Anda di sini
Laman Utama > Artikel > 4 sebab mengapa Pahang perlu menang ke atas Selangor di Kuantan

4 sebab mengapa Pahang perlu menang ke atas Selangor di Kuantan

Sabtu ini, satu lagi perlawanan yang dianggap sangat penting bagi kedua-dua pasukan dalam misi untuk mengintai kejuaraan Liga Super musim ini. Perlawanan yang sesuai dilabelkan sebagai El Clasico ini turut sarat dengan penceritaan plot kegemilangan melibatkan kedua-dua pasukan elit di Malaysia ketika ini.

Walaubagaimanapun, disebalik pertembungan hebat ini, skuad Tok Gajah wajib melakar kemenangan Sabtu ini berdasarkan beberapa sebab seperti berikut:

Pahang gagal melakar sebarang kemenangan liga sejak musim 2011:

Kali terakhir skuad tuan rumah menang ke atas Selangor di Kuantan adalah pada 22 Mei 2011 dengan jaringan tipis 2-1. Selepas itu, Pahang terus gagal melakar sebarang kemenangan dalam 4 perlawanan liga di Stadium Darul Makmur. Paling terkesan adalah ketika tewas pada perlawanan musim lalu dengan jaringan 1-3, di mana R. Gopinathan turut menjaringkan salah satu gol untuk pasukan Red Giants.

Margin kekalahan besar Pahang ke atas Selangor di Kuantan sejak musim 2005 (Liga Super) adalah dengan jaringan 1-3 di mana turut merekodkan sebanyak 3 kali pasukan Merah Kuning ini berjaya menewaskan Pahang 1-3 di Stadium Darul Makmur.

Misi 3 mata dan lawan drop 3 mata:

Ketika ini, Pahang berjaya mengutip 19 mata seterusnya meletakkan skuad ini di persada Liga Super. Hanya dipisahkan 4 mata dengan pasukan Selangor, kemenangan sudah pasti wajib diburu. 3 mata yang dikutip secara matematiknya akan membuat Selangor keciciran 3 mata seterusnya menjauhkan pasukan ini dari terus menghambat kedudukan teratas liga.

Momentum kemenangan:

Kedua-dua pasukan turut mencipta kemenangan pada pertemuan sebelum ini (aksi kesembilan) selepas kedua-duanya tewas pada aksi kelapan Liga Super (3 dan 4 Mac) dahulu. Pahang yang berjaya bangkit dari ketinggalan untuk menundukkan Kelantan di Kota Bharu dilihat lebih dominan berbanding kemenangan Selangor ke atas Sarawak di gelanggang sendiri.

Walaubagaimanapun, kemenangan demi kemenangan adalah kunci utama dalam mengekalkan konsistensi memburu kejuaraan Liga Super dan kedua-dua pasukan ini pasti tidak boleh menoktahkan sebarang momentum kemenangan apatah lagi perlawanan liga sudah hampir menemui garisan penamat pusingan pertama.

El Clasico:

Dua pasukan yang amat sinonim dalam kancah liga tempatan sejak dari dahulu bukan sahaja di saingan liga, malahan turut meninggalkan legasi sejarah dalam kejuaraan Piala Malaysia. Jika ditanya, apakah saat paling manis bagi menggambarkan senario pertemuan Pahang dan Selangor ini? Sudah pasti jawapannya adalah kemenangan besar 6-0 di Stadium Darul Makmur pada tahun 1989.

Sebaliknya, apakah detik yang paling pahit buat penyokong Pahang, sudah pasti jawapannya adalah kekalahan 2 kali secara sudden death dalam perlawanan akhir Piala Malaysia musim 1995 dan 1997. Meskipun kedua-dua plot ini merupakan rencah pada saingan Piala Malaysia, namun ia turut signifikan dalam menceritakan betapa besarnya tradisi dan legasi yang ditinggalkan buat kedua-dua pasukan.

Kesimpulan:

Selepas 6 tahun buntu melakar kemenangan ke atas Selangor di Stadium Darul Makmur, musim ini adalah musim yang terbaik memadam episod duka ini. Untuk rekod, Pahang menang kesemua perlawanan liga di Kuantan dengan berjaya meledak 14 gol dan hanya bolos 1 jaringan.

Manakala bagi skuad Red Giants, selepas melalui 3 perlawanan di tempat lawan, mereka hanya menang sekali dan berjaya meledak 5 jaringan sambil turut dibolosi 5 gol di tempat lawan.

Semuanya dilihat sangat menarik dan memihak buat Pahang di atas kertas, namun keputusan 90 minit boleh diterbalikkan sekiranya pasukan pelawat arif dalam mengatur langkah dan bijak menghukum kealpaan yang selalunya terjadi hasil dari situasi bola mati.

Selamat berjuang buat kedua-dua pasukan!

#selamatbermainflashlightlagi

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top