Anda di sini
Laman Utama > Artikel > 5 Sebab Kenapa Pertembungan Pahang-JDT Sangat Dinantikan !

5 Sebab Kenapa Pertembungan Pahang-JDT Sangat Dinantikan !

Jumaat ini (3 Februari 2017), Pahang bakal berkunjung ke gelanggang keramat juara hat-trick Liga Super Malaysia (2014-2016) dan Juara Piala AFC 2015, Johor DT, Stadium Larkin.

Pertembungan kedua-dua pasukan ini sebenarnya tidak memiliki sejarah gah dalam arena bola sepak negara seperti pertembungan Selangor-Singapura dan Pahang-Selangor.

Namun begitu, bermula penjenamaan semula skuad Johor pada musim 2013, aksi perlawanan kedua-dua pasukan ini selalunya memiliki drama tersendiri, daripada magik ‘Budak Pekan’, limpahan penonton DarulMakmur, 10 vs 11 di Final Piala Malaysia 2014 dan kenduri 6-0 pada musim lalu, bakal menjanjikan pertembungan ‘panas’ Jumaat ini.

Berikut 5 sebab kenapa pertembungan kedua-dua pasukan ini sangat dinantikan :

Fauzi Roslan meraikan gol ketika menewaskan JDT pada perlawanan pembukaan Liga Super 2013

1. 2013
Perseteruan dua pasukan ini bermula pada perlawanan pembukaan Liga Super 2013 di Stadium DarulMakmur.

JDT (ketika itu Darul Ta’zim FC) menghimpunkan ramai pemain kebangsaan, selain turut memiliki pemain import berprofil tinggi, Daniel Guiza, bekas pemain Fenerbache dan skuad juara Euro2008, Sepanyol.

Pahang tampil sebagai pendatang baru Liga Super jelas bergelut pada separuh masa pertama dan ketinggalan 0-2 sebelum rehat.

Ketika ramai menjangkakan skrip kemenangan mudah bakal diraih JDT, kemasukan Fauzi Roslan pada separuh masa kedua telah mengubah segalanya.

Beliau cemerlang menjaringkan 2 gol dan R Surendran menjaringkan gol kemenangan Pahang membuatkan Fandi Ahmad tertunduk malu.

Musim berikutnya, Pahang sekali lagi berjaya menundukkan JDT, yang diperkuat dengan Pablo Aimar dan Luciano Figueroa, di DarulMakmur dengan jaringan yang sama.

Gol kemenangan Pahang hadir di penghujung permainan hasil tandukan Hafiz Kamal menewaskan Norazlan Razali.

Suasana Stadium DarulMakmur selepas aksi Separuh Akhir Piala FA 2013 ditunda

2. Penyokong/Ultras
Tahun 2013 juga menyaksikan bermulanya insiden yang tidak diingini, iaitu percakaran antara penyokong.

Semuanya bermula dalam perlawanan Separuh Akhir Kedua Piala FA di DarulMakmur, apabila kegagalan sesetengah pihak memastikan jualan tiket dan pengurusan kedudukan antara penyokong berjalan baik menyebabkan penyokong yang hadir melimpah sehingga duduk di atas trek.

Perlawanan gagal bermula seperti dirancang kerana pihak tuan rumah masih gagal memenuhi aspek keselamatan.

Dalam semua pihak bertungkus lumus memindahkan penyokong bagi mengosongkan trek, pasukan JDT telah cabut awal atas alasan pihak tuan rumah gagal menjamin keselamatan mereka.

Apabila pihak stadium mengumumkan perlawanan ditunda, bermulalah percakaran antara penyokong yang menyebabkan kecederaan.

Perlawanan ditunda ke Stadium Bukit Jalil yang menyaksikan JDT berjaya menyingkirkan Pahang menerusi gol di tempat lawan selepas terikat agregat 2-2, namun tewas di tangan Kelantan dalam perlawanan akhir.

Bermula dari peristiwa itu, kisah percakaran antara penyokong kedua-dua pasukan ibarat tiada penghujungnya, yang terbaru chant dari Ultras Johor, B.O.S dalam perlawanan Piala FA baru-baru ini di Pasir Gudang menjadi viral di media sosial kerana mengandungi kata-kata kesat mengutuk Pahang.

Sebelum Aksi Final Piala Malaysia 2014

3. Piala FA dan Piala Malaysia
2013 dan 2014 menyaksikan Pahang dan JDT bertembung beberapa kali dalam pusingan kalah mati. JDT berjaya menyingkirkan Pahang dalam Separuh Akhir Piala FA 2013 menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas terikat aggregat 2-2.

Musim berikutnya, Pahang membalas dendam dengan menyingkirkan JDT juga di pusingan yang sama Piala FA, kali ini hasil rembatan padu Faizol Hussein melangkaui Izham Tarmizi.

Dalam saingan Piala Malaysia musim yang sama, Pahang sekali lagi mengecewakan JDT untuk menambah koleksi trofi mereka selepas menang dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 walaupun sekadar beraksi dengan 10 pemain dalam perlawanan akhir.

Pada musim 2015, Pahang terus mengecewakan JDT untuk memburu trofi Piala FA apabila sekali lagi menang menerusi sepakan penalti 4-2 selepas terikat 1-1 seawal pusingan kedua.


4. Perebutan Mahkota Liga Super
Musim 2015 menyaksikan perebutan mahkota Liga Super yang paling sengit dalam sejarah, sehingga juara hanya dapat ditabalkan dalam perlawanan terakhir liga, juga melibatkan Pahang dan JDT.

Menariknya kedua-dua pasukan tewas kepada lawan masing-masing dalam perlawanan terakhir liga, namun JDT memiliki kelebihan perbezaan gol selepas kedua-dua pasukan terikat dengan 46 mata.

Namun begitu, Pahang akhirnya dihukum potongan 6 mata selepas didapati bersalah dalam isu penamatan kontrak Mohamed Borji dan terpaksa berpuas hati diturunkan ke tangga ke-3 liga.

Musim ini menyaksikan Pahang dan JDT sekali lagi menjadi tumpuan di kedudukan top 3 Liga Super.

Pertemuan kedua-dua pasukan mungkin dapat memberi petanda awal bagaimana kedudukan liga musim ini bakal berakhir.

5. Pertembungan 2 Pasukan Terbaik Negara?
Jika dihimpunkan koleksi trofi kejuaraan domestik kedua-dua pasukan ini bermula perseteruan pada 2013, jumlah keseluruhannya 10 trofi (JDT 6, Pahang 4).

JDT lebih unggul dengan kejuaraan hat-trick Liga Super (2014-2016) manakala Pahang pula lebih banyak memenangi Piala Malaysia (2013, 2014) dalam tempoh itu.

JDT masih gagal memburu kejuaraan piala tertua di Asia itu, dan kedua-dua pasukan memiliki 1 trofi Piala FA dalam tempoh yang sama.

Bagi saingan benua, JDT gah selaku juara Piala AFC 2015 yang juga menyaksikan musim terbaik Pahang di kejohanan itu selepas berjaya mara ke Suku Akhir.

Berikut senarai kejuaraan kedua-dua pasukan dari 2013-2016 :

2013-Pahang (Piala Malaysia), JDT(Tiada)
2014-Pahang (Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Malaysia), JDT (Liga Super)
2015-Pahang (Tiada), JDT (Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala AFC)
2016-Pahang (Tiada), JDT (Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA)

Kesimpulan

Perseteruan antara Pahang dan JDT mungkin bukan rival terbaik dalam sejarah bola sepak negara, namun kebelakangan ini pertembungan kedua-dua pasukan ini semestinya menjanjikan pelbagai drama yang akan muncul.

Pertemuan Jumaat ini di Larkin seharusnya menjadi medan Tok Gajah menebus kembali aib dimalukan 0-6 di DarulMakmur musim lalu.

Namun begitu, dalam keghairahan menyokong pasukan kesayangan, elakkan percakaran dan provokasi yang boleh mendatangkan kecederaan pada fizikal dan semangat persahabatan cintakan bola sepak tanah air.

*Kredit buat pemilik gambar. Sumber google.

muhsin
"Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah" @syedahmadmuhsin

One thought on “5 Sebab Kenapa Pertembungan Pahang-JDT Sangat Dinantikan !

  1. Untuk bertemu dgn JDT di peringkat suku-akhir Phg perlu menurunkan Saiful Nizam di posisi back kiri. Semasa pertemuan terakhir di Larkin, dua dpd tiga gol bolos melalui bahagian tersebut.

    Pahang juga perlukan pemain tengah yg berperwatakan tegas dan garang utk menyaingi Safik Rahim.

    Harap Phg blh menang dgn jaringan 2-0 semasa pertemuan di Darul Makmur nanti.

    Hogoh Phg Hogoh..

Leave a Reply

Top