Anda di sini
Laman Utama > Berita > Pahang tempah tiket suku akhir

Pahang tempah tiket suku akhir

Gol Jaewon Heo dan pemain gantian, Nor Azam Azih sudah mencukupi bagi skuad Tok Gajah menempah tiket ke peringkat suku akhir Piala FA selepas membenam cabaran Melaka United, 2-0 di Kuantan sebentar tadi.

Pahang turun dengan menampilkan sedikit kelainan pada barisan pemain apabila pengendali Pahang, Dollah Salleh membuat sedikit pertukaran dengan meletakkan Fransisco Insa, Christie Jayaselan dan Wan Zaharulnizam dalam kesebelasan utama selepas ketiga-tiga pemain ini bebas dari kecederaan.

Perlawanan dilihat seakan seimbang pada awal permainan di mana kedua-dua pasukan memiliki peluang yang terbaik untuk berada dihadapan. Pahang terlebih dahulu menguji gawang lawan apabila minit ke 6, Faisal Rosli berjaya menembusi beberapa kawalan pemain Melaka United, namun sepakan jauhnya sedikit tersasar.

Berselang seminit kemudian, giliran Sergio Aguero pula memiliki peluang untuk meledak, namun sepakannya turut tersasar.

Gol pendahuluan hadir pada minit ke 16 melalui sepakan penalti Jaewon Heo selepas hantarannya pada minit ke 15 dari sebelah kanan pintu gol Melaka United tertampan pertahanan lawan di dalam kotak penalti.

Tersentak dengan gol awal lawan, Melaka memperkemaskan jentera serangan dan turut memiliki peluang untuk menyamakan kedudukan, namun pada minit ke 26, Fransisco Insa hadir pada waktu yang tepat untuk menghalang sepakan Amri di dalam kotak penalti Pahang.

Menuju penghujung babak pertama, Matheus Alves hampir menambah gol buat Pahang, namun sepakan leretnya dari sebelah kiri pintu gol lawan berjaya ditepis keluar oleh Mohd Fazli Paat. Tamat separuh masa pertama, Pahang 1-0 Melaka United.

Bersambung babak kedua permainan, skuad pelawat nyata bermula garang dengan banyak mengasak ke kubu Pahang. Pada minit ke 53, Sergio Aguero memiliki peluang untuk menjaringkan gol selepas meyambut baik hantaran jauh pemain tengah, namun sepakannya sedikit tersasar disebelah kiri pintu gol Pahang.

Minit ke 64, giliran tuan rumah memiliki peluang untuk melebarkan kedudukan, namun hantaran lintang Sumareh dari sebelah kiri gawang gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh Afif Amirudin.

Berbaki sepuluh minit terakhir perlawanan, Melaka United semakin garang menyerang. Serangan demi serangan itu hampir membuahkan hasil, namun tiang gol menjadi penyelamat pasukan tuan rumah.

Dalam keadaan tuan rumah dilihat semakin tertekan menyerap asakan pasukan pelawat, Nor Azam Azih yang masuk menggantikan Wan Zaharulnizam memastikan kemaraan Pahang ke peringkat suku akhir selepas merembat kencang hasil hantaran   Sumareh pada minit ke 86.

Gol kedua itu jelas membunuh semangat lawan untuk bangkit seterusnya menyaksikan kemaraan Melaka United terhenti di pusingan ketiga.

Barisan pemain-pemain:

Pahang FA : Azraie (PG), Jaewon Heo, Davies (K),Faisal Rosli (R. Dinesh), Afif Amirudin, Sumareh, Syamim Yahya, Christie Jayaselan (Ashari Samsudin), Fransisco Insa, Matheus Alves, Wan Zaharulnizam (Nor Azam Azih).

Melaka United: Mohd Fazli Paat (PG), Mohd Faizal Muhamad, Surendran (Akmal Ishak), Ahmad Ezrie (Fauzi Roslan), Sergio Aguero, Ahmad Khuzaimi, Khairu Azrin (Syed Sobri), Amri Yahyah (K), Godwin Antwi, Khair Jones, Puaneswaran.

Pengadil : Mohd Amirul Izwan Yaacob

Foto (featured image): Media PBNP

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top