasti kedua-dua pasukan ini sudah arif dengan cara permainan Pahang ketika ini.

Walaupun peluang untuk menjuarai saingan Liga Super sudah dianggap semakin samar, tumpuan yang seimbang perlu diberikan buat skuad Pahang ketika ini untuk sekurang-kurangnya muncul sebagai 3 pasukan terbaik dalam Liga Super seterusnya memanfaatkan peluang membawa pulang satu piala (Piala Malaysia) musim 2017.

Situasi musim 2013 dan 2017 sedikit berbeza. Meskipun dibarisi dengan pemain-pemain yang kurang ternama seperti musim ini, skuad 2013 kendalian Dollah Salleh berjaya menamatkan penantian 21 tahun Pahang seterusnya membuktikan Dollah Salleh memiliki magis nya yang tersendiri. Musim 2017, mampukah magis itu diulanginya sekali lagi?

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top
%d bloggers like this: