Anda di sini
Laman Utama > Artikel > 5 pemain “low profile” Pahang yang beraksi di final Piala Malaysia

5 pemain “low profile” Pahang yang beraksi di final Piala Malaysia

8 kali berada di perlawanan akhir Piala Malaysia dan memenangi 4 kejuaraan sejak dipertandingkan pada 1921 (dahulunya Piala Malaya dan Piala HMS) jelas membuktikan Pahang mampu bersaing dalam kejuaraan tertua di Asia Tenggara ini.

Dalam menceritakan pemain-pemain berprofil tinggi yang membawa Pahang ke pentas final, nama-nama yang berstatus low profile tidak boleh dipandang sepi kerana mereka turut berperanan dalam penghasilan memori manis sejak dahulu lagi.

Berikut merupakan 5 pemain pertahanan yang tidak memiliki nama besar dalam bola sepak Malaysia, namun sumbangan mereka amat signifikan buat kem Pahang ketika itu.

1. Osaimi Jalil (1992 & 1994)

Meskipun berada dalam kelompok nama-nama besar ketika itu seperti Zainal Abidin Hasan, Dollah Salleh, Fandi Ahmad, Alan Davidson, Khairul Azman Mohamed, Mubin Mokhtar dan Ahmad Yusof, pemain ini mampu menyerlah dengan menggalas tugas yang diberikan untuk menyerap asakan lawan.

Walaupun berpeluang beraksi di pentas akhir sebagai pemain gantian (menggantikan Borhan Abu Samah), sumbangan yang beliau mainkan sangat signifikan apabila turut menjadi watak penting membantu Pahang menjulang Piala Malaysia selepas menundukkan Kedah di Stadium Merdeka. Ia bagaikan melengkapkan perjalanan kariernya bersama Pahang dan bola sepak Malaysia meskipun tidak berada sebaris dengan nama-nama bintang ketika itu.

Berpeluang berada dalam start list pada aksi final 1994 bertemu Singapura, pemain berjersi 18 ini beraksi di bek kiri dan turut berperanan membantu Mubin Mokhtar/ Aidel Mohd Nor (separuh masa kedua) dan Attapol dalam mengatur serangan. Perlawanan yang diadakan pada 17 Disember di Shah Alam itu menyaksikan Pahang ditewaskan Singapura dengan jaringan 4-0.

2. Raizuwah Idris (1995)

Seorang lagi pemain pertahanan yang turut membuat penampilan pertama di pentas akhir Piala Malaysia ketika bertemu Selangor di Shah Alam musim 1995. Merupakan salah satu tonggak pemain yang kerap membuat penampilan dipenghujung musim 1995 dan dilihat selesa bergandingan dengan Alan Davidson serta Ahmad Yusof di backline Pahang.

Walaupun terlepas peluang menjulang kejuaraan pada tahun itu, pemain berjersi nombor 4 ini turut berpeluang mendakap kejuaraan Liga musim 1995 bersama Pahang.

Beliau turut mendapat tempat dalam skuad Olimpik kebangsaan bersama-sama Ahmad Shaharudin Rosdi dan Shahdan Zahari sekitar tahun 1994, sekaligus meletakkan pemain ini dalam kelasnya tersendiri.

3. Khairul Nizam Mustafa (1997)

Selepas Tahir Mat Amin, giliran pemain ini pula digelar kereta kebal Tok Gajah dek kerana memiliki susuk tubuh yang sama serta menampilkan corak bertahan yang sinonim dengan beliau. Membentuk gandingan yang mantap bersama pemain import, Kofi Ampiah di barisan pertahanan dalam usaha menyerap asakan yang diketuai Azman Adnan.

Skrip yang sama diulangi ketika bertemu Selangor di Shah Alam apabila tewas dengan jaringan sudden death Christopher Kiwomya. Namun kali ini ia lebih memedihkan apabila beliau diperintah keluar padang selepas mengutip kad merah. Meskipun tewas, semangat para pemain ketika itu menyaksikan pemenang hanya boleh ditentukan selepas 90 minit permainan.

4. Shahrizan Salleh (2013 & 2014)

Produk Akademi Bola Sepak Pahang di Taman Gelora ini memulakan kariernya bersama skuad senior Pahang seawal tahun 2000 sebelum berpindah ke pasukan Shahzan Muda pada 2005. Namun, pengalaman yang beliau miliki meletakkan kembali ke dalam skuad Pahang sehinggalah tamat musim 2016.

Berkat kesabarannya, pemain pertahanan kiri ini akhirnya mengecapi peluang beraksi di pentas final seterusnya berjaya membantu pasukan mendakap Piala Malaysia 2013 sekaligus menamatkan penantian 21 tahun tanpa kejuaraan piala berprestij ini.

Musim 2014 sekali lagi menyajikan kenangan manis dalam perjalanan kariernya. Beliau turut berperanan dalam membantu Pahang memenangi Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang ketiga ketika permainan terpaksa ditentukan melalui penentuan sepakan penalti.

5. Saifulnizam Miswan (2013 & 2014)

Bersama Pahang pada tahun 2009, pemain yang boleh beraksi di bahagian pertahanan tengah, kiri dan kanan ini merupakan nadi kepada kubu Pahang. Membentuk kubu pertahanan yang jitu bersama Razman Roslan dan Damion Stewart, beliau turut diberikan kepercayaan mengenakan lilitan ketua pasukan dalam beberapa perlawanan kompetitif.

Hadir ke dalam skuad Tok Gajah ketika pasukan itu tidak dilabelkan sebagai pasukan pilihan dan masih berada dalam pasukan ketika Pahang beraksi di Liga Perdana sedikitpun tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengukir kejayaan.

Pentas final Piala Malaysia akhirnya menjadi kenyataan dalam perjalanan kariernya pada musim 2013. Beliau hanya beraksi kurang dari 10 minit selepas dibawa masuk menggantikan Jalaludin Jaafar. Namun begitu, pentas final 2014 menjadi lebih manis apabila diturunkan sebagai pemain utama bagi mengekang rangkaian serangan Luciano Figueroa dan Jorge Pereyra Diaz. Segalanya tampak seakan positif, sehinggalah pada minit ke 68, beliau diperintahkan keluar padang kerana mengasari Amri Yahyah.

Walaubagaimanapun, nasib serta berbekalkan semangat juang yang tinggi rakan sepasukan memastikan kejuaraan ke-empat buat pasukan Pahang dinoktahkan di Stadium Bukit Jalil meskipun melalui baki perlawanan dengan 10 pemain.

Sekalung tahniah buat pemain-pemain ini. Meskipun kecil, sumbangan anda tetap signifikan.

#retroPialaMalaysia

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top