Anda di sini
Laman Utama > Berita > Jako Kembalikan Belang Pahang

Jako Kembalikan Belang Pahang

Syabas buat pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dan Jako yang berjaya melancarkan jersi pasukan Tok Gajah dalam sebuah majlis rasmi di Hotel Zenith, Kuantan pada 17 Januari.

Jako bakal menaja jersi pasukan Pahang selama 2 musim dan turut menjanjikan untuk membantu dalam program pembangunan bola sepak negeri Pahang.

Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Ibn Sultan Ahmad Shah Al-Haj telah bertitah bahawa hubungan dengan Jako bukan sekadar penajaan pada jersi, malah turut sebagai rakan kongsi yang dapat mengembalikan zaman kegemilangan Pahang.

Dalam majlis tersebut, secara rasminya Jako bakal menampilkan jersi pasukan Pahang dengan corak ‘stripes’ (belang) kombinasi warna Kuning+Biru untuk jersi ‘Home’ dan Hitam+Putih untuk jersi ‘Away’.

Revolusi Belang Jersi Pahang

Jako telah mengembalikan nostalgia zaman kegemilangan Pahang sewaktu menjuarai Liga Perdana musim 1992 yang juga mengenakan corak belang dengan warna yang sama untuk kedua-dua jersi  jenama Diadora. Namun pada tahun itu, warna belangnya adalah kombinasi warna kuning dan hitam.

Musim 1999 dan 2000 turut menampilkan dengan corak warna yang sama untuk kedua-dua jersi dengan jenama Mikasa.

Kemudian, belang pada jersi pasukan Pahang hilang sehingga muncul kembali pada jersi ‘Away’ bermula musim 2013 dengan jenama Stobi.

Puma meneruskan tradisi belang ‘Hitam+Putih’ pada jersi ‘Away’ melalui keluaran khas edisi Piala Malaysia 2014.

Musim 2015 dan 2016, Puma turut menampilkan corak warna belang yang sama pada jersi ‘Away’.

Kualiti Jersi

Kualiti Jako dilihat lebih baik dari jenama Puma sebelum ini.

Puma pada awalnya juga tampil dengan kualiti yang baik iaitu pada musim 2014 dengan logo pasukan disulam kemas dan cop penaja menggunakan material ‘velvet’ yang hampir mustahil tertanggal walau dibasuh kerap.

Namun pada musim berikutnya, logo pasukan penaja tidak lagi disulam, tetapi di ‘heat press’ dengan material lebih kurang kualiti, malah jika tidak diselia baik ketika membasuh, warnanya cepat luntur dan nampak lusuh.

Jako kembali menyulam logo Pahang dengan kemas, malah cop tulisan ‘JAKO’ di tengah jersi kelihatan cukup berkualiti dan juga kelihatan kemas, namun begitu tulisan ‘ARAS KUASA’ kelihatan kecil disebabkan ‘template’ jersi belang Jako mempunyai ruang yang terlalu besar di tengah.

Jika kekurangan ini di atasi dengan menggunakan sepenuhnya ruang di tengah jersi tersebut, mungkin jersi ini kelihatan lebih baik.

Warna kuning dan biru Jako kelihatan lebih ‘garang’ jika dibandingkan dengan Puma musim 2016.

Corak belang Jako lebih besar jika dibandingkan dengan belang yang pernah dikeluarkan penaja lain sebelum ini dan terdapat ‘curve’ di penghujung belang.

Corak belang Jako menampakkan jersi lebih ‘loose’ dan badan pemain akan kelihatan lebih ‘besar’.

Terdapat juga logo Jako di atas kedua-dua bahu dituruti beberapa corak berbentuk bulat.

Turut kelihatan ketika majlis perasmian, jaket rasmi pasukan dengan tampil berwarna biru.

Jaket Pahang kelihatan sama seperti jaket pasukan Karlsruher SC dari 2.Bundesliga (Jerman).

Harga jersi Jako masih belum dimuktamadkan dan kedengaran ura-ura bakal dikeluarkan dua edisi iaitu ‘Player Issue’ dan ‘Fan Issue’.

Lokasi jualan jersi pasukan juga masih belum diumum.

Diharap Jako dan pihak pengurusan Pahang mengambil kira faktor harga yang tinggi bakal membantutkan semangat penyokong memiliki jersi original pasukan.

Mereka boleh mengambil contoh pasukan Kedah dan jenama AL yang berjaya menjual banyak jersi dalam tempoh yang singkat walaupun baru dilancarkan dengan faktor harga yang berpatutan serta mudah untuk didapati.

Buat penyokong pasukan Pahang, dapatkan jersi yang original sahaja, boikot segala jualan jersi tiruan, kerana tanpa sokongan anda, Tok Gajah tidak akan dikenali.

muhsin
"Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah" @syedahmadmuhsin

One thought on “Jako Kembalikan Belang Pahang

Leave a Reply

Top