Anda di sini
Laman Utama > Berita > Matthew masih taruhan Ong Kim Swee

Matthew masih taruhan Ong Kim Swee

19 PFCvsATM

Ketua pasukan Pahang FC, Matthew Davies merupakan satu-satunya pemain yang menjadi pilihan Dato’ Ong Kim Swee dari pasukan Pahang FC bagi menhadapi dua perlawanan persahabatan menentang Singapura dan Afghanistan yang dijadual pada Oktober ini demikian diumumkan dalam sidang akhbar sebebtar tadi.

Pemain pertahanan kelahiran Australia itu antara pemain yang dikekalkan selepas perlawanan persahabatan menentang Indonesia pada 6 September yang lalu selain 20 pemain lain dengan 5 lagi muka baru dipanggil untuk menggantikan pemain yang cedera dan juga melihat kepada pilihan lain.

“Saya menyenaraikan 25 pemain kali ini kerana kita bakal menghadapi dua perlawanan iaitu bertemu Singapura dan Afghanistan.

Pemain-pemain baharu seperti Fazrul Hazli, Hadin, Khuzaimi, Rizal dan Syazwan mempunyai peluang membuktikan kemampuan mereka dalam dua perlawanan ini untuk tersenarai ke Piala Suzuki AFF 2016.

Selain Brendan Gan yang digugurkan kerana kecederaan, tiga pemain yang digugurkan iaitu Wan Zack, Amer dan Khair, bukan bermakna mereka terkeluar terus tetapi saya ingin melihat pemain-pemain lain supaya kesemua mereka ini diberi peluang yang sama.

Saya tak boleh nak senaraikan semua 28 pemain kali ini. Lagipun saya sudah mengetahui kemampuan Wan Zack, Amer dan Khair, jadi yang penting saya harus memberi peluang kepada pemain lain juga untuk membuktikan kemampuan mereka.”

12 pemain yang disenaraikan kali ini perlu melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa ini, 27 September kerana tidak terlibat dalam saingan Piala Malaysia dan Piala AFC manakala baki 13 pemain yang terlibat diminta untuk melapor diri pada 2 Oktober ini.

“Saya memilih untuk memulakan kem latihan pusat lebih awal iaitu pada 27 September ini kerana 12 pemain yang tidak terbabit dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia dan Piala AFC kebanyakannya adalah di posisi pertahanan.

Shahrul, Ronny, Matthew, Nazirul Naim, Khuzaimi dan Rizal adalah pemain pertahanan, jadi ini memberi peluang untuk saya bekerja lebih dan fokus kepada bahagian ini di mana saya boleh melakukan lebih banyak latihan-latihan berkumpulan terutama di bahagian pertahanan.

Jadi apabila baki 13 pemain lain melapor diri pada 2 Oktober, saya boleh terus mempraktikkan keseluruhan taktikal.

Sasaran kita untuk dua perlawanan ini ialah pertama untuk saya menilai pemain-pemain kerana ini kem latihan pusat terakhir sebelum saya menamakan pemain bagi fasa latihan terakhir menjelang Piala Suzuki AFF 2016 pada November ini.

Keduanya, pada masa yang sama kita juga perlu mendapatkan keputusan yang positif di mana ia memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan ranking kita pada kemas kini seterusnya pada 20 Oktober.”

Skuad Harimau Malaysia bakal menentang Singapura di Stadium Nasional pada  7 Oktober dan Afghanistan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober 2016 dalam perlawanan persahabatan kelas ‘A’ sebelum menghadapi Piala AFF pada November yang bakal berlangsung di Vietnam dan Filipina.

mrcipizs
MyPassion with MyStyle..

Leave a Reply

Top