Anda di sini
Laman Utama > Artikel > Jendela Perpindahan Pemain: Bersediakah PFC?

Jendela Perpindahan Pemain: Bersediakah PFC?

20 Jun merupakan tarikh bermulanya jendela perpindahan Liga Malaysia di mana setiap pasukan yang bertanding dalam liga kompetitif di Malaysia dibenarkan untuk membuat pertukaran dan pendaftaran pemain-pemain baharu dalam usaha memperkuatkan jentera pasukan masing-masing.

Namun begitu, ada beberapa terma dan syarat yang perlu dipatuhi oleh setiap pasukan dalam memastikan proses perpindahan ini berjalan dengan lancar dan diiktiraf oleh jawatankuasa pertandingan yang dikelola oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP). Merujuk kepada laman sosial FMLLP, antara syarat pendaftaran kedua Liga Super dan Liga Premier 2016 adalah seperti berikut:

  1. Pendaftaran bermula 20 Jun sehingga 15 Julai 2016.
  2. Jumlah maksimum pemain baharu yang boleh didaftarkan adalah 4 pemain tempatan dan 4 pemain asing.
  3. Bagi kuota pemain asing, hanya dibenarkan untuk pemain baharu yang tidak pernah bermain dalam mana-mana pasukan di Liga Malaysia 2016.
  4. Semua pendaftaran mesti dilakukan menerusi Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak (SPMB) dan kelulusan adalah tertakluk kepada Sekretariat Pertandingan yang dikendalikan oleh FMLLP.

Musim lalu menyaksikan kira-kira 15 pemain baharu (Liga Super) didaftarkan pada perpindahan kedua yang secara kelazimannya dilakukan pada sekitar bulan April. Hanya seorang pemain iaitu Matthew Davies yang didaftarkan oleh pasukan Pahang pada tempoh perpindahan itu dan skuad Tok Gajah masih mengekalkan 4 pemain importnya sehinggalah penghujung musim.

Namun begitu, lain pula cerita bagi musim ini apabila memperlihatkan kemerosotan pasukan Pahang sehinggakan merekodkan beberapa keputusan dan statistik yang jelas tidak memihak kepada pasukan. Berada pada tangga ke 11 liga, merekodkan jumlah bolos yang terbesar sejak 2011 dan telah melepasi angka purata bagi 4 tahun terdahulu iaitu 31.75 gol, dua kali ketinggalan pada separuh masa pertama kepada pasukan lawan (0-3) dalam perlawanan liga, 7 kali dari 14 perlawanan (all competitions) dibolosi pada awal permainan separuh masa pertama dan menunjukkan peratus kemenangan sebanyak 18.2% selepas 11 perlawanan liga di mana merupakan penurunan berbanding musim-musim terdahulu (2013: 45.5%, 2014 dan 2015: 63.6%).

Berdasarkan beberapa angka dan statistik seperti di atas, jelas skuad Tok Gajah perlu memanfaatkan jendela perpindahan pemain agar identiti dan brand name yang dicipta sejak musim 2013 terus relevan dan konsisten dalam pentas kompetitif Liga Malaysia. Selain itu, kesempatan untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia musim ini menyediakan sekurang-kurangnya 6 lagi perlawanan kompetitif dan menjadikan jumlah keseluruhan (minima) perlawanan yang akan diharungi kepada 16 perlawanan. Untuk rekod, sebelum pintu perpindahan pemain dibuka, Pahang telah mengharungi 14 perlawanan (all competitions).

Diharapkan, menjelang 15 Julai nanti, akan ada perkhabaran positif mengenai perpindahan pemain terutamanya membabitkan pemain asing ke dalam pasukan Pahang. Matias Conti dan Damion Stewart yang dibawa masuk pada perpindahan kedua musim 2013 berjaya memberi impak buat Pahang sehinggalah menjadi antara watak penting menamatkan kemarau 21 tahun Piala Malaysia untuk pasukan Pahang.

Jumlah maksimum 8 pemain yang boleh didaftar bukanlah menjanjikan perubahan 360 darjah kepada sesebuah pasukan apatah lagi dalam masa yang singkat ini. Namun, pertukaran sebilangan kecil para pemain diharap dapat memperbetulkan kelemahan yang ada seterusnya dapat memperbaiki kemerosotan pencapaian pada 14 perlawanan yang terdahulu.

Oesandro
[ "There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesizing the local football scene" ] -Follow @oesandro25 (Twitter)-

Leave a Reply

Top