Anda di sini
Laman Utama > Artikel > Inilah 5 Pemain Import Terbaik Pahang dari Benua Afrika

Inilah 5 Pemain Import Terbaik Pahang dari Benua Afrika

Sejak dari tahun 80an, rata-rata pasukan yang bertanding samada dalam liga utama atau liga berkelas kedua di Malaysia pernah menggunakan tenaga import dari benua Afrika.

Tidak terlepas dari statistik itu, Pahang pernah mendapatkan tenaga import dari Afrika dalam usaha memperkuatkan skuad pada ketika itu. Antaranya ialah Emeka Ezugo, Josiah Seton, Arbade Bironze, Mohamed Borji, Mamadou Diallo dan ramai lagi.

Namun begitu, artikel ini akan menilai 5 pemain terbaik dari benua ini berdasarkan sumbangan dan reputasi para pemain ini.

Kami mulakan dahulu dengan pemain terbaik yang menduduki tangga kelima:

5. Tarik El Janaby

Bersama skuad Tok Gajah pada musim 2007-2008 dan beraksi di bahagian tengah. Memiliki kawalan bola yang baik meletakkan pemain ini antara midfielder import yang berpengaruh buat pasukan.

Selain mempunyai hantaran yang tepat, nilainya sedikit meningkat apabila turut berkemahiran dalam situasi bola mati. Tidak keterlaluan boleh lah dikatakan, pemain bernombor 15 ini persis Zinedine Zidane buat skuad Pahang.

Reputasi yang baik bersama Pahang meletakkan kepercayaan pengurusan Kuantan FA untuk menagih khidmatnya pada musim 2015.

4. Mohamadou Sumareh

 

Meskipun baru menyertai Pahang pada awal musim ini, kehadiran pemain dari Gambia ini banyak meninggalkan impak buat pasukan.

Baru berusia 26 tahun, pengalaman beraksi di bawah bimbingan Dollah Salleh termasuklah ketika mewakili PDRM dan Perlis banyak membantu dalam mematangkan corak permainan beliau.

Gol hasil tandukkanya pada minit ke 87 ketika aksi suku akhir Piala FA baru-baru ini adalah sumbangan terpenting buat pemain ini untuk Tok Gajah. Selain boleh menjaringkan gol, sumbangan dalam penghasilan gol terutamanya kepada penyerang Pahang, Alves sewajarnya dipilih antara pemain import terbaik buat Pahang.

3. Samuel Bernard Tchoutang

Gambar: Ghazali Basri, Utusan Malaysia

Pemain dari Cameroon ini mula menyertai Pahang pada 2005 dan kemuncak prestasi bersama Pahang adalah pada musim 2006 apabila menjadi watak utama membawa Pahang ke pentas akhir Piala FA 2006.

3 gol jaringannya pada perlawanan suku akhir Piala FA masih segar dalam ingatan seterusnya menghidupkan peluang Pahang menjuarai Piala FA buat kali pertama.

Kelicikan pemain bertubuh kecil ini sering mendatangkan masalah buat kubu lawan dan sangat serasi membentuk gandingan serangan dengan Josiah Seton dan Indra Putra Mahayudin.

Reputasi yang baik di peringkat antarabangsa seperti pernah beraksi dalam Piala Konfederasi FIFA 2001 di Jepun dan menjaringkan 1 gol ketika menewaskan Kanada, selain bermain dalam 3 edisi Piala Negara-negara Afrika meletakkan pemain ini dalam kedudukan yang lebih baik berbanding pemain import yang lain.

Beliau yang juga pernah berkelana ke Eridivise menyertai Roda JC telah menjaringkan 12 gol dan muncul penjaring gol ketiga terbanyak di belakang Julio Rodrigues (Sabah) dan Zacharia Simukonda (Perlis) sepanjang 1 musim di Pahang.

Pada ketika inilah Tchoutang membantu Pahang muncul Naib Juara Liga Super 2005 di belakang Perlis.

2. Kofi Ampiah

Emmanuel Kofi Ampiah merupakan tonggak import di barisan pertahanan dan mula menyertai pasukan pada tahun 1997 degan menggantikan Vasci Denes. Antara pencapaian terbaiknya pada tahun itu ialah membantu pasukan layak ke saingan akhir Piala Malaysia.

Memiliki susuk tubuh yang tegap menggambarkan betapa kentalnya pemain ini menyerap asakan lawan. Selain mempunyai keupayaan tackle yang bersih, pemain dari Ghana ini turut banyak menghasilkan gol melalui tandukan.

2 musim bersama Pahang, beliau bergandingan bersama beberapa lagi pemain import (1997 dan 1998) antaranya ialah Zolt Bucs, Melnikov, Joszef Duro dan Istvan Borsos.

1. Dickson Nwakaeme

Menduduki tempat pertama sudah pasti buat pemain sensasi dari Nigeria. Bersama 2 musim dengan Pahang banyak merubah landskap kejayaan bola sepak Pahang.

Sebaik menyertai Tok Gajah pada tahun 2014, beliau banyak memberi impak buat pasukan termasuklah mencatatkan kejuaraan treble pada tahun itu. 2 gol penting ketika aksi final Piala FA dan Piala Malaysia, selain membantu pasukan sehingga layak ke saingan suku akhir Piala AFC 2015, selayaknya meletakkan beliau sebagai pemain terbaik dari benua Afrika buat skuad Pahang.

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top