Anda di sini
Laman Utama > Liga Super > [Preview MSL#6] Melaka United vs Pahang

[Preview MSL#6] Melaka United vs Pahang

Keadaan perlawanan: Pertemuan yang dinanti-nantikan buat kedua-dua pasukan dan penyokong-penyokongnya bagi melihat sejauh mana kekuatan dan kemampuan kedua-dua pasukan untuk terus mencabar dalam saingan liga ketika ini.

Pahang yang kini berada di tangga kedua dilihat tidak mahu melepaskan cengkaman di kelompok atasan liga sambil Melaka United yang kini berada di tangga ke-tujuh pasti ingin meneruskan pendakian agar terus selesa berada dalam kelompok pasukan elit di Liga Super.

Prestasi semasa: Tumpuan pasti terarah buat kedua-dua pasukan ini apabila berjaya melakar kemenangan pada perlawanan terdahulu. Skuad Tok Gajah yang masih segar dengan kemenangan besar sudah pasti ingin mencetus momentum itu.

Sementara itu, talking point yang amat signifikan ketika ini adalah tertumpu kepada skuad Melaka United apabila sudah mula menunjukkan bisanya dengan berjaya mencatat beberapa keputusan positif sejak akhir-akhir ini. 3 kemenangan berturut-turut ke atas PKNS (Piala FA) dan 2 kemenangan (liga) di tempat lawan ke atas Sarawak dan Kelantan bagaikan memberi amaran buat lawan akan kebangkitan skuad kendalian Eric Williams ini.

3 kemenangan dengan merekodkan 4 jaringan serta tiada bolos jelas membuktikan pasukan ini berada dalam landasan tepat untuk melakar kemenangan nanti. Kemasukan beberapa pemain ke dalam kesebelasan utama seperti Fazli Paat (penjaga gol), Faizal Mohd (pertahanan) dan Jeo Woo Young (tengah) nyata memberikan impak buat pasukan. Formasi 4-2-3-1 janaan Eric Williams ini dilihat semakin positif dan bakal diuji sepenuhnya nanti apabila berdepan dengan pasukan yang mempunyai kekuatan di bahagian tengah dan serangan seperti Pahang.

Pemain tumpuan: Penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu, Ilija Spasojevic yang baru sahaja kembali menemui sentuhan gol selepas kemarau gol dalam beberapa perlawanan bakal mencuri tumpuan pada perlawanan ini. Mampukah Spasojevic mengulangi skrip musim lepas yang bermula sangat perlahan pada permulaan liga dan berjaya bangkit dipertengahan musim dengan mempamerkan prestasi yang sangat baik untuk pasukan.

Jeo Woo Young yang bergandingan dengan Khairu Azrin pula di bahagian tengah dilihat semakin serasi sambil peranan Ezrie sebagai defensive midfielder turut mendatangkan impak kepada keputusan positif ini.

Status pemain: Wan Zaharulnizam yang mengalami kecederaan bakal tidak diturunkan pada perlawanan ini. Tempat yang ditinggalkan beliau mungkin akan di isi Joseph Kalang Tie ataupun Faisal Halim. Manakala Fransisco Insa yang terlepas 2 aksi sebelum ini masih dalam keadaan 50-50 untuk diturunkan bagi menguatkan barisan tengah Pahang nanti.

Begitu juga nasib yang dialami seorang lagi tonggak import Melaka United, Sergio Aguero yang mengalami kecederaan dan terlepas beberapa aksi bersama pasukan sebelum ini. Untuk rekod, Melaka United belum menurunkan gabungan 4 pemain importnya dalam perlawanan-perlawanan terdahulu dan mungkin akan berbuat demikian pada perlawanan Sabtu ini.

Kesimpulan: Satu pertemuan yang dijangka menarik membabitkan kedua-dua pasukan di mana Pahang dilihat lebih mempunyai kekuatan di bahagian serangan, bakal bertemu dengan satu pasukan yang mempunyai good defending ability sepertimana dibuktikan pada 3 perlawanan terdahulu.

Mampukah Surendran, Fauzi Roslan dan rakan sepasukan lain meranapkan momentum kemenangan Tok Gajah Sabtu ini? Sama-sama kita nantikan.

Barisan Kemungkinan (Ramalan TGC):

Azraie

Davies – Afif – Jaewon – Faisal Rosli

Sumareh – Syamim – Azam – JKT

Alves – Ashari

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top