Anda di sini
Laman Utama > Berita > Liga Kuantan akan membuka tirainya Ahad ini

Liga Kuantan akan membuka tirainya Ahad ini

Liga Kuantan 16-01

Liga Kuantan 2016 yang dianjurkan Persatuan Bolasepak Kuantan bakal membuka tirainya Ahad ini dengan menyaksikan 48 buah pasukan bakal berentap sekaligus menjadi medan terbaik buat pemain-pemain di daerah ini menunjukkan bakat-bakat mereka untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Dianjurkan sejak 2006, kesemua pasukan dibahagikan kepada tiga divisyen satu peningkatan berbanding hanya dua divisyen pada tahun lalu dengan setiap divisyen akan mempertaruhkan piala untuk dijadikan rebutan.

Selain tiga piala tersebut iaitu Piala Datuk Seri Muhammad Safian Ismail (Divisyen Satu), Piala Presiden (Divisyen Dua) dan Piala Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) (Divisyen Tiga),  kejohanan ini juga mempertaruhkan Piala FA iaitu pertandingan berformatkan kalah mati untuk dimenangi.

story liga kuantanMenurut Timbalan Presiden Kuantan FA, Datuk Wan Solihi Wan Hassan (gambar) tahun ini menyaksikan usaha untuk memartabatkan saingan liga tersebut yang kini menuju ke tahap profesionalisme dengan memperketat dan memperkemaskan lagi penyertaan dan syarat-syarat pertandingan.

Menurutnya lagi, tahun ini saingan itu semakin prestij dengan penyertaan memberangsangkan pasukan yang ingin turut sama berentap dalam saingan liga itu dalam mencungkil lebih ramai bakat-bakat baru yang lebih berkualiti untuk negeri ini khususnya dan amnya bagi negara.

“Ini satu peluang buat pemain dari daerah ini untuk mencari dan mendapatkan peluang beraksi di tahap lebih tinggi kerana saingan liga ini juga menjadi medan buat kita untuk mencari barisan pemain untuk mewakili daerah dalam Liga Bola Sepak Rakyat dan pasukan Kuantan FA yang kini beraksi dalam saingan Liga Perdana.

“Tahun lalu saja kita telah berjaya mencari dan mendapat lapan pemain untuk mewakili Kuantan FA pada musim ini menerusi saingan liga ini”

Perlawanan pada hari Ahad ini dimulakan dengan Piala Sumbangsih menemukan Yayasan Pahang FC dan Youngstars FC bakal berlangsung di Padang MPK 1B, Kuantan dengan dirasmikan oleh Y Bhg Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Peminat bolasepak negeri Pahang atau Kuantan khasnya dijemput untuk menghadiri dan memeriahkan Liga Kuantan 2016 dengan menyokong pasukan pilihan masing-masing di venue-venue yang akan diumumkan nanti.

admin
"Football is a community based and play a role as a social glue,thus place some encouragement to us in contributing a clear storyline of Pahang's football".

Leave a Reply

Top