Anda di sini
Laman Utama > Berita > Pahang melangkah ke separuh akhir SUKMA 2016

Pahang melangkah ke separuh akhir SUKMA 2016

ezywatermark34.jpg

Pahang memastikan langkah memburu emas Sukan Malaysia 2016 (SUKMA) dalam sukan bola sepak tidak disekat oleh Selangor apabila membenam pasukan itu dengan jaringan 2-0 dalam perlawanan  suku akhir yang berlangsung di Stadium UNIMAS petang semalam.

Hujan renyai-renyai yang turun sepanjang perlawanan seolah-olah membawa rahmat kepada pahang dalam perlawanan tersebut apabila bermula baik di awal permainan dan berjaya menjaringkan gol seawal minit ke 4 perlawanan hasil jaringan Muhammad Sharul Nizam.

Cubaan terbaik Selangor ke kawasan Pahang hadir pada minit ke 27 apabila penyerang pasukan Selangor berjaya melakukan tandukan tepat ke arah gawang gol tetapi tindakan tangkas penjaga gol Pahang merebahkan badan berjaya menyelamatkan keadaan sebelum dikeluarkan oleh pertahanan yang melakukan clearance lemah seterusnya menyebabkan bola kembali jatuh di kaki pemain Selangor yang melakukan percubaan terus dari luar kotak penalti tetapi sekali lagi penjaga gol Pahang melakukan aksi menyelamat penting bagi memastikan Pahang terus mendahului pasukan lawan.

ezywatermark32.jpg

Penyerang Pahang, Mohd Zul Hafiz mendapat peluang untuk menambah gol buat Pahang pada minit ke 39 tetapi beliau yang tidak dikawal dalam kotak penalti  mensia-siakan hantaran lintang dari sayap kanan pahang, Muhammad Zuhair apabila sentuhan akhirnya hanya tersasar ke kiri gol Selangor.

Bermula separuh masa kedua, Selangor yang ingin memburu gol penyamaan terus mengasak kubu Pahang tetapi gagal menembusi gawang Pahang berikutan tiada penyudah berkesan.

Pahang yang sekali sekala melancarkan serangan ke kubu selangor melalui serangan balas hampir menambah jaringan ke dua pada minit ke 65 melalui pemain Muhammad Zuhair yang berjaya memperdaya 2 pemain pertahanan lawan hanya melakukan rembatan leret yang lemah mudah di tangkap oleh penjaga gol Selangor.

Pada minit ke 57, Shahrulnizam menukar taktikal apabila melakukan pertukaran pertama dengan membawa masuk pemain dari skuad Liga Super Pahang, Mohd Faisal Halim dengan mengeluarkan Muhammad Firdaus bagi memperkuatkan bahagian serangan dalam usaha mencari gol tambahan.

Hasilnya pemain itu membalas kepercayaan jurulatih apabila menjaringkan gol kedua Pahang bermula dari satu gerakan di tengah kanan padang oleh Muhammad Zuhair dan melakukkan hantaran kepada Mohd Zul Hafiz sebelum Faisal Halim bijak mencari peluang di dalam kotak penalti bagi menyudahkan hantaran cantik Mohd Zul Hafiz seterusnya mematikan sisa-sia perjuangan Selangor.

Pahang seharusnya berterima kasih kepada barisan pertahanan yang bijak mengawal kubu mereka disamping penjaga gol yang layak diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan hasil dari beberapa deretan peluang Selangor berjaya beliau nafikan.

Pada peringkat separuh akhir, Pahang akan bertemu Wilayah Persekutuan yang menewaskan Negeri Sembilan dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan yang telah berlanjutan ke masa tambahan.

Perlawanan separuh akhir tersebut akan diadakan pada 28 Julai 2016 jam 3.45 petang di Stadium Negeri, Kuching .

Satu lagi perlawanan separuh akhir menemukan juara bertahan Perak yang akan menentang Sabah di Stadium UNIMAS, Kota Samarahan.

Leave a Reply

Top