Anda di sini
Laman Utama > 100plus Liga Premier > Jaringan minit akhir Tudose kecewakan The Seagull

Jaringan minit akhir Tudose kecewakan The Seagull

wp-1469500414771.jpg

Jaringan pada masa tambahan separuh masa kedua pemain import dari Romania, Tudose Alexandru mengecewakan Kuantan FA untuk sekurang-kurang berkongsi mata dengan pendahulu 100plus Liga Premier, Melaka United setelah tunduk dengan keputusan 3-4 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darulmakmur malam semalam.

Kuantan FA mengekalkan barisan yang hampir sama semasa seri menentang ATM kecuali Ameer Syafiq diberi kepercayaan oleh Zulhamizan Zakari untuk menggantikan tempat Norfahmie Hadzrin yang digantung kerana mengutip 3 kad kuning dan juga Kamal Rodiarjat yang kembali ke senarai utama di posisi bek kanan setelah tersisih dalam perlawanan sebelum ini.

wp-1469500425640.jpg

Tidak menunggu lama, Kuantan FA berjaya menggamatkan kira-kira 500 penyokong di stadium setelah mendahului Melaka United  seawal minit ke 2 hasil rembatan dari dalam kotak penalti oleh pemain kelahiran Malaysia-Australia, Shazalee Ramlee untuk menewaskan Mohd Syazwan Mamat.

Kedudukan itu tidak bertahan lama setelah Ilija Spasovenic membuktikan beliau adalah pemain import yang perlu diberi perhatian pada musim ini apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke 28 hasil daripada hantaran lintang Feris Daniel yang mudah menewaskan Zairi Hafiezi.

Dao Bakary kemudiannya meletakkan Kuantan FA kembali di depan setelah menjaringkan gol ke 9 peribadinya dalam saingan Liga Premier namun dipadamkan kelebihan itu setelah Tudose Alexandru pantas menyamakan kedudukan 4 minit kemudian menjadikan kedudukan 2-2.

wp-1469500420808.jpg

Shazalee Ramlee kemudiannya sekali lagi meledakkan gol kedua peribadi dalam perlawanan ini pada minit ke 38 melalui rembatan dari luar kotak penalti untuk menjadikan Kuantan FA di hadapan untuk kali ke 3 dan kedudukannya kekal sehingga tamat separuh masa pertama dengan Kuantan FA mendahului Melaka United 3-2.

Bersambung babak kedua, anak buah Mat Zan Mat Aris tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan melalui pemain import dari Palestin Yashir Pinto yang menyambung hantaran berpunca dari sepakan percuma Tudose Alexandru.

Setelah permainan seakan-akan bakal tamat dengan keputusan seri, Tudose menjadi wira Melaka United apabila tandukannya melalui hantaran lintang R Surenderen menerjah jaring untuk pelawat ceria membawa pulang 3 mata berharga dari bumi Kuantan.

Keputusan ini meletakkan Melaka United selesa di puncak liga dengan kelebihan 5 mata mengatasi JDT II dengan Kuantan FA turun dua anak tangga ke kedudukan ke 8 dengan mengumpul 19 mata.

Kuantan FA : Mohd Zairi Hafiezi (PG), Ljubo Baranin, Muhammad Ilham Yusof (K), Muhammad Amer Syafeeq, Mohd Kamal Rodiarjat, Srdjan Vidakovic, Shazalee Ramlee, Sim Woonsub, Hazwan Fakhrullah (Mohd Shahrul Aizad), Abdul Malik Mat Ariff (Mohd Hazuan Daud), Dao Bakary.

Melaka United: Mohd Syazwan Mamat (PG), Khair Muhammad Jefri Jones (Ahmad Khuzaimi Piee), Mohamad Syawal Norsham, Tudose Alexandru, Mohd Hazri Rozali (Mohd Saiful Mustafa), Muhammad Ferris Danial (Iskandar Hanapiah), G Puaneswaren, R Surendren, Labinot Harbuzi, Yashir Pinto Islame, Ilija Spasojevic (K).

Pengadil : Mohd Ezanee Mohd Said

Keputusan lain :

ATM 3-1 UiTM FC
Perlis 1-0 JDT II
DRB-Hicom FC 1-0 K.Lumpur

Sime Darby FC 2-1 Sabah
PKNS 0-0 N.Sembilan

 

 

 

 

mrcipizs
MyPassion with MyStyle..

Leave a Reply

Top