Anda di sini
Laman Utama > 100plus Liga Premier > Jaringan minit akhir kecewakan The Seagull

Jaringan minit akhir kecewakan The Seagull

ezywatermark52.jpg

Sekali lagi jaringan minit akhir menjadi pemusnah impian Kuantan FA untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata setelah tewas kepada PKNS FC 2-3 dalam saingan 100plus Liga Premier di Stadium Darulmakmur, Kuantan malam tadi.

Formasi luar dari kebiasaan menjadi taruhan Zulhamizan Zakaria apabila menukar hampir suku pemain yang beraksi semasa tewas di tangan Melaka United tempoh hari dengan penjaga gol Khairul Nidzam, Isskandar Zulkarnaen, Shahrul Aizad dan Muhammad Rafizi dimasukkan sebagai kesebelasan utama berikutan kecederaan beberapa pemain utama manakala pertahanan import dari Serbia ditugaskan ke posisi baru iaitu sebagai penyerang dengan dibantu oleh ketua pasukan Malik Arif dan Aizad.

img-20160802-wa0035.jpg

Kedua-dua pasukan bermain berhati-hati dengan pasukan pelawat lebih banyak menyerang melalui dua penyerang importnya Gabril Guerra dan Matias Hadwa manakala Kuantan FA sekali sekala menyerang.

Usaha PKNS FC akhirnya berjaya apabila pemain import dari Argentina Juan Manuel Cobelli menjaringkan gol pertama pelawat setelah menghukum kesilapan pertahanan Kuantan FA yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya betul-betul sebelum tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Cobelli sekali lagi menjadi duri dalam daging Kuantan FA apabila menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini setelah menolak mudah hantaran dari rakan sepasukan menewaskan Khairu Nidzam.

Melihat kepada ketinggalan dengan dua gol, Kuantan FA berjaya bangkit dan menjaringkan dua gol dalam masa 5 minit dengan kedua-duanya dijaringkan melalui tandukan oleh ketua pasukan Abdul Malik Mat Arif pada minit ke 77 dan 82 masing-masing hasil hantaran lintang Ljubo Baranin dan Kamal Rodiajat.

Corbelli menjadi wira PKNS apabila melengkapkan hattriknya pada minit-minit akhir permainan setelah melakukan rembatan leret semasa keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol Kuantan FA.

Kuantan FA : Khairul Nidzam Mohd Noor (PG), Isskandar Zulkarnaen, Muhammad Ilham, Norfahmie Hadzrin, Mohd Kamal Rodiarjat, Srdjan Vidakovic, Shazalee Ramlee (Mohamad Shafiq), Muhammad Hafizi (Mohamad Badrul Hisham), Mohd Shahrul Aizad, Abdul Malik Mat Ariff (K) (Khairul Azman Awang Long), Ljubo Baranin.

PKNS FC: Mohd Norhaziq (PG), Mohd Farid Ramli, Shahurain Abu Samah (Farderin Kadir), Mohd Nazrin (Alif Haikal), Gonzalo Soto (K), Juan Corbelli, Mohd Azreen, M Sivakumar, Gabril Guerra, Mohd Nizam, Matias Hadwa (R Thivagar).

Pengadil : Ramli Mat Dahan

Keputusan lain :

ATM 3-3 Kuala Lumpur
UiTM FC 1-4 JDT II
DRB-Hicom FC 2-0 Sime Darby FC

Sabah 0-0 Negeri Sembilan
Melaka United 3-1 Perlis

 

mrcipizs
MyPassion with MyStyle..

Leave a Reply

Top