Anda di sini
Laman Utama > Berita > Pahang tamatkan penantian

Pahang tamatkan penantian

Jaringan Chinedu Bright Dike pada separuh masa pertama berjaya menamatkan penantian 13 tahun Pahang untuk memenangi perlawanan di Kuching dalam saingan Liga Super sejak musim 2004.

Pahang bermula dengan mengekalkan kesebelasan utama ketika menang besar ke atas T Team Sabtu lalu. Manakala skuad tuan rumah turun tanpa penyerang importnya, Mateo Roskam dan pertahanan kental, Ramesh Lai akibat kecederaan.

Sarawak memulakan separuh masa pertama dengan terlebih dahulu mengancam kubu Pahang dan memperlihatkan skuad pelawat tertekan terutamanya seawal 5 minit permainan. Namun, Pahang dilihat mula memperkemaskan barisan pertahanan dan mula dilihat banyak mengatur serangan untuk mencari gol pendahuluan.

Hasilnya, pada minit ke 24, Pahang akhirnya memecah kebuntuan apabila Chinedu Dike berjaya menyudahkan hantaran cantik Sumareh dari sebelah kiri pintu gol tuan rumah. Sumareh layak diberikan pujian apabila larian solonya yang berjaya menewaskan 2 pertahanan lawan dan dihantar tepat untuk membolehkan Dike merembat menewaskan Mohd Shahril Sa’ari.

Tersentak dengan gol lawan, Sarawak dilihat mula menyusun gerakan yang diketuai Mark Hartmann dan Jong Ho Lee, namun masih tidak merubah kedudukan untuk menjadikan Pahang kekal mendahului dengan satu jaringan pada separuh masa pertama.

Separuh masa kedua permainan bersambung dan dilihat permainan banyak berlegar-legar di tengah padang. Perlawanan semakin rancak terutamanya pada 10 minit terakhir di mana skuad tuan rumah banyak mengancam ke kubu Pahang. Mujurlah kekentalan pertahanan skuad Tok Gajah yang diketuai Afif Amirudin banyak membantu menyerap asakan bertubi-tubi skuad Bujang Senang.

Peluang terbaik untuk tuan rumah mengikat kedudukan hadir pada penghujung permainan, namun sepakan ketua pasukannya Ronny Harun sekadar tersasar sekaligus melegakan kem pasukan Pahang.

Tamat permainan, Pahang berjaya membawa pulang 3 mata dan kekal mendahului carta Liga Super selepas 3 perlawanan.

Barisan pemain-pemain:

Sarawak : Mohd Shahril Sa’ari (PG), Ronny Harun (K), Demerson Bruno, Nur Shamie Iszuan (Abdul Rahim), Tommy Mawat, Mark Hartmann, Mohammad Dzulazlan, Mohammad Shahrol Saperi (Mohammad Hafiz), Jong Ho Lee, Shreen Tambi, Mazwandi Zekeria.

Pahang FA : Azraie (PG), Jaewon Heo, Davies (K),Faisal Rosli, Afif, Sumareh (Joseph Kalang Tie), Syamim, Fransisco, Wan Zaharulnizam (Ashari Samsudin), Matheus Alves, Chinedu Bright Dike (Muslim Ahmad).

Pengadil : S. Sittharajan

Foto (featured image): Media PBNP

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top