Anda di sini
Laman Utama > Artikel > Episod 4 – Pertembungan Piala FA Pahang-JDT

Episod 4 – Pertembungan Piala FA Pahang-JDT

Umum mengetahui Pahang bakal bertemu juara bertahan Piala FA, Johor DT pada 1 dan 23 April di peringkat Suku Akhir Piala FA 2017.

Bermula penjenamaan semula pasukan bola sepak Johor pada 2013, hanya musim 2016 kedua-dua pasukan ini tidak bertemu dalam perlawanan Piala FA yang menyaksikan 2 kisah berbeza, JDT juara manakala Pahang kalah awal dimalukan Sime Darby di laman sendiri seawal pusingan ketiga.

Episod 1 : 2013 Separuh Akhir

Sumber : Sinar Harian

Sebagai pendatang baru Liga Super, Pahang tampil sebagai pasukan bukan pilihan dalam pertandingan Piala FA.

Selepas membenam cabaran 3 pasukan liga bawahan, Johor FA, Tentera Darat dan Sime Darby, skuad Tok Gajah kemudiannya diundi bertemu JDT di separuh akhir.

Perlawanan pertama berlangsung di Larkin yang menyaksikan Pahang tewas tipis 0-1 hasil jaringan sepakan lencong Leonel Nunez.

Perlawanan kedua yang dijadualkan tiga hari kemudian terpaksa ditunda selepas insiden limpahan penonton di Stadium DarulMakmur dan pasukan JDT telah meninggalkan stadium awal atas faktor keselamatan.

Perlawanan kemudiannya berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, dan Pahang selaku tuan rumah berjaya menewaskan JDT 2-1 namun masih belum cukup untuk mara ke Final mengikut peraturan gol di tempat lawan.

Gol tunggal tempat lawan Andrezinho membawa JDT ke pentas Final yang menyaksikan mereka tewas kepada Kelantan 0-1.

Episod 2 : 2014 Separuh Akhir

Sumber : mStar

Musim berikutnya, Pahang bertemu lawan yang lebih kuat di semua pusingan awal, Perak (Pertama), Lions XII (Kedua), dan PDRM (Suku Akhir).

Di separuh akhir, Pahang sekali lagi diundi bertemu JDT dan perlawanan pertama juga dijadual berlangsung di Larkin.

Pahang berjaya mengikat JDT 1-1 hasil jaringan penyamaan Matias Conti selepas ketinggalan di awal permainan.

Perlawanan berlangsung tegang dan Pahang akhirnya berjaya membawa 1 gol di tempat lawan sebagai bekal di perlawanan kedua.

Di Stadium DarulMakmur, perlawanan terus berlangsung sengit dan tegang. Jaringan kemenangan Pahang dijaringkan oleh Faizol Hussein, hasil rembatan jarak jauh menewaskan Izham Tarmizi.

Pahang ke Final dan muncul juara menewaskan Felda United 2-1.

Episod 3 : 2015 Pusingan Kedua


Berbeza daripada 2 musim lalu, kali ini kedua-dua pasukan diundi bertemu seawal pusingan kedua dan Pahang mendapat tuah dipilih bermain di gelanggang keramat, Stadium DarulMakmur.

Pahang terlebih dahulu menjaringkan gol hasil jaringan Matias Conti, sebelum disamakan oleh Haris Harun 10 minit sebelum masa perlawanan tamat.

Kedua-dua pasukan terus buntu menemui jaringan sehingga 120 minit masa permainan.

Tuah sepakan penalti masih milik Pahang apabila menang 4-2.

Namun begitu, Pahang tewas di tangan Kelantan pada separuh akhir, dan Lions XII muncul juara pada musim tersebut.

JDT akhirnya berjaya juga merangkul trofi sulung Piala FA mereka pada musim 2016 menewaskan PKNS di Final.

Episod 4 pertemuan kedua-dua pasukan ini dalam pusingan Piala FA bakal berlangsung pada 1 dan 23 April di peringkat Suku Akhir.

Pemenang di dalam pertemuan ini dilihat cerah untuk mara ke final apabila bakal bertemu 2 pasukan Liga Perdana, sama ada Sabah atau Negeri Sembilan.

Sama-sama kita nantikan pertemuan epik kedua-dua pasukan ini April nanti !

muhsin
"Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah" @syedahmadmuhsin

Leave a Reply

Top