Anda di sini
Laman Utama > Artikel > 5 Tonggak Import Liga Super Pahang Berprofil Tinggi

5 Tonggak Import Liga Super Pahang Berprofil Tinggi

Musim baru bakal bermula. Seperti kebiasaan, setiap pasukan gigih melakukan trial pemain import bagi mengisi 4 slot import (termasuk 1 Asia) bagi memantapkan pasukan menghadapi musim Liga Malaysia yang kian mencabar.

Liga Super Malaysia pernah dibanjiri pemain import berstatus bintang dan pernah memiliki caps antarabangsa seperti Daniel Guiza, Pablo Aimar, Luciano Figueroa, Damion Stewart, Zesh Rehman, Shane Smeltz, dan ramai lagi.

Permintaan gaji yang tinggi, aksi yang ‘Indah Khabar Dari Rupa’, serta masalah disiplin antara faktor pasukan tidak dapat mengekalkan pemain bintang ini lama di Malaysia.

Berikut 5 tonggak import Liga Super Pahang memiliki caps antarabangsa serta pernah bermain dalam pertandingan utama benua (seperti Piala Asia, Afrika, Dunia dan sebagainya) :-

1. Bernard Samuel Tchoutang (Cameroon)

Berhard Tchoutang bersama Pahang pada musim 2004

Penyerang bertubuh kecil dan tegap ini menyertai Pahang pada 2005 dan memiliki ‘resume’ yang sangat cemerlang.

Antaranya ialah pernah beraksi dalam Piala Konfederasi FIFA 2001 di Jepun dan menjaringkan 1 gol ketika menewaskan Kanada, selain bermain dalam 3 edisi Piala Negara-negara Afrika.

Beliau yang juga pernah berkelana ke Eridivise menyertai Roda JC telah menjaringkan 12 gol dan muncul penjaring gol ketiga terbanyak di belakang Julio Rodrigues (Sabah) dan Zacharia Simukonda (Perlis) sepanjang 1 musim di Pahang.

Pada ketika inilah Tchoutang membantu Pahang muncul Naib Juara Liga Super 2005 di belakang Perlis.

2. Anthony Milicic (Australia)

Bekas penjaring gol terbanyak liga tertinggi Australia, National Soccer League (kini bertukar format menjadi A-League) menyertai Pahang pada 2004 daripada Paramatta Powers.

Penyerang klasik ‘No.9’ ini turut pernah beraksi beraksi dalam 2 liga utama eropah, di Eridivise (Belanda) bersama NAC Breda, dan HNL (Croatia) bersama HK Rijeka.

Sewaktu melatih Sydney Wanderers sebagai pembantu jurulatih

Milicic membantu skuad Socceroos muncul Juara OFC Nations Cup 2004 (ketika masih bersama Pahang) dan menjaringkan 1 gol dalam kedua-dua aksi timbal balik final bertemu Solomon Island dengan Australia ketika itu juga dibarisi pemain terkenal lain seperti Tim Cahill dan John Aloisi.

Milicic membantu Pahang muncul juara sulung Liga Super dan layak ke separuh akhir Piala Malaysia dan Piala FA selain menjaringkan 9 gol dalam aksi liga.

Kini beliau menjawat jawatan sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan Australia.

3. Simon Colosimo (Australia)

Simon masih bermain hingga hari ini untuk kelab Dandenong Thunder di Australia

Menyertai Pahang di penghujung aksi Liga Super menggantikan rakan senegara, Matthew Bingsley, Colosimo tidak asing lagi dalam skuad Australia.

Beliau menyertai skuad Socceroos di Sukan Olimpik 2000 dan muncul dalam kesebelasan utama dalam setiap perlawanan, namun terkandas di peringkat kumpulan.

Colosimo turut membarisi skuad Australia dalam Piala Konfederasi FIFA 2005 di Jerman dan muncul dalam kesebelasan utama dalam perlawanan pelengkap kumpulan menentang Tunisia.

Turut berada dalam skuad ketika itu, bekas pemain import Kelantan, Johnathan McKain.

Colosimo membantu Pahang muncul juara sulung Liga Super dan layak ke separuh akhir Piala Malaysia dan Piala FA.

Mungkin ramai masih ingat, gol voli cantik beliau ketika bertemu Sabah dalam perlawanan terakhir liga musim 2004.

4. Damion Stewart (Jamaica)

Stewart meraikan jaringan bersama Hafiz Kamal pada tahun 2015

Pertahanan kebal dan juga pemain kebangsaan Jamaica ini menyertai Pahang dengan reputasi sangat besar iaitu sebagai bekas pemain Queens Park Rangers (2006-2010) dan beberapa lagi kelab di England.

Tampil bersama skuad kebangsaan Jamaica sebanyak 57 caps, Stewart pernah beraksil dalam 3 edisi Concacaf Gold Cup (2003,2005,2009) iaitu pertandingan antara benua bagi zon CONCACAF.

Selain itu, beliau juga pernah muncul juara Liga Juara-Juara Amerika Tengah bersama kelab Jamaica, Harbour View FC pada tahun 2004.

Masuk menyertai Pahang bersama Matias Conti di pertengahan musim 2013 bagi menggantikan Mohamed Borji dan Nikolce Klečkarovski dan beliau kekal bermain bersama skuad Tokgajah selama 3 musim.

Beliau membantu Tok Gajah mengakhiri kemarau 21 tahun Piala Malaysia pada 2013 serta memenangi 3 piala pada 2014 (Piala FA, Sumbangsih, Malaysia).

Stewart turut berjaya menjaringkan beberapa gol bersama Pahang hasil taktikal ‘set-piece’ dan banyak membimbing pemain pertahanan Pahang sehingga berjaya mengurangkan jumlah bolos pada 2014.

Terkenal mengamalkan permainan yang keras tetapi bersih sehinggakan terjahan tinggi kaki beliau pernah menjadi igauan ngeri penyerang di Liga Malaysia.

Kini beliau bersama pasukan Singa Utara, Perlis sejak musim 2016.

5. Zeshan Rehman (Pakistan)

Lahir di Birmingham, England, bekas kapten Pakistan ini pernah bergandingan bersama Damion Stewart di Queens Park Rangers selama 3 tahun.

Bakat beliau diasah dari akademi Fulham, dan pernah berkelana ke beberapa kelab England seperti Norwich City, Blackpool dan Bradford City.

Selepas Eropah, Zesh menukar arah dan kemudiannya berkelana ke beberapa kelab besar Asia iaitu Muangthong United (Thailand) dan Kitchee FC(Hong Kong).

Zesh Rehman semasa bersama Pahang pada 2015

Status sebagai produk akademi Liga England bagaimanapun gagal untuk Zesh membantu pasukan kebangsaan Pakistan memandangkan negara tersebut ‘kerdil’ dalam sukan bola sepak.

Zesh hanya tampil dalam beberapa edisi Piala Asia Selatan SAFF (setaraf AFF di Asia Tenggara) namun gagal membantu Pakistan untuk masuk ke Final.

Menyertai Pahang pada 2014, Zesh membantu Tok Gajah memenangi 3 trofi pada tahun 2014 dan kekal bermain sehingga 3 musim sehinggakan dilantik sebagai Ketua Pasukan pada musim 2016.

Assist penting beliau di penghujung permainan semasa Final Piala FA yang membolehkan Dickson Nwaekame menjaringkan gol kemenangan ke atas Felda United pasti terpahat dalam ingatan peminat Pahang.

Pertengahan musim lalu, beliau meninggalkan Darulmakmur dan memilih untuk menumpukan perhatian dalam bidang kejurulatihan.

Beliau juga pernah menjadi Duta anti-Racist ‘Kick It Out’ dan juga menjadi Ahli Jawatankuasa Persatuan Pemain Profesional England (PFA) dalam membantu menaikkan pemain berketurunan Asia di England.

Kesimpulan

Status reputasi pemain import boleh membantu menarik minat penyokong hadir memberi sokongan kepada pasukan kesayangan, namun kadang-kala status ini juga boleh menjadi liabiliti kembali kepada pemain tersebut.

Ini kerana pada zaman serba moden, maklumat tentang pemain boleh dicari dihujung jari dan penyokong selalunya mempunyai tanggapan dan harapan yang sangat tinggi pemain tersebut boleh memberi kejayaan kepada pasukan.

Kesudahannya, sesetengah pemain import ‘bintang’ tersebut hanyalah menjadi umpan agen untuk mengaut keuntungan dari kantung kewangan pasukan dan prestasi mereka sekadar digunakan separuh musim atau pun hanya ‘Indah Khabar Dari Rupa’.

Semoga Pahang musim 2017 dapat menemui pemain import yang berkualiti dan membantu Tok Gajah meraih kejayaan !

muhsin
"Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah" @syedahmadmuhsin

Leave a Reply

Top