Anda di sini
Laman Utama > Piala FA 2017 > [PREVIEW: Separuh Akhir II] Negeri Sembilan vs Pahang

[PREVIEW: Separuh Akhir II] Negeri Sembilan vs Pahang

29 April 2006 merupakan kali terakhir kedua-dua pasukan dipertemukan dalam saingan separuh akhir Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan. Walaubagaimanapun, Pahang layak ke pentas ‘final’ selepas menundukkan lawan 3-2 pada separuh akhir kedua di Kuantan.

Sabtu ini, kedua-dua pasukan sekali lagi akan bertemu bagai mengulangi skrip 11 tahun yang lalu tetapi sedikit berlainan dari plot penceritaannya. Skuad Tok Gajah yang berjaya memenangi saingan separuh akhir pertama di Kuantan tempoh hari masih belum selamat tatkala hanya berbekalkan satu gol hasil jaringan Ashari Samsudin.

Bagi skuad Jang pula, peluang yang terhidang untuk memburu pentas akhir buat kali ketiga sudah pasti ingin dimanfaatkan, lebih-lebih lagi bakal beraksi di arena sendiri berbekalkan sokongan padu puluhan ribu penyokongnya di Paroi nanti. Meskipun berada dalam saingan Liga Perdana, reputasi cemerlang yang dicatatkan pada saingan liga dan pusingan awal Piala FA bakal mengerunkan para penyokong dan kem pasukan Pahang.

Masih mengekalkan rekod tanpa kalah pada saingan liga dengan hanya melepaskan 11 gol dan gah memimpin carta liga dengan mengutip 28 mata, sedikit sebanyak menceritakan prestasi konsisten yang dipersembahkan oleh  anak-anak buah Asri Ningal ini.

Menyingkirkan 2 pasukan Liga Super iaitu Selangor dan Pulau Pinang pada aksi pusingan kedua dan ketiga, jelas memberi gambaran kepada lawan bahawa pasukan ini mampu bersaing bagi merebut kejuaraan musim ini.

Meskipun terpaksa ‘berpeluh’ untuk layak ke saingan separuh akhir selepas hanya menang dengan margin gol yang tipis ke atas Sabah, keupayaan mengekalkan gawang dari dibolosi sepanjang 80 minit perlawanan di Kuantan adalah satu persembahan yang wajar diberikan pujian.

Prestasi semasa:

Prestasi yang sedikit mengecewakan pada 3 aksi terakhir (1 kalah dan 2 seri) saingan Liga Super agak membimbangkan, namun ia sedikit terubat dengan kemampuan jentera serangan Pahang yang tidak pernah terlepas untuk menjaringkan gol selepas mengharungi 17 perlawanan kompetitif setakat ini.

Buat skuad Hobin Jang Hobin pula, kegagalan untuk menjaringkan gol pada aksi suku akhir kedua bertemu Sabah perlu dipandang positif buat kem Pahang untuk mencipta keputusan baik di Paroi nanti. Skuad Negeri Sembilan turut terjejas momentum kemenangannya dalam saingan liga selepas hanya seri pada 3 aksi terakhir Liga Perdana.

Selain itu, hanya berpeluang menjaringkan 2 gol sahaja dalam masa 90 minit sepanjang kempen Piala FA sedikit mengusarkan para penyokong setianya.

Pemain tumpuan:

Matheus Alves sekali lagi menjadi sandaran buat Pahang untuk merobek kubu lawan berbekalkan jumlah jaringan gol yang tertinggi disumbangkan pemain ini. Mahamadou Sumareh yang terlepas aksi di Kuantan tempoh hari dijangka akan mengisi sayap kanan pasukan yang dilihat sedikit terjejas pada perlawanan pertama.

Keupayaan pemain import Negeri Sembilan, Lee Tuck meledak ‘hat-trick’ ketika menyingkirkan Pulau Pinang pada aksi pusingan ketiga dilihat bakal menjadi watak penting Sabtu ini. Pemain ini dilihat liabiliti kepada benteng pertahanan lawan menerusi larian derasnya serta kawalan bola yang baik di bahagian sayap pasukan.

Selain itu, kecekapan penjaga gol Negeri Sembilan, Kaharudin, turut menjadi faktor kemaraan skuad Rusa sehingga ke peringkat ini. Beliau yang turut berada dalam skuad ketika Negeri Sembilan menjuarai Piala FA musim 2010 sudah pasti akan menggunakan pengalaman yang ada untuk tidak mudah dibolosi lawan. Berbekalkan ‘clean sheet’ sebanyak 2 kali sepanjang kempen Piala FA sudah cukup membuktikan pemain ini berada dalam kelasnya tersendiri.

Status pemain:

Bruno Suzuki dikhabarkan masih belum cergas sepenuhnya selepas mengalami kecederaan pada saingan pertama di Kuantan. Beliau yang terpaksa dikeluarkan pada minit ke 24, dilihat sedikit menjejaskan jentera serangan Negeri Sembilan. Pemain ini turut tidak diturunkan pada aksi terakhir Liga Premier ketika skuadnya sekadar seri dengan ATM.

Sementara itu, penggantunggan 2 tonggak pertahanan Negeri Sembilan iaitu Nasriq Baharom dan Hariri Mohd Safii sedikit meresahkan kem pasukan tatkala tuan rumah amat risau akan kelebihan yang akan dimiliki Pahang sekiranya menjaringkan gol di tempat lawan.

Keadaan perlawanan:

Berbekalkan reputasi meledak sekurang-kurangnya satu gol dalam setiap perlawanan dan turut berjaya menjaringkan gol selepas 8 perlawanan di tempat lawan menyaksikan jentera serangan Pahang sudah bersedia untuk meledak lagi seterusnya mencari kelebihan gol di tempat lawan.

Cuma kelemahan di benteng pertahanan sedikit merisaukan, lebih-lebih lagi berhadapan dengan barisan penyerang lawan yang membawa reputasi yang baik dalam merobek kubu lawan.

Mengimbas semula perlawanan pertama dahulu, Negeri Sembilan sepatutnya pulang dengan satu jaringan, namun kegagalan penyerang tempatan menyudahkan peluang terhidang sedikit merugikan pasukan yang turut terlepas bekalan gol di tempat lawan.

Di atas kertas, nyata Pahang mempunyai sedikit kelebihan untuk layak ke pentas akhir pada edisi ke 28 ini berbekalkan bekalan 1 gol dan membawa reputasi baik sepanjang kempen Piala FA.

Namun, sejarah dan legasi Piala FA turut memahat beberapa siri kejutan di mana beberapa pasukan yang datang dari liga yang berbeza berjaya ke pentas akhir. Selepas PKNS, Sime Darby dan Felda United, Negeri Sembilan boleh mengulangi episod musim 2003 untuk layak beraksi di perlawanan akhir yang ketika itu hanya beraksi di saingan Liga Perdana 2.

Mampukah Pahang memburu pentas akhir buat kali keempat? Mampukah Negeri Sembilan menamatkan kemarau kejuaraan sejak 2010?

Ayuh ke stadium!

#mohbuatbalik

 

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top
%d bloggers like this: