Anda di sini
Laman Utama > Berita > Pahang B21 benam cabaran Melaka B21 di Stadium Hang Tuah

Pahang B21 benam cabaran Melaka B21 di Stadium Hang Tuah

(Oleh: Oesandro)

Pahang mencerahkan laluan ke saingan suku akhir Piala Presiden apabila mengutip 3 mata berharga dengan melakar kemenangan 2-5 ke atas pasukan tuan rumah di Stadium Hang Tuah sebentar tadi.

Pasukan Melaka terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Mohd Najmudin Samat yang mudah melepasi kawalan pertahanan Pahang dan merembat kencang di dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol, Muhammad Nur Kamarullah.

Pahang bangkit menerusi serangan bertali arus selepas dibolosi seawal minit ke 3 tadi dan hasilnya pada minit ke 18, penyerang Pahang, Sharmin Izwan tenang menyempurnakan hantaran silang dari sebelah kanan pintu gol lawan untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Dua minit berselang, Pahang berada dihadapan melalui pemain sayap,  Muhammad Shahrul Nizam yang bijak mencari ruang kosong di dalam kotak penalti dan mudah menolak masuk untuk menjadikan kedudukan 1-2.

Pahang seterusnya menjarakkan kedudukan apabila Mohd Zul Hafiz dan Mohd Ikmal meletakkan Pahang selesa mendahului 4-1 sebelum tamat separuh masa pertama permainan.

Babak kedua bersambung dan memperlihatkan pasukan tuan rumah bangkit dengan melancarkan serangan demi serangan ke atas kubu Pahang. Hasilnya, Najmudin sekali lagi menambah gol buat Melaka apabila mudah menyempurnakan sepakan penalti selepas penjaga gol Pahang menjatuhkan penyerang tuan rumah di dalam kotak penalti.

Melaka hampir memperoleh gol ketiga, namun percubaan ketua pasukan Melaka, Amirul terkena tiang gol Pahang. Pasukan pelawat dilihat tertekan sepanjang 30 minit separuh masa kedua permainan akibat ditekan oleh jentera serangan tuan rumah. Namun begitu, pemain gantian, Muhammad Suqry membenam kebangkitan tuan rumah apabila meledak gol kelima Pahang di penghujung separuh masa kedua seterusnya memastikan skuad Pahang membawa pulang 3 mata di Stadium Hang Tuah.

Di samping itu, penolong ketua jurulatih, Shahrul Nizam Sahat yang ditemui sejurus selepas perlawanan tadi nyata lega dengan keputusan ini, namun masih terkilan dengan barisan pemain terutamanya pada awal separuh kedua permainan.

10 minit pertama separuh masa kedua, barisan pertahanan saya agak leka dan mungkin mereka terlalu yakin selepas selesa mendahului lawan pada separuh masa pertama. Saya akan melihat semula keadaan ini (barisan pertahanan) dan akan cuba memperbaiki situasi ini bagi menghadapi perlawanan akan datang.

Walaubagaimanapun, saya amat berpuas hati dengan jentera tengah pasukan terutamanya pemain sayap, Shahrul Nizam dan Muhammad Zuhair Aizat yang bermain cemerlang tadi.

Dengan kemenangan ini, laluan Pahang dilihat semakin cerah untuk layak ke saingan suku akhir. Ini berikutan Pahang masih mempunyai baki satu perlawanan  berbanding pasukan lain dan perlu dimanfaatkan dengan kemenangan apabila dijadualkan bertemu T-Team pada Khamis ini.

Saya melihat peluang Pahang untuk berada sekurang-kurangnya pada kedudukan kedua Kumpulan B masih cerah. Kita perlu mengekalkan momentum kemenangan ini apabila berjumpa T-Team terlebih dahulu sebelum membuat perhitungan dengan Selangor dan pendahulu liga, Perak pada perlawanan terakhir nanti.

Selepas perlawanan sebentar tadi, Pahang mengutip 26 mata dengan berada pada kedudukan ketiga Kumpulan B, dipisahkan 5 mata dengan pasukan kedua Kumpulan B iaitu T-Team. Manakala Perak mengesahkan tempat ke saingan suku akhir dengan melakar kemenagan 3-1 ke atas pasukan T-Team. Meskipun tewas, T-Team terlebih dahulu mengesahkan laluan ke Suku Akhir selepas menang pada perlawanan ke-15 Khamis lalu.

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top