Anda di sini
Laman Utama > Artikel > [Analisis] Butang Panik perlu ditekan!

[Analisis] Butang Panik perlu ditekan!

Berada pada kedudukan terakhir untuk kedua-dua kejuaraan yang berlangsung ketika ini mengambarkan keadaan yang ternyata pincang buat sebuah pasukan yang pernah bergelar ‘Gergasi Pantai Timur’ sebelum ini. Sedar tidak sedar, sudah 23 perlawanan  sudah ditempuhi dan medan kebangkitan yang diharapkan sebelum ini kian pudar.

Adakah butang panik perlu ditekan? Adakah pertukaran pemain pada jendela perpindahan pemain sebelum ini benar-benar membawa kepada perubahan? Adakah hanya mengambil kira faktor kemenangan, kekalahan,jaringan dan bolos sudah mencukupi dalam membuat sebarang penilaian terhadap keseluruhan prestasi sesebuah pasukan?

Artikel ini mengulas mengenai prestasi skuad Tok Gajah berdasarkan 10 kriteria/indikator sebelum dan selepas jendela perpindahan pemain  di bawah kendalian ketua jurulatih, Razip Ismail. Perbandingan dilakukan berpandukan 2 fasa perlawanan iaitu merangkumi 7 perlawanan sebelum jendela perpindahan (fasa 1 dari 5 April-21 Mei) dan selepas jendela perpindahan (fasa 2 dari 12 Julai-3 Ogos). 2 lagi perlawanan baru-baru ini tidak dijadikan ukuran atas faktor untuk menjadikan perbandingan ini seimbang.

pfc-performance-01.jpg.jpg

Kekalahan: Jumlah kekalahan adalah lebih tinggi berbanding fasa 1 dan ini menunjukkan prestasi skuad tidak mengalami peningkatan.

Kemenangan: Jumlah kemenangan untuk kedua-dua fasa adalah sama dan tidak menunjukkan sebarang perubahan. 4 kemenangan yang dicapai adalah ke atas 4 pasukan yang berbeza (Perak, Kelantan, Sarawak dan Selangor).

Gol oleh pemain Import: Prestasi fasa 1 dan fasa 2 menunjukkan perbandingan yang ketara di mana gandingan 4 pemain import pada fasa 1 jelas mempamerkan prestasi yang baik berbanding pemain-pemain di fasa 2.

Gol oleh pemain tempatan: Tidak menunjukkan perubahan di mana Faisal Rosli dan Matthew Davies berjaya meledak hanya satu gol untuk kedua-dua fasa. Kedua-dua gol itu adalah melalui tandukan.

Jumlah jaringan: 10 jaringan berjaya diledak pada fasa 1 dan menunjukkan penurunan yang ketara apabila fasa 2 hanya merekodkan 4 gol sahaja seterusnya menggambarkan jentera serangan ketika ini semakin tumpul.

Jumlah bolos: Indikator ini menunjukkan perubahan yang positif apabila fasa 2 mencatatkan penurunan dari 19 gol kepada 6 bolos sahaja. Namun, jumlah bolos yang sedikit tidak menjamin kepada kemenangan sekiranya jumlah jaringan menunjukkan penurunan yang ketara.

Seri: Pahang hanya berpeluang berkongsi mata apabila mencatatkan keputusan seri ketika bertemu Kelantan pada saingan Liga Super (fasa 2).

Gagal hasilkan gol: Berpandukan kepada 14 perlawanan (7 di fasa 1 dan 7 di fasa 2), Pahang gagal menjaringkan sebarang gol sebanyak 7 kali dalam satu perlawanan. Peningkatan yang ditunjukkan di fasa 2 seolah-olah menambah kepada episod suram Tok Gajah.

Clean sheet: Satu-satunya indikator yang mencatatkan perubahan yang baik di mana kemasukkan beberapa pemain di fasa 2 berjaya merekodkan 3 kali tanpa sebarang bolos dalam 7 perlawanan.

Menang di tempat lawan: 7 perlawanan di fasa 2 membuktikan Pahang gagal melakar kejutan di gelanggang lawan apabila gagal melakar sebarang kemenangan di luar Stadium Darul Makmur. Nasib yang sama terjadi kepada pasukan Terengganu dan Kedah yang gagal menang di tempat sendiri selepas Liga Super bersambung. Namun, di fasa 1, Pahang berjaya mengejutkan Perak di Ipoh pada saingan Liga Super berbanding Kedah yang masih gagal menang di tempat lawan selepas 17 perlawanan Liga Super.

Prestasi 5 perlawanan terakhir Liga Super: Pahang berjaya menang satu perlawanan liga (ke atas Sarawak) berbanding Terengganu yang masih gagal mencatatkan sebarang kemenangan selepas 5 perlawanan. Namun, kemenangan ini masih tidak cukup untuk mengeluarkan pasukan dari zon relegasi.

Kesimpulan:

Berbekalkan 10 indikator seperti yang dinyatakan seperti di atas, fasa 2 hanya menunjukkan 2 peningkatan berbanding 8 indikator yang lain. Tidak hairanlah mengapa skuad Tok Gajah berada dalam satu situasi yang amat tertekan ketika ini.

Berbaki 7 lagi (5 perlawanan liga dan 2 perlawanan PialaMalaysia) perlawanan sepanjang musim sebelum kalendar Liga Malaysia berakhir, terlalu besar harapan buat jutaan warga Pahang yang masih sayangkan bola sepak Pahang untuk melihat Tok Gajah kekal di liga utama di Malaysia, agar agenda sustainability dapat diterjemahkan nanti.

Sekiranya perjalanan Piala Malaysia berakhir setakat saingan kumpulan B, maka kita perlu akur yang musim ini kita hanya didedahkan dengan 30 perlawanan kompetitif sahaja berbanding 39, 40 dan 46 perlawanan 3 musim terdahulu. Perlawanan kompetitif yang tinggi menjanjikan game played in minutes yang panjang dan mampu mematangkan barisan pemain-pemain muda yang terlalu dahagakan pendedahan kompetitif untuk betul-betul sedia bersaing dalam kejuaraan utama nanti. Maka kekal di Liga Super adalah pentasnya!

 

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top