Anda di sini
Laman Utama > Artikel > Dollah Salleh – Sentuhan Magis dan Legasi

Dollah Salleh – Sentuhan Magis dan Legasi

Dilahirkan di Melaka, namun banyak berjasa di bumi Tok Gajah dalam arena bola sepak, Dollah Salleh bekas penyerang prolifik negara dan juga salah seorang jurulatih yang banyak mencipta kejayaan.

SElain sebagai pemain di padang, mungkin ramai yang tidak tahu yang Dollah Salleh juga pernah beraksi bersama skuad futsal negara sewaktu Piala Dunia Futsal 1996 di Sepanyol.

Karier Sebagai Pemain

Memulakan karier bersama pasukan Johor sekitar tahun 1980-an, Dollah Salleh berjaya membantu Johor memenangi trofi pertama bola sepak tanah air menerusi kejuaraan Piala Malaysia 1985 apabila menewaskan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Merdeka. Dollah Salleh turut memenangi Piala Sumbangsih setahun selepas itu menewaskan Singapura 6-5 melalui sepakan penalti selepas terikat 1-1.

Karier Dollah Salleh menuju kemuncak apabila berpindah ke Selangor dan bergandingan dengan seorang lagi penyerang prolifik ketika itu, Zainal Abidin Hassan. Gandingan mereka begitu mantap dengan membantu Selangor memenangi beberapa trofi antaranya Juara Liga 1989 dan 1990 serta Piala Sumbangsih.

Gandingan Dollah-Zainal berpanjangan apabila kedua-duanya dilamar Pahang. Mereka membantu Pahang muncul naib juara Liga 1991 sebelum cemerlang menyapu semua trofi pada 1992 kecuali Piala FA. Gandingan mereka bertahan selama 5 musim di bumi Tok Gajah.

Di peringkat kebangsaan, Dollah mencipta hampir 100 caps dan memenangi beberapa gelaran. Gandingan Dollah-Zainal turut digeruni di peringkat antarabangsa apabila merangkul pingat Emas Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur dan Dollah turut menjaringkan 1 gol di Final menumbangkan Singapura 3-1. Mereka turut membantu skuad negara merangkul kejuaraan Pesta Bola Merdeka 1993 menewaskan Korea Selatan U23 di perlawanan akhir. Dollah turut membantu pasukan kebangsaan mara ke Final Piala Tiger (kini Piala AFF) 1996 sebelum tumbang kepada musuh tradisi Thailand 0-1.

Skuad Harimau 1986

Dollah mengakhiri karier sebagai pemain di negeri kelahiran, Melaka sebelum bermain di Negeri Sembilan dan kemudiannya mengambil keputusan menggantung kasut but berakhir musim 1998.

Karier Sebagai Jurulatih

Mula menempa nama dalam bidang kejurulatihan apabila membantu Selangor MPPJ muncul kelab pertama menjulang trofi Piala Malaysia 2003 dengan dibarisi pemain kurang ternama seperti Yuzaiman Zahari dan Jamsari Saibian. Namun gandingan mantap pemain import Argentina Arostegui-Martelotto ternyata kunci kejayaan Dollah Salleh bersama The Black Widow.

Selangor kemudiannya berjaya memancing Dollah Salleh sebagai jurulatih menghadapi musim 2005, di mana beliau berjaya menaikkan kembali Selangor ke Liga Super dengan merangkul kejuaraan Liga Premier 2005. Dollah turut membantu Selangor merangkul Piala FA dan Piala Malaysia pada musim yang sama. Dollah turut berjaya membantu Selangor layak ke Final Piala FA dan Piala Malaysia 2007/08 namun kedua-duanya tewas kepada Kedah.

Karier kejurulatihan beliau di bumi Pahang bermula apabila dilantik menjadi jurulatih Shahzan Muda bergandingan bersama sahabat lama, Zainal Abidin Hassan sebagai pengurus ketika itu. Selepas setahun, Dollah mula mengisi kerusi panas sebagai jurulatih Pahang.

Awal karier bersama Pahang, Dollah tampak sukar menyelesaikan keserasian antara pemain sehingga terjerumus ke dasar liga dan kemuncaknya turun ke Liga Perdana pada 2011. Namun, jodoh gandingan Zainal-Dollah ternyata bukan sahaja menjadi ketika era sebagai pemain, namun turut membantu menaikkan kembali kegemilangan pasukan Pahang.

Dalam kancah Liga Perdana 2012, gandingan mereka berjaya membantu Pahang muncul naib juara di belakang ATM dan kemudiannya naik ke Liga Super apabila membenam Kedah dalam Final Play-Off Liga Super menerusi sepakan penalti di Stadium Hang Jebat.

Ternyata itu sebagai permulaan gandingan cemerlang Dollah-Zainal di melatih Pahang. Musim berikutnya, mereka berjaya mengakhiri kemarau 21 tahun kejuaraan Piala Malaysia menewaskan Kelantan di pentas final walaupun baru musim pertama di Liga Super.

Dollah kemudiannya meninggalkan legasi barisan pemain terbaik Pahang ketika itu dan menyertai PDRM pada 2014.

Beliau kemudiannya menjadi jurulatih kebangsaan dengan membawa skuad negara muncul naib juara Piala AFF sebelum mengakhiri karier kebangsaan dengan episod hitam dibaham UAE 10-0.

Legasi Dollah

Beberapa pemain berbakat Pahang berjaya diketengahkan oleh beliau sehingga berjaya membentuk skuad yang mantap bermula dari Liga Perdana sehingga muncul kuasa besar bola sepak negara, antaranya Azammuddin Md Akil, Hafiz Kamal, Hazuan Daud, R Gopinathan, R Surendran, Fauzi Roslan, Malek Md Arif, Khairul Azhan, Syawal Norsyam, Hazri Rozali, dan beberapa orang lagi.

Beliau turut menaikkan nama pemain kurang ternama seperti Faizol Hussein dan Saifulnizam Miswan. Kini beberapa nama tersebut telah mencipta nama dan kejayaan di pasukan besar seperti JDT, Selangor dan Melaka United.

Selepas 3 tahun meninggalkan bumi Pahang, kini Dollah kembali memanaskan kerusi ketua jurulatih skuad Tok Gajah. Beliau memancing beberapa nama besar yang kebanyakannya daripada skuad Terengganu bagi menguatkan pasukan Pahang musim 2017. Diharap sentuhan magis Dollah Salleh muncul kembali musim ini. Semoga berjaya ‘King Pablo’ !

muhsin
"Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah" @syedahmadmuhsin

Leave a Reply

Top