Anda di sini
Laman Utama > Artikel > Tuah 83 – Kisah kejuaraan pertama Piala Malaysia

Tuah 83 – Kisah kejuaraan pertama Piala Malaysia

7 Mei 1983 adalah hari Sabtu. Dulu hari Sabtu adalah hari bekerja “separuh hari” bagi kakitangan kerajaan. Waktunya ialah dari 8 pagi hingga 12.45 tengah hari. Namun pada 7 Mei ini adalah cuti umum buat negeri Pahang. Seluruh negeri Pahang bercuti pada tarikh ini.

Kebetulan juga tarikh 7 mei ini adalah tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia 1983 yang mempertemukan penyandang juara tahun 1982 Selangor dan pendatang baru Pahang.

Kesempatan ini digunakan oleh seluruh peminat bolasepak negeri Pahang untuk berarak ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur bagi menonton pertembungan bersejarah ini.

Suasana dan keterujaan peminat dapat dilihat seawal jam 7 pagi dimana berpuluh-puluh buah bas yang digantung bendera Pahang berarak menuju ke ibu kota.

Itu belum lagi dikira dengan sekumpulan peminat-peminat yang berkereta bagi menyokong pasukan pahang diperlawanan akhir ini. Manakan tidak, keterujaan ini tercetus setelah 7 kali mencuba ke pentas final dan akhirnya Pahang mara selepas menewaskan Pulau Pinang dengan aggregat 6-1.

Stadium Merdeka, 8.30 malam. Anak-anak buah Frank Lord memulakan perlawanan dan pada musim itu juga memperlihatkan Zainal Abidin Hassan ditukarkan posisi dari pemain pertahanan ke posisi serangan.

Pahang diperkuatkan dengan beberapa nama besar ketika itu seperti Jamal Nasir, Abdah Alif, Yunus Alif, Zainal Abidin, Hamidon Abdullah dan dua tonggak import dari Singapura iaitu R Suriamoorthy (pemain tengah) dan T Pathmanathan (pertahanan).

Selangor turut diperkuatkan dengan nama-nama besar dalam bola sepak Malaysia sekaligus meletakkan dominasi Selangor dalam menjuarai Piala Malaysia ketika era itu. Antara tonggak pemain Selangor ketika itu adalah seperti R Arumugam, Wong Hung Nung, Santokh Singh, Reduan Abdullah, K Kanagarajah, Khan Hung Meng dan Mokhtar Dahari.

Pahang terlebih dahulu memecah kebuntuan pada separuh masa pertama hasil jaringan Hamidon Abdullah yang cekap memanfaatkan sepakan sudut Abdah Alif seterusnya mengamatkan stadium hasil dari sorakan lautan kuning/hitam.

Seakan perlawanan bakal memihak Pahang dalam masa 90 minit, tiba-tiba dengan tidak semena-mena, Selangor menyamakan kedudukan melalui Khan Hung Meng sekaligus mengheret perlawanan ke masa tambahan 30 minit.

Masa tambahan pertama sememangnya milik Pahang apabila berjaya meledak 2 gol lagi hasil jaringan Zainal Abidin Hassan dan T Pathmanathan, meletakkan Pahang selesa mendahului Selangor dengan jaringan 3-1.

Seakan terdesak untuk merapatkan jaringan, Selangor memasukkan Mokhtar Dahari yang ketika itu masih dibelenggu masalah kecederaan lututnya. Hasilnya, Mokhtar Dahari berjaya menjaringkan gol kedua buat Selangor seterusnya menguatkan lagi semangat para pemain Selangor untuk mencari gol penyamaan.

Serangan demi serangan terus dilancar ke kubu Pahang. Mujurlah keazaman tinggi pemain-pemain yang ditunjangi benteng terakhir, Sanusi Daud berjaya mengekalkan kubu dari dibolosi buat kali ketiga dan menjadikan kedudukan kekal 3-2 sehingga tamat 30 minit masa tambahan.

Sebaik tiupan wisel dibunyikan, seluruh bendera hitam putih dikibarkan di stadium bagai menandakan itulah kali pertama Piala Malaysia sah menjadi milik Pahang. Ketua pasukan Pahang, Jamal Nasir diberikan penghormatan menjulang Piala Malaysia buat kali pertama untuk pasukan Pahang.

Kemenangan pertama Piala Malaysia disambut meriah oleh seluruh penyokong setia Pahang yang datang dari seluruh pelusuk daerah untuk bersama-sama meraikan detik bersejarah di Stadium Darul Makmur.

Kejuaraan 1983 itu turut menginspirasikan satu kenangan yang dilabelkan sebagai “Tuah 83” sebagai azimat dan dorongan buat generasi bola sepak Pahang yang akan datang.

Penghargaan: Cerita ini diolah hasil dari penceritaan pengalaman saudara Shahrizai Sarif yang telah menyaksikan detik bersejarah ini pada tahun 1983.

#retropialamalaysia

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top