Anda di sini
Laman Utama > Liga Super > [Preview MSL] Perak vs Pahang

[Preview MSL] Perak vs Pahang

Kali pertama kedua-dua pasukan bertembung pada perlawanan pertama Liga Super adalah pada musim 2004 di Stadium Nasional Bukit Jalil di mana kedua-dua pasukan sekadar terikat satu mata.

Sabtu ini, kitaran itu bakal berulang kembali dan ironinya seakan terdapat persamaan di antara musim 2004 dan 2017 di mana skuad Tok Gajah kini kembali dilabel sebagai skuad “The Galacticos”.

Kemasukan 11 muka baharu termasuk 4 pemain import seperti yang diperkenalkan pada Karnival Pahang Superfans tempoh hari nyata mengembalikan keghairahan pasukan untuk menebus kegagalan perancangan musim lepas.

Rekod pertemuan: 8 perlawanan Liga Super menemukan kedua-dua pasukan sejak dari tahun 2013 di mana Pahang berjaya melakar 4 kemenangan, 1 kali seri dan 3 kekalahan.

Namun begitu, musim 2016 mencatatkan pelbagai plot penceritaan melibatkan kedua-dua pasukan.

Perlawanan pusingan pertama di Ipoh pastinya diingati, manakan tidak, ia merupakan kemenangan pertama pasukan Pahang di Liga Super selepas mengharungi 7 perlawanan tanpa melakar sebarang kemenangan.

Malam itu juga mencatatkan sejarah apabila pemain importnya Dalibor Volas membalas kritikan para penyokong dengan meledak hat-trick seterusnya meletakkan Pahang membawa pulang 3 mata dengan keputusan 3-4.

Namun, kekalahan di tempat sendiri segera dipadamkan dengan melakar kemenangan 1-2 di Kuantan seterusnya menyempitkan laluan Pahang keluar dari zon penyingkiran musim lalu.

Pemain tumpuan: Syamim Yahya, Christie Jayaselan, Joseph Kalang Tie dan Ashari Samsudin sudah pasti menjadi pemain tumpuan Sabtu ini dengan membawa reputasi besar baik di pentas tempatan mahupun antarabangsa.

Gabungan bekas pemain Felda United dan Terengganu ini pasti tidak sabar untuk merobek gawang lawan berbekalkan appetite pemain-pemain ini yang berorientasikan offensive. 

Di samping itu, penampilan pertama Wan Zaharulnizam bersama Pahang pada perlawanan ini nanti harus dilupakan kerana beliau menjalani penggantungan permainan gara-gara layangan kad merah pada pertemuan terakhir musim lalu ketika bersama pasukan Kelantan.

Skuad The Bos Gaurus turut mencuri tumpuan apabila berjaya membawa masuk beberapa nama besar dalam arena bola sepak Malaysia sebelum ini antaranya bekas pemain Pahang, Mohd Hafiz Kamal, Shahrom Kalam (Selangor) dan bekas pemain JDT I & II, Nazrin Nawi, Jasazrin Jamaluddin dan Zaquan Adha.

Prestasi Pra-musim: Kemenangan yang berjaya dicatatkan pada 2 aksi persahabatan di Kota Singa baru-baru ini nyata melonjak moral dan semangat para pemain mengharungi musim yang dijangka sangat kompetitif musim ini.

Peranan yang dimainkan oleh Sumareh dan Fransisco seakan menghadirkan impak apabila turut membantu dalam menghasilkan gol buat Pahang pada siri perlawanan persahabatan di sana.

Perak turut melakar kemenangan pada aksi pra musim yang terakhir apabila berjaya menundukkan UKM FC 3-2 dengan menyaksikan Zaquan Adha mencuri tumpuan apabila membantu dalam penghasilan gol-gol buat pasukan Perak.

Bekas pemain Melaka United, Yasir Pinto turut dilihat sebagai ancaman buat Pahang dengan meledak 2 gol pada perlawanan itu.

Terdahulu, Perak turut menguji pasukan PDRM di mana seorang lagi penyerangnya yang berasal dari Bulgaria, Vladislav Mirchev berjaya meledak dua gol pada perlawanan itu.

Dari luar padang: Joseph Kalang Tie yang kami temui baru-baru ini ternyata memuji kesungguhan para penyokong setia Tok Gajah yang memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi buat pasukan.

“Saya pernah beraksi ketika menentang Pahang, apa yang saya lihat, fans Pahang mempunyai aura yang tersendiri dan terus memberi semangat kepada para pemain sehinggalah tiupan wisel yang terakhir”.

Saya turut teruja untuk membantu Pahang dalam meneruskan legasi dan sejarah bola sepak Pahang yang sebelum ini penuh dengan tradisi kejayaannya”, ujarnya lagi.

Kesimpulan: Perlawanan pertama sememangnya merupakan perlawanan yang paling sukar ditambah dengan kedua-dua pasukan yang rata-rata masih belum menemui adunan pemain yang diharapkan.

Buat skuad Tok Gajah, 58% pemain yang dibawa masuk bakal meletakkan perubahan besar kepada kesebelasan utama pemain nanti.

Mungkin hanya 27%-36% pemain lama yang akan membarisi kesebelasan utama Sabtu ini sekaligus meletakkan Pahang dalam keadaan sedikit tertekan untuk berhadapan Perak di hadapan puluhan ribu penyokong setianya nanti.

Barisan kemungkinan (ramalan TGC):

Helmi

Davies-Jae Won-Afif-Tocang

JKT-Azam-Fransisco-Syamim

Sumareh

Ashari

 

 

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top
%d bloggers like this: