Anda di sini
Laman Utama > Artikel > [Piala FA 2017] Laluan berliku sebelum ke pentas akhir

[Piala FA 2017] Laluan berliku sebelum ke pentas akhir

Bagaikan dirasuk! Itulah satu ungkapan yang tepat bagi menggambarkan keterujaan para penyokong selepas pemain gantian, Christie Jayaselan menoktahkan peluang Negeri Sembilan untuk bangkit di Paroi pada tanggal 13 Mei lalu.

Sebelum itu, perasaan yang gelisah nyata terpancar buat ribuan setia penyokong Tok gajah selepas Bruno Suzuki berjaya menjaringkan gol pada separuh masa kedua, dan perasaan itu seolah-olah diulangi ketika skuad JDT dengan mudah memadam defisit dua gol di Larkin ketika aksi kedua saingan suku akhir.

Hampir terkandas di pusingan awal.

Berbicara akan kegelisahan dan kebangkitan ini sebenarnya sudah dirasai seawal kempen saingan Piala FA musim ini. Bagaikan sudah sinonim dengan penyataan “king of come back”, Pahang dilihat sangat tertekan dan hampir terkandas di pusingan awal selepas dikejutkan dengan 2 gol jaringan Mohd Hadi Fayyadh pada separuh masa pertama di Pasir Gudang.

Namun, magis Dollah Salleh sekali lagi berulang apabila skuad Tok Gajah berjaya bangkit dengan 4 jaringan pada separuh masa kedua dan pada masa tambahan seterusnya menemukan Pahang dengan pendatang baru Liga Super iaitu Melaka United di pusingan ketiga. Mujurlah pada pertemuan itu, Pahang mampu menamatkan cabaran lawan dalam masa 90 minit dan pantas memanfaatkan situasi lawan yang agak tidak konsisten dalam saingan liga.

Singkirkan juara bertahan

Baki tiga minit memusnahkan harapan JDT untuk melangkah ke saingan separuh akhir apabila terpaksa akur dek jaringan yang dihasilkan Mahamadou Sumareh pada minit ke 87 di Larkin pada saingan suku akhir kedua. Harapan seakan pudar tatkala Gonzalo Cabrera dan Gabby Guerra memadam defisit dua gol dimiliki Pahang di Kuantan dan perasaan semakin gelisah melihatkan pasukan tuan rumah masih memiliki separuh masa kedua untuk menambah jaringan yang bakal menamatkan peluang Pahang layak ke separuh akhir.

Segalanya sudah tertulis, percaturan Dollah Salleh mempertaruhkan pemain yang belum cergas seratus peratus ternyata berhasil apabila ‘debut’ Nuriddzuan Abu Hassan berjaya menghadirkan impak menerusi hantaran cantik tepat menemui Sumareh seterusnya menempah laluan separuh akhir bertemu pendahulu Liga Perdana.

Negeri Sembilan bukan lawan mudah

Bertemu salah satu pasukan dari berlainan liga pada awalnya menjangkakan Pahang bakal melalui laluan yang mudah ke pentas akhir. Ternyata, ramalan itu agak meleset tatkala hanya mampu menjaringkan satu gol dan hanya hadir pada 10 minit terakhir perlawanan pertama di Kuantan. Mengimbas semula aksi pertama itu, skuad pelawat hampir menemui jaringan di tempat lawan, mujurlah penyudah jentera serangannya agak tumpul dan memperlihatkan Pahang memiliki kelebihan mempertahankan gol di tempat lawan.

Perlawanan separuh akhir kedua semalam nyata memahat sejarah buat kedua-dua pasukan. Meskipun tewas, skuad Jang ternyata menyerlah meskipun berbekalkan barisan pemain tempatan yang kurang ternama dan kurang pengalaman berbanding Pahang. Buat pasukan Pahang pula, detik di Pasir Gudang dan Larkin diulangi dalam tempoh kurang 4 bulan dan kali ini di Paroi apabila sekali lagi berpeluang meraikan jaringan dan kemenangan di arena lawan seterusnya menghidupkan peluang memburu koleksi ketiga Piala FA sejak 1990.

Persamaan skrip 2014?

Untuk rekod, kali terakhir skuad Tok Gajah menjulang Piala FA adalah pada musim 2014. Bagaikan satu kebetulan, skrip perjalanan Pahang ke pentas akhir musim ini seakan mirip saingan awal kempen Piala FA musim 2014 apabila Pahang hampir disingkirkan Perak di Ipoh. Namun nasib lebih menyebelahi Pahang apabila muncul pemenang menerusi penentuan sepakan penalti.

Adakah aksi akhir 20 Mei ini bakal mengulangi sejarah 2014? Ketika itu, Pahang berjaya bangkit membenam cabaran Felda United menerusi gol pemusnah pemain terbaik perlawanan akhir, Mohd Faizol Hussain dan Dickson Nwakaeme selepas hampir ditundukkan melalui gol awal oleh Edward Junior Wilsom pada separuh masa pertama.

Adakah berada dalam situasi “struggle” yang telah dibuktikan sebelum ini bakal membantu Pahang menjuarai sebarang kejuaraan musim ini? Segalanya bakal terjawab Sabtu ini di Shah Alam.

Buat para penyokong pula, apa jua keputusan pada Sabtu ini, anda sepatutnya bertuah kerana berpeluang merasai 3 siri keterujaan sepanjang kempen Piala FA yang pasti tidak dirasai sepanjang musim 2016 yang lalu. Tahniah Rodong!

#mohbuatbalik

Foto: Media PBNP, sukanmalaysia.my

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top