Anda di sini
Laman Utama > Berita > Matheus Alves – Penyerang Muda Brazil Bakal Menggegar DarulMakmur

Matheus Alves – Penyerang Muda Brazil Bakal Menggegar DarulMakmur

Baru berumur 24 tahun, Matheus Alves dipikat Pahang dari kelab K-League Classic (Div 1 Korea Selatan), Gangwon FC.

Beliau membantu kelab tersebut dinaikkan taraf dari K-League Challenge (Div 2 Korea Selatan) ke K-League Classic pada musim 2016 melalui play-off selepas menduduki tangga ke-4 liga.

Kehadiran beliau ke Pahang ternyata memberi impak yang besar dengan 4 gol dalam 4 perlawanan awal.

Karier Bola Sepak

Matheus merupakan produk dari kelab utama Brazil, Fluminese yang juga pernah melahirkan bakat besar bola sepak Samba seperti bekas kapten mereka di Piala Dunia 2014, Thiago Silva.

Namun begitu, beliau tidak pernah tampil dalam skuad utama Fluminese sebaliknya dipinjamkan ke kelab divisyen 2 Perancis, FC Istres selama 2 musim.

Dalam usia awal 20 tahun ketika itu, beliau berjaya menjaringkan 2 gol dalam 21 penampilan bersama kelab tersebut dan FC Istres disingkirkan ke National Championship (Liga Div 3 Perancis) pada musim pertama beliau di sana.

Pada 2015, kelab utama Veikkausliiga (Finland), FC Lahti telah mendapatkan khidmat beliau secara tetap dan di sinilah karier Matheus mula berkembang.

Beliau tampil cemerlang dengan 13 gol pada musim pertama termasuk 1 gol ketika kelayakan Europa League 2016 menentang kelab Sweden, Elfsborg.

Namun begitu, FC Lahti gagal ke peringkat kumpulan Europa League selepas kecundang dalam pusingan kelayakan itu.

Matheus Alves bersama FC Lahti

Karier cemerlang di Finland telah menambat hati kelab Korea Selatan, Gangwon FC malahan beliau cemerlang membantu kelab tersebut naik ke liga utama Korea Selatan, K-League Classic dengan menewaskan Seongnam FC di pusingan Play-Off selepas menduduki tangga ke-4 K-League Challenge.

Beliau juga cemerlang dengan rekod 11 gol dan muncul penjaring kedua terbanyak kelab sepanjang musim 2016.

Bersama Gangwon FC ketika menentang Seongnam FC dalam perlawanan Play-Off K-League Classic 2016

Hadir Ke DarulMakmur

Matheus hadir ke DarulMakmur di akhir jendela perpindahan pemain musim baru 2017 dan kehadiran beliau bersama Bright Dike ternyata menambah sengat di barisan serangan skuad Tok Gajah.

Beliau dilihat begitu fleksible di bahagian hadapan sama ada sebagai penyerang utama ataupun sebagai ‘back-up’ penyerang.

Penampilan pertama ketika menentang T-Team menyaksikan Matheus cemerlang dengan 2 gol, disusuli 1 gol ketika menentang Kedah dan JDT II.

4 gol dalam 4 perlawanan awal beliau di Pahang ternyata memberi petanda awal, Matheus bakal menggegar Liga Malaysia musim ini.

Boa Sorte Matheus!

muhsin
"Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah" @syedahmadmuhsin

Leave a Reply

Top