Anda di sini
Laman Utama > Admin > 3 harapan kami di musim 2017

3 harapan kami di musim 2017

Umum mengetahui skuad Pahang untuk 2017 bakal dibarisi barisan pemain serba ‘bintang’ setelah melalui musim mengecewakan pada musim 2016.

Beberapa pemain berstatus bekas pemain kebangsaan seperti, Muslim Ahmad, Zubir Azmi, Joseph Kalang Tie, Afif Amiruddin, Christie Jayaselan, Wan Zaharul Nizam dan lain-lain, serta turut dibantu dengan kemasukan bekas import PDRM dan Perlis, Mamadou Sumareh, skuad Tok Gajah dijangka bakal menggegar arena bola sepak Malaysia tahun ini.

Musim ini boleh dikatakan ibarat ulangan musim ‘Galacticos 2004’, di mana pada musim itu, Pahang muncul juara sulung Liga Super.

Harapan Kepada Pengurusan

Penyokong Pahang musim ini ternyata bakal meletakkan harapan yang sangat tinggi untuk melihat kejayaan pasukan.

Namun begitu, dengan persaingan bola sepak tempatan yang makin kompetitif, ditambah dengan pertambahan perbelanjaan setiap pasukan bakal menjadi beban buat pengurusan jika tidak melakukan perancangan yang rapi.

Harapan penyokong kepada pihak pengurusan untuk musim ini, tiada isu tunggakan gaji, caruman KWSP, bonus dan sebagainya menghiasi dada akhbar.

Kami juga berharap, pihak pengurusan sentiasa konsisten dalam membangunkan pasukan kerana bagi kami tidaklah dipinta untuk memenangi trofi setiap musim (jika boleh, itu bonus!), cukuplah sekadar konsisten dalam menguruskan pasukan sebagai pesaing kuat dalam arena bola sepak tempatan, bukannya hanya mengikut musim.

Sekejap di barisi bintang, sekejap mahu membina DNA, sekejap mahu di barisi anak tempatan, kesudahannya prestasi pasukan ibarat yo-yo, bila di penghujung liga dicerca ‘anak emas’ sebab dituduh selalu diselamatkan daripada relegasi.

Cukuplah musim 2016 menjadi pengajaran buat pihak pengurusan, apabila idea ‘FC’ entah ke mana dan juga pencipta DNAnya pun entah hilang ke mana.

Diharap pengurusan musim ini selari dengan lonjakan semangat budaya pengurusan bola sepak yang lebih profesional seperti cuba diketengahkan beberapa anak muda di liga bawahan.

Harapan Kepada Pemain

Hanya satu, BERMAINLAH DEMI LENCANA DI DADA !

Kami faham bukan mudah menjadi pemain profesional zaman serba canggih, bermain cemerlang dipuji, bermain hambar dikeji.

Namun, begitulah lumrah bola sepak tempatan ketika ini malah lebih teruk dicerca jika pemain tersebut diketahui umum dibayar dengan gaji puluhan ribu!

Kami tidaklah berharap kemenangan di dalam semua perlawanan, sedangkan pasukan terhebat dunia juga mengalami kekalahan.

Apa yang kami hanya mahu lihat adalah pemain mengerah seluruh keringat dan semangat dalam setiap perlawanan seolah-olah bermain di perlawanan akhir.

Kami paham kalah dan menang adat pertandingan, cuma sajikan kesungguhan permainan, usah pedulikan cacian di media sosial, dan paling utama, jangan keruhkan hubungan sesama rakan pasukan dan dengan penyokong walaupun musim ini Pahang bakal dibarisi pemain dengan pelbagai latar belakang dan negeri kelahiran.

Pahang pernah melakukan pada musim 2013-2015, pemain mempunyai hubungan cukup baik sesama sendiri dan penyokong, hasilnya kejayaan datang dengan sendiri dengan memenangi pelbagai piala.

Harapan Kepada Penyokong

Mulakan musim ini dengan semangat yang satu, mari riuhkan kembali gelanggang keramat Stadium DarulMakmur untuk kegemilangan skuad Tok Gajah.

Jangan ditanya kenapa pemain bermain teruk kalau kita hanya pandai menilai di media sosial.

Bagilah peluang buat pengurusan, jurulatih dan pemain membina keserasian dalam menghadapi musim ini dengan skuad yang serba baru.

Kalau penyokong mahu pengurusan profesional dan terbuka, penyokong juga harus melakukan perkara yang sama!

Teruskan sokongan walau kalah dan menang, sumbanglah untuk pasukan dengan sokongan padu pada setiap perlawanan, selain turut menyumbang kepada hasil jualan tiket dan produk rasmi (original) pasukan (kalau lah ada).

Ramai selalu mencanang pihak pengurusan harus mencontohi cara pengurusan liga di barat, tetapi tidak ramai yang mahu menjadi penyokong ala liga di barat.

Biarlah apa jua nama kumpulan penyokong, baik Fan Club, Ultras, dotCom, Hooligan dan sebagainya, kembalilah semula memenuhi stadium walaupun musim lepas ramai ‘menghilang’.

Jangan ada sikap memperlekeh dan mempersoal kesetiaan sokongan musim lalu, buka buku baru dan kembalilah demi Pahang Darul Makmur !

Kesimpulan

Musim ini pihak pengurusan telah berusaha melabur besar memancing pemain bintang dimulakan dengan membawa masuk kembali bekas jurulatih yang menaikkan Pahang ke Liga Super dan merangkul Juara Piala Malaysia 2013 iaitu Dollah Salleh

Beliau dilihat bakal menggalas tugas menaikkan kembali nama Pahang di pentas bola sepak tempatan dengan barisan pemain yang telah dipancing sejak awal musim.

Penyokong juga dilihat tidak sabar mahu melihat aksi pasukan musim ini apabila mula memenuhi lokasi perlawanan persahabatan dalam sesi pramusim.

Justeru itu, semua pihak mesti menanamkan satu tekad yang sama, bangkitkan kembali ‘Tok Gajah’ yang tidur, amuklah kembali menawan pentas bola sepak negara !

muhsin
"Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah" @syedahmadmuhsin

One thought on “3 harapan kami di musim 2017

  1. Kami tidaklah berharap kemenangan di dalam semua perlawanan, sedangkan pasukan terhebat dunia juga mengalami kekalahan.

    Apa yang kami hanya mahu lihat adalah pemain mengerah seluruh keringat dan semangat dalam setiap perlawanan seolah-olah bermain di perlawanan akhir.

    Memang benar kata2 ni..biarpun kita kalah tapi dgn cuba untuk menang dengan bersungguh2. InsyAllah penyokong pun akan beri pujian pada semua player bila dapat lihat kesungguhan bermain mati-matian sampai wisel penamat..

Leave a Reply

Top