Anda di sini
Laman Utama > Berita > Saya yakin dengan kemampuan Nuri – Dollah Salleh

Saya yakin dengan kemampuan Nuri – Dollah Salleh

Penampilan pertama pemain yang baru dibawa masuk musim ini, Nurridzuan Abu Hassan jelas memahat satu kenangan yang amat manis apabila beliau turut terlibat dalam penghasilan gol yang memastikan slot ke separuh akhir Piala FA buat skuad Tok Gajah malam tadi, lapor Mezzo Fauzi.

Selepas beberapa bulan terpaksa diketepikan akibat kecederaan, percaturan pengendali Pahang, Dollah Salleh dengan memasukkan Nuri pada minit ke 82 jelas menghadirkan impak yang mendalam. Sungguhpun hanya beraksi kurang dari 10 minit di atas padang, sumbangannya sangat berharga apabila hantaran lintangnya dari sebelah kanan pintu gol JDT tepat menemui Mohamadou Sumareh sekaligus menjadikan hadiah hari jadinya yang amat manis untuk dikenang.

Meskipun beliau belum cergas 100% untuk diturunkan, namun saya yakin dengan kemampuan beliau berserta pengalaman yang dimilikinya untuk mencipta sesuatu. Apa yang saya katakan, anda perlu memberikan yang terbaik dan mungkin kita akan mencipta sesuatu malam ini.

Dalam pada itu, Dollah Salleh agak terkilan dengan persembahan yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya terutama pada separuh masa pertama.

Kita jelas tertekan pada separuh masa pertama dan menyaksikan tuan rumah bermain lebih baik dari kami sehingga berjaya memadam kelebihan 2 gol di Kuantan tempoh hari. Namun, saya agak lega apabila pada separuh masa kedua, lawan seakan mengurangkan tempo asakan. Alhamdullillah, melalui satu serangan pada lewat permainan, pemain-pemain memanfaatkannya dan kita berjaya ke separuh akhir.

Pahang akan bertemu Negeri Sembilan pada saingan separuh akhir Piala FA pada 30 April di Stadium Darul Makmur, Kuantan, manakala perlawanan kedua adalah pada 13 Mei di Paroi.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan pernah bertemu pada saingan separuh akhir Piala FA musim 2006 di mana pada tahun itu juga menyaksikan skuad Tok Gajah berjaya menjulang kejuaraan sulung Piala FA selepas menewaskan Perlis melalui penetuan sepakan penalti.

Foto (featured image): Media PBNP

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top