Anda di sini
Laman Utama > Berita > [Final Piala FA 2017] Tewas namun pamer semangat juang tinggi

[Final Piala FA 2017] Tewas namun pamer semangat juang tinggi

Hajat Tok Gajah untuk memburu kejuaraan Piala FA buat kali ketiga akhirnya tersekat apabila tewas ke atas pasukan Kedah dengan jaringan 3-2 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Pahang turun dengan menampilkan pemain import baharu di bahagian tengah, Yamil Romero yang menggantikan Nor Azam Azih. Skuad Tok Gajah dilihat cepat menyesuaikan dengan tempo permainan dan dilihat kerap mengancam kubu lawan.

Manakala Kedah agak ditekan pada 15 minit pertama separuh masa pertama, namun begitu dengan tidak semena-mena bangkit, melalui jaringan Ken Ilso. Gol tu berpunca hasil dari hantaran cantik Baddrol Bakhtiar yang tepat menemui Syazwan Zainon seterusnya dengan pantas melorongkan bola ke dalam petak penalti yang disudahkan Ken Ilso untuk Kedah mendahului Pahang 1-0.

Sebaik ketinggalan dengan satu gol, Pahang yang baru sahaja menyusun langkah untuk mencari gol penyamaan dilihat semakin tertekan apabila dipaksa bermain dengan 10 pemain selepas Fransisco Insa dilayangkan kad kuning kedua seterusnya diperintah keluar padang pada minit ke 30.

Menjelang penghujung babak pertama, Kedah memanfaatkan peluang dengan kelebihan seorang pemain apabila menambah satu lagi gol melalui Baddrol Bakhtiar yang berpunca dari gerakan Syazwan Zainon dari sebelah kanan pintu gol Pahang.

Tidak mudah mengalah, Pahang turut melancarkan serangan dipenghujung saingan dan akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan pemain pertahanan, Jaewon Heo yang melakukan sepakan lambung menewaskan Mohd Ifwat.

Meskipun kekurangan seorang pemain, Pahang dilihat semakin menggandakan asakan pada separuh masa kedua. Pada minit ke 58, Matheus Alves hampir menyamakan kedudukan, namun rembatannya sedikit melewati palang gol.

Matheus Alves sekali lagi berpeluang menjaringkan gol kedua Pahang, namun peluang terbaik pada minit ke 66 gagal disudahkannya walaupun hanya berhadapan dengan penjaga gol.

Yamil Romero turut memiliki peluang untuk mencetak nama sebagai penjaring, namun gagal menyudahkan hantaran cantik Sumareh pada minit 69.

Ketika sedang asyik melancarkan serangan dengan berbekalkan 10 pemain, Pahang akhirnya dihukum pada minit ke 73 dengan gol ketiga dan turut merupakan gol kedua Baddrol Bakhtiar yang bijak menyudahkan hantaran silang Ken Ilso dari sebelah kanan pintu gol Pahang.

Tersentak dengan gol ketiga itu, Pahang cuba bangkit untuk sekurang-kurangnya mengikat kedudukan.  Usaha mereka terbalas apabila pada minit ke 80, Mohamadaou Sumareh berjaya menanduk hantaran berkualiti dari Yamil Romero untuk menjadikan kedudukan 3-2.

Gol itu nyata menjadi pembakar semangat untuk Pahang terus memburu gol ketiga menerusi 2 percubaan berbahaya dipenghujung babak perlawanan, namun permainan kekal dengan keputusan 3-2 selepas wisel penamat ditiupkan.

Kemenangan ini merupakan kejuaraan keempat buat Kedah dalam saingan Piala FA dan turut merupakan Piala kedua yang dimenangi selepas Piala Sumbangsih di awal musim ini.

Barisan pemain-pemain:

Pahang FA: Wan Azraie (PG), Matthew Davies (C), Jaewon Heo, Muslim Ahmad, Faisal Rosli, Yamil Romero, Ahmad Syamim Yahya (Nor Azam Azih), Wan Zaharulnizam (Ashari Samsudin), Fransisco Insa, Mohamadou Sumareh, Matheus Alves

Kedah FA: Mohd Ifwat (PG), Mohd Syawal Nordin, Rizal Ghazali, Khairul Helmi (K), Mohd Fitri Omar, Baddrol Bakhtiar (Ahmad Fakri Saarani), Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva, Syazwan Zainon (Syafiq Ahmad), Ken Ilso (Syazwan Tajudin), Akram Mahinan.

Pengadil Perlawanan: Nagor Amir Noor Mohamed

Foto (featured image): Media PBNP

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top
%d bloggers like this: