Anda di sini
Laman Utama > Artikel > Chinedu ‘Bright’ Dike – Import Baru Pahang Yang Pernah Menjaringkan Gol Menentang Itali dan Catalonia

Chinedu ‘Bright’ Dike – Import Baru Pahang Yang Pernah Menjaringkan Gol Menentang Itali dan Catalonia

Mungkin ramai penyokong dan peminat Pahang tertanya-tanya, siapakah yang bergandingan dengan Matheus Alves dalam perlawanan menentang T-Team semalam yang turut menyumbang gol kelima disebabkan info perpindahan beliau tidak dihebahkan meluas seperti kemasukan Alves yang berlaku pada saat akhir.

Beliau ialah Chinedu ‘Bright’ Dike (cara sebutan panggilan ‘DEE-KAY), kelahiran Oklahoma, Amerika Syarikat namun memiliki kerakyatan Nigeria kerana ibu bapanya berasal dari sana.

Karier Bola Sepak

Bakat Dike dikesan ketika di universiti bersama pasukan bola sepak Notre Dame Fighting Irish University. Beliau muncul penjaring terbanyak pasukan pada musim 2008 dan 2009. Karier profesional di MLS beliau bermula bersama pasukan Portland Timbers.

Penyerang bertubuh sasa ini berjaya meledak 20 gol sepanjang musim 2010 hingga 2013. Selepas musim cemerlang di MLS, Dike dilaporkan menjalani trial di kelab Scotland, Celtic, namun gagal menawan hati pengurusan di sana. Selain itu, Hull City dan Queens Park Rangers turut dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat beliau. Namun langit tidak selalunya cerah, Dike telah mengalami kecederaan ACL yang mengganggu prestasi beliau.

Dike kemudiannya berpindah ke sebuah lagi kelab MLS, FC Toronto dan sempat bersama penyerang import Terengganu, Issey Nakajima-Farran pada musim 2014 walaupun tidak pernah bergandingan bersama. Selepas mengalami kesukaran mengembalikan semula prestasi beliau, Dike membuat keputusan berani untuk berpindah ke kelab liga utama Russia, Amkar Perm pada musim lepas.


Ketika bersama FC Toronto

Aksi cemerlang di MLS membuka mata scout pasukan kebangsaan Nigeria dibawah kendalian jurulatih Stephen Keshi (juga merupakan bekas pemain import Perlis). Caps pertama Dike ketika perlawanan persahabatan bertemu Venezuela pada 2013 dan beliau tampil dalam kesebelasan utama.

Dike gagal menempatkan diri dalam senarai akhir 23 pemain Nigeria ke Piala Negara Afrika 2013 yang muncul juara menewaskan Burkina Faso 1-0. Gol pertama beliau bersama Nigeria ketika perlawanan persahabatan menentang Catalonia yang dibarisi Gerard Pique, Carles Puyol dan ramai lagi. Beliau menjaringkan gol penyamaan dan perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Dalam perlawanan persahabatan menentang Itali di Stadium Craven Cottage, London, Dike menanduk masuk gol menewaskan Salvatore Sirigu hasil hantaran sebelah kiri Shola Ameobi. Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri 2-2. Prestasi Dike dilihat baik untuk membarisi senarai akhir 23 pemain Nigeria ke Piala Dunia 2014 di Brazil, namun kecederaan ACL sekali lagi membantutkan impian Dike. Keshi dilaporkan turut bersimpati dengan nasib malang Dike.


Dike menanduk masuk gol ketika bertemu Itali di Craven Cottage

Aksi Bersama Pahang

Dike muncul di saat akhir jendela perpindahan Liga Malaysia 2017 dan tampil sebagai pemain ‘misteri’ ketika latihan. Namun begitu, aksi sulung beliau malam tadi membuktikan kebenaran ‘resume’ gah beliau.

Sewaktu ditemuramah ringkas semalam, Dike nyata gembira dengan aksi pasukan dan teruja menyertai pasukan Pahang. Beliau yang menjadikan Thierry Henry sebagai idola turut menyatakan yang beliau hadir ke Malaysia adalah untuk membantu menaikkan kembali prestasi Pahang dan aksi beliau sendiri. Kami di TokGajah.com berharap Dike kembali menyinar seperti di MLS dahulu. Good Luck DK!

muhsin
"Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah" @syedahmadmuhsin

One thought on “Chinedu ‘Bright’ Dike – Import Baru Pahang Yang Pernah Menjaringkan Gol Menentang Itali dan Catalonia

Leave a Reply

Top
%d bloggers like this: