Anda di sini
Laman Utama > Artikel > [Analisis] Atasi 4 perkara untuk kekal di Liga Super

[Analisis] Atasi 4 perkara untuk kekal di Liga Super

PFC Title-01

Oleh: Oesandro

Grafik: Mrcipisz

Skrip musim 2011 semakin hampir diulangi di mana skuad Tok Gajah dilihat semakin sukar menempatkan pasukan dalam kelompok 10 pasukan teratas Liga Super musim 2016. Penulis pernah menganalisa peluang Pahang untuk menjuarai Liga Super edisi 2015 pada bulan Ogos 2015 yang lalu dan tidak menjangka sama sekali akan menghasilkan analisa yang sama tetapi berlainan misi kali ini mengenai peluang Pahang untuk kekal dalam saingan Liga bagi tahun ini.

“Battle of relegation” kini terarah kepada 5 pasukan yang dilihat sedang bergelut dalam mencari kedudukan selamat dari tersingkir ke Liga Premier musim hadapan. Jumlah perbezaan mata di antara 5 pasukan ini adalah 5 mata dan dilihat peluang untuk kekal masih signifikan dalam kalangan 5 pasukan ini.

(1) Baki 4 perlawanan:

4 Final game-01

Pahang: Skuad Tok Gajah dilihat berhadapan laluan getir tatkala bakal berdepan dengan 3 pasukan di tempat lawan dan hanya sekali bermain di tempat sendiri. Tambahan lagi, aksi di tempat lawan menemukan Pahang dengan pasukan Gergasi Merah di mana Pahang pernah tewas di Shah Alam pada saingan kumpulan Piala Malaysia 9 Ogos lalu. Namun begitu, 2 lagi aksi di arena lawan bakal menemukan 2 pasukan “adik dan abang” dan Pahang dilihat menempah jalan selamat sekiranya dapat mengutip 6 mata maksima di Kuala Terengganu pada 2 perlawanan ini nanti dan perlu memanfaatkan aksi di tempat sendiri bertemu Pulau Pinang.

Terengganu: Skuad ini pula mempunyai peluang yang seimbang di mana mereka mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri sebanyak 2 kali dan salah satunya adalah bertemu Pahang. Sementara itu, Terengganu bakal menemui cabaran hebat apabila berkunjung ke Larkin untuk bertemu JDT yang kini sedang mengintai kejuaraan 3 kali berturut-turut.

Sarawak: Skuad Bujang Senang ini dilihat mempunyai sedikit kelebihan apabila masih mempunyai 3 perlawanan di tempat sendiri. Namun begitu, mereka turut berhadapan cabaran sukar untuk mengutip mata apabila bakal turun membuat perhitungan dengan Felda United di Jengka.

Pulau Pinang: Nasib skuad dari Pulau Mutiara ini seakan sama dengan Terengganu di mana memiliki 2 perlawanan di gelanggang sendiri. Tambahan lagi, perkara yang membezakan pasukan ini dengan Terengganu ialah, mereka hanya berdepan dengan pasukan dalam kelompok pertengahan dan bawahan liga dan dilihat sedikit mudah untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata.

T Team: Mempunyai 2 perlawanan di tempat sendiri dan lawan, skuad ini dijangka berhadapan laluan sukar apabila bakal bertemu dengan 2 pasukan teratas liga ketika ini iaitu JDT dan Felda United. 2 perlawanan di tempat lawan pula perlu sekurang-kurangnya mengutip satu mata terutamanya ketika perlawanan menentang PDRM untuk mencerahkan laluan kekal dalam saingan Liga Super.

(2) Prestasi semasa 4 pasukan: Prestasi 5 perlawanan terakhir liga bagi 5 pasukan ini meletakkan skuad Tok Gajah antara yang paling rendah prestasinya apabila hanya berjaya mengutip satu mata dalam 5 penampilan terakhir liga berbanding Terengganu (2 mata), T Team (4 mata), Sarawak (6 mata) dan Pulau Pinang (8 mata). Berdasarkan prestasi semasa dalam saingan liga, ia sedikit memberi petunjuk akan prestasi yang ditampilkan buat kelima-lima pasukan ini dan Pulau Pinang dilihat agak kehadapan dan mempunyai laluan cerah sekiranya pencapaian ini dikekalkan.

Sekiranya berpandukan indikator bermain di tempat lawan, Pahang dan Terengganu dilihat mempunyai sedikit masalah apabila hanya menang sekali dalam aksi liga di arena lawan. Sarawak dilihat mempunyai rekod agak baik di tempat lawan apabila mencatakan 3 kemenangan dari 10 perlawanan di gelanggang lawan berbanding 2 kemenangan masing-masing dilakar oleh Pulau Pinang dan T Team.

(3) Kedudukan terakhir (selepas 22 perlawanan) 3 musim terdahulu:

Final Table-01

Kedudukan terakhir Liga Super pada 3 tahun kebelakangan ini menunjukkan purata mata yang dikutip oleh pasukan yang berada pada tenpat ke-10 (zon selamat) adalah sebanyak 20.67 (21 mata). Berdasarkan statistik purata 3 musim terdahulu, Pahang perlu mencari sekurang-kurangnya 8 mata lagi bagi menyamai rekod purata ini sekiranya ingin berada pada zon selamat. Jadi persoalannya, mampukah skuad Tok Gajah mencari purata 2 mata berbaki 4 perlawanan ini?

(4) Jumlah perbezaan gol 4 pasukan (GD): Margin jaringan bagi kelima-lima pasukan ini memberi advantage kepada pasukan Pulau Pinang dan T Team apabila hanya merekodkan (-2) perbezaan gol. Pahang jelas dalam keadaan bahaya apabila mencatatkan perbezaan jaringan yang paling rendah dengan (-21) berbanding Terengganu (-16) dan Sarawak (-9). Indikator ini turut penting dan memberi impak sekiranya kedudukan mata terikat selepas 22 perlawanan liga nanti. Sebagai contoh pada edisi 2013 menyaksikan T Team terselamat dari penyingkiran meskipun terikat mata dengan pasukan Felda United (19 mata), namun dibezakan dengan jumlah perbezaan gol. Begitu juga yang terjadi pada edisi 2014 apabila persaingan di antara ATM dan T Team menyaksikan mereka terikat kepada 24 mata, namun kali ini T Team tidak lagi terselamat apabila merekodkan jumlah perbezaan gol yang rendah berbanding ATM.

Kesimpulan: Memang tidak dinafikan peluang Pahang dilihat agak sukar untuk kekal, namun statistik dan analisa ini mampu diterbalikkan sekiranya mereka mempamerkan persembahan yang betul-betul berlainan seterusnya melakar kejutan terutamanya pada 3 aksi di tempat lawan nanti. Segalanya mungkin terjadi dan Pahang dilihat masih mampu kekal dalam liga kerana 3 dari 4 perlawanan nanti menemukan dengan 3 pasukan yang berada dalam zon bahaya. Kemenangan ke atas 3 pasukan ini bukan sahaja memberi mata buat Pahang, tetapi turut menolak 3 pencabar ini ke kedudukan bahaya. 4 perkara yang dibincangkan seperti di atas perlu dijadikan agenda penting dan perlu di atasi dengan menghadirkan keputusan yang positif dalam 4 perlawaanan terakhir agar episod 2011 tidak akan berulang lagi.

Segalanya mungkin!

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

One thought on “[Analisis] Atasi 4 perkara untuk kekal di Liga Super

Leave a Reply

Top