Anda di sini
Laman Utama > 100plus Liga Premier > Kuantan FA terkilan dengan keputusan FAM

Kuantan FA terkilan dengan keputusan FAM

KFA Banner-01

Pengurus pasukan Kuantan FA, Datuk Wan Solihi Wan Hassan terkilan dengan keputusan Jawatankuasa Tatatertib dan Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengekalkan hukuman penggantungan Ketua Jurulatihnya, Zulhamizan Zakariah seperti yang diputuskan semalam.

story liga kuantanDalam kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook rasmi Kuantan FA beliau mengganggap FAM menganiaya dan membunuh pasukan kerdil seperti Kuantan FA dan keputusan ini nyata tidak membantu dalam merancakkan saingan liga yang sedang berjalan sekarang.

Beliau juga tidak berpuas hati dan mempertikaikan kaedah penghakiman yang telah dilakukan oleh Jawatankuasa itu setelah orang yang dituduh tidak diberi peluang untuk membela diri sebaliknya mereka terus menjatuhkan hukuman kepada jurulatih itu.

“Kita memang terkilan dengan tindakan badan induk ini yang langsung tidak memberikan pembelaan sewajarnya kepada Zulhamizan.

Apa jenis undang-undang dan peraturan yang digunakan oleh FAM sehingga menggantung beliau selama tujuh bulan kerana ini bermakna beliau tidak mendapat menjalankan tugas hingga akhir musim ini dan semestinya telah membunuh kariernya (Zulhamizan).

Kita memang tidak berpuas hati dengan tindakan jawatankuasa terbabit yang langsung tidak memanggil Zulhamizan untuk memberikan keterangan dan hanya mendapat tahu keputusan itu diumumkan begitu saja pada Mac lalu.

Jangan bunuh masa depan kelab ini yang juga turut membantu merancakkan saingan liga dan kita bukan kelab besar yang memiliki sumber kewangan yang kukuh sebaliknya minat mendalam membuatkan Kuantan FA turut sama beraksi seperti pasukan-pasukan lain.”

Datuk Wan Solihi juga mempersoalkan apakah kandungan artikel yang menyatakan jawatankuasa itu bertindak mengikut prinsip yang ditetapkan dan hak sesuatu rayuan itu di bawah ke Mahkamah Timbang Tara seperti yang dinyatakan dalam Artikel 77.

Beliau juga kecewa apabila sebagai seorang jurulatih, Zulhamizan juga tidak mendapat pembelaan dari Persatuan Jurulatih-Jurulatih Malaysia yang sepatutnya membela ahlinya apabila berlaku dalam hal seperti ini.

“Mana timbang tara yang diguna pakai dalam kes ini, sebaliknya tiada budi bicara yang diberikan dalam kes ini dan mengapa Zulhamizan yang juga bekas pemain kebangsaan dilayan sebegini rupa.

Dan mana Persatuan Jurulatih-Jurulatih Malaysia dan apa fungsi mereka sehingga tidak membela nasib ahli yang dalam situasi teraniaya.

Jangan sampai perkara ini perlu dirujuk kepada Presiden (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah)”.

Pada 30 Mac lalu, jurulatih yang berusia 47 tahun itu telah digantung selama 7 bulan dan didenda RM3,000 dari terlibat dalam sebarang perlawanan Liga Malaysia setelah didapati bersalah kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan kasar ketika aksi menentang UiTM FC pada 26 Februari di Stadium UiTM Shah Alam dan berdepan Perak di Stadium Perak, Ipoh pafa 5 Mac lalu.

Sepanjang tempoh penggantungannya beliau masih melatih pasukan semasa sesi latihan cuma tugas memberi arahan kepada pemain semasa perlawanan dipangku oleh pembantunya Syukri Ismail.

 

mrcipizs
MyPassion with MyStyle..

Leave a Reply

Top